Oleh Suyuthi Yusuf
9 Jun 2022, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022, Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Puisi Jangan Dibaca Sajak Ini, Aksaranya Panas Berapi  terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Karya terbaharu Roslan Madun ini telah dilancarkan oleh penerbit drama dan filem, pengarah, pelakon dan usahawan terkenal tanah air, YBhg. Datuk Rosyam Nor.  Dalam majlis tersebut, YBrs. Dr. Mohamed Saleeh Rahamad yang merupakan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) turut membicarakan kandungan dan keistimewaan karya tersebut.

Buku Kumpulan Puisi Roslan Madun.

Nama Roslan Madun sememangnya terkenal dalam dunia kebudayaan dan kesusasteraan  Melayu. Beliau yang merupakan aktivis seni budaya sepenuh masa juga merupakan Munsyi Sastera DBP. Selain itu, beliau juga banyak menerima anugerah dalam bidang seni dan budaya, malah turut diiktiraf oleh pihak Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia sebagai penerima Anugerah Maestro Syair Nusantara. Dalam dunia kegiatan dan aktiviti seni budaya, beliau tidak lekang dalam meneruskan usaha memperkenalkan dan mendendangkan lagu rakyat dan syair kepada generasi kini. Usaha tersebut membuktikan komitmen dan pendirian teguh beliau dalam menjaga dan memelihara warisan dan khazanah bangsa.

Roslan Madun.

Majlis pelancaran ini sangat istimewa kerana buku kumpulan puisi ini merupakan “anak pertama” beliau dengan DBP. Buku kumpulan puisi ini yang merupakan karya sulung beliau yang diterbitkan oleh DBP melalui Bahagian Buku Sastera merupakan koleksi puisi yang berbentuk prosa.

Dalam ucapan alu-aluan oleh YBrs. Dr. Rosmani Omar (Ketua Editor Bahagian Majalah) yang mewakili Pengarah Penerbitan DBP menyatakan bahawa DBP sangat berbesar hati kerana tokoh yang cukup terkenal dalam ranah kebudayaan dan kesenian menerima DBP sebagai penerbit yang bertanggungjawab dalam menerbitkan buku kumpulan puisi ini.

Sekalung penghargaan diberikan kepada Bahagian Buku Sastera kerana berjaya memperoleh karya daripada tokoh yang selama ini cukup dikenali sebagai penggiat seni budaya dan sastera tradisional, namun kini telah berkongsi bakat beliau dalam penulisan puisi berbentuk prosa. Teruskan usaha mencari karya sastera yang bermutu untuk mengangkat martabat sastera negara melalui karya yang hebat.

YBrs. Dr. Mohamad Saleeh dalam pembicaraan karya ini menyebutkan bahawa Roslan Madun mencipta seuntai puisi prosa tanpa mengikut bentuk popular, iaitu pemenggalan larik demi larik. Teknik penulisan tersebut merupakan kepelbagaian dan keragaman dalam teknik berkarya yang ditampilkan oleh beliau.

Dalam kumpulan puisinya ini, Roslan Madun bersungguh-sungguh mengarang puisi prosa, kadang-kadang bercorak hujahan, kadang-kadang syarahan, kadang-kadang deskriptif dan kadang-kadang pengucapan doa.

YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika membicarakan buku kumpulan puisi Roslan Madun.

Selain itu, beliau juga memberi anggapan dan saranan bahawa sajak-sajak dalam kumpulan ini perlu dihadapi dan ditanggapi dengan akal yang bijaksana, ukuran estetik dan pertimbangan saksama dengan tujuan akhirnya adalah untuk memperoleh kebahagiaan hakiki. Tambahan lagi, judul buku ini juga sangat istimewa kerana hal tersebut menegaskan suatu testimonial tentang pendirian penulis.

Secara psikologi berbaliknya, Roslan Madun mengajak pembaca agar meneliti karyanya dengan pengamatan yang bertunjangkan akal, bukannya emosi dan perspektif romantis. Hal ini menjadikan pengalaman membaca kumpulan puisi ini sebagai terapi rohani yang menjentik kesedaran, sekali gus menyaksikan inderawi serta intuitif.

Selain judul bukunya yang unik dan mempunyai interpretasi yang tersendiri, Roslan Madun juga dalam majlis pelancaran tersebut memberikan ucapan khas dan secara tidak langsung menterjemahkan identitinya yang tersendiri kerana memberi ucapan dengan mendendangkan bait-bait syair. Antara bait-bait syair yang didendangkan ialah:

Hamba ini penulis nan kecil, di dunia sastera jauh terpencil, memberanikan diri mengasah pensel, buku nan sebuah dapatlah terhasil

Melalui bait syair tersebut, jelas terbayang keperibadian beliau yang bersifat rendah diri dan secara tidak langsung membayangkan kewibawaan beliau sebagai individu yang telah banyak menyumbang bakti dalam dunia kebudayaan Melayu.

Pelakon terkenal tanah air, YBhg. Datuk Rosyam Nor dalam ucapan pelancaran menceritakan serba sedikit tentang pengalaman beliau apabila diminta sendiri oleh Roslan Madun untuk melancarkan buku kumpulan puisi tersebut.

Saya bukan dalam kumpulan pengkarya, sasterawan yang hebat atau orang yang bercakap dengan bahasa yang indah-indah. Saya terlalu kecil dalam kumpulan itu.

Pelakon terkenal tanah air, YBhg. Datuk Rosyam Nor ketika memberikan ucapan pelancaran.

Begitulah kata-kata yang diungkapkan oleh beliau kepada Roslan Madun. Namun atas dasar penghormatan terhadap orang yang digelarnya sebagai “abang” ini, beliau akhirnya sudi melancarkan buku kumpulan puisi ini. Selain itu, beliau juga turut menyentuh perihal dunia penulisan dan kesusasteraan. Baginya, penghasilan karya sastera seharusnya terus relevan dalam zaman pemodenan ini untuk membentuk tamadun bangsa melalui aspek pembinaan minda. Ungkapnya tentang penulis buku kumpulan puisi ini:

Roslan Madun. Seorang manusia yang memperhambakan diri kepada seni warisan bangsa. Tidak pernah lelah menjadi nakhoda bahtera yang mengemudi arah pelayaran

YBhg. Datuk Rosyam Nor sedang melancarkan buku kumpulan puisi.

Majlis pelancaran buku tersebut diakhiri dengan persembahan deklamasi puisi dan nyanyian lagu puisi oleh pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM). YBhg. Datuk Rosyam Nor juga turut memberikan persembahan dengan mendeklamasikan salah sebuah sajak dalam buku kumpulan puisi ini.

YBhg. Datuk Rosyam Nor ketika membacakan salah sebuah sajak Roslan Madun.

 

Salah sebuah persembahan deklamasi puisi oleh mahasiswa universiti.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah YBhg. Dato’ Ahmad Tamimi Siregar Mohd Kamal, pelakon, pengacara dan pengarah drama terkenal Malaysia dan Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman, penggiat sastera tanah air.

Tonton majlis pelancaran tersebut di sini:

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.