3 Jun 2022, 12:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan Diskusi Buku DBP-UM pada 26 Mei 2022 (Khamis) dan bersiaran secara langsung di media sosial DBP. Diskusi buku ini berlangsung sebanyak empat kali dalam setahun dan ini merupakan diskusi buku yang pertama pada tahun 2022.

Terdapat dua orang pembicara bagi diskusi ini, iaitu Ts. Dr. Saipuddin Suliman, pensyarah Universiti Malaysia Kelantan. Beliau membicarakan buku yang berjudul Fikrah Sastera karya Shahrun Nizal Mohd Nor. Seterusnya, pembicara yang kedua ialah Dr. Madiawati Mamat @ Mustaffa, pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau pula membicarakan buku yang berjudul Legenda Lembah Mendang, iaitu sebuah kisah rakyat orang asli yang diceritakan semula oleh Fathenwan Wan Mohd Nor. Diskusi ini dipengerusikan oleh Steven Alezender, seorang pensyarah sambilan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Diskusi buku ini merupakan perkongsian dari kedua-dua pembicara mengenai isi kandungan buku yang diterbitkan serta manfaatnya buat masyarakat.

 

Dr. Saipuddin Suliman memulakan diskusi buku yang pertama berjudul Fikrah Sastera. Antara perkara yang diulas beliau ialah kandungannya yang menghimpunkan 17 buah esei dan kritikan sastera bermula tahun 1999 hingga 2018. Beliau membicarakan tentang segmen yang terdapat dalam buku ini iaitu “Kajian/Kritikan Sastera dan Sudut Pandangan Sastera”.

Menurut beliau, penulis menganalisis secara terperinci beberapa teks karya sastera Melayu yang meliputi pelbagai genre puisi, cerpen dan novel. Kesemua analisis tersebut bersandarkan jalinan teori sastera tempatan dan Barat, antaranya termasuklah teksdealisme, takbudiyah, stilistik dan intertekstualiti.

Bagi segmen kedua, penulis berkongsi cakerawala minda dan pendapat berhubung isu sastera khususnya sastera remaja. Hal ini demikian kerana penulis mempunyai pengalaman yang luas berikutan beliau pernah berkhidmat di Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja di Dewan Bahasa dan Pustaka. Oleh hal yang demikian, dapat disimpulkan bahawa penulis ingin berkongsi seluruh pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang berkhidmat di bahagian tersebut.

Beliau juga mengulas beberapa prinsip antaranya prinsip “Kehadiran”. Perkara ini dirujuk kepada kehadiran pengalaman penulis, Shahrun Nizal Mohd Nor, yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai penulis, pengkaji, dan pengkritik. Dengan ini, lahirlah buku Fikrah Sastera hasil daripada pengalaman yang memperkaya minat penulisan penulis. Prinsip lain yang diketengahkan oleh pembicara ialah prinsip pengukuhan.

Secara ringkasnya, prinsip pengukuhan membawa maksud suatu pematangan atau pendewasaan pengarang dalam menghasilkan teks di samping wujudnya hasrat, harapan, keinginan dan cita-cita untuk melahirkan karya yang unggul dan unik.

Pembicara menekankan sebuah esei yang bertajuk “Penulis Muda dan Bahasa Melayu” kerana penulis mengutarakan kebimbangan berhubung isu penulisan karya picisan yang menggunakan bahasa rojak dan slanga.

Sebagai contoh, terdapat sebuah iklan yang menawarkan jawatan kosong dengan tulisan “Penjual gadis” atau dalam bahasa Inggerisnya “sales girl wanted”. Apabila diterjemahkan, maksudnya berubah dan boleh menimbulkan salah faham. Perkara ini perlu diberi perhatian agar tidak terus membarah sekali gus mengancam bahasa ibunda. Esei ini jelas mengangkat kematangan penulis dan beliau terpanggil untuk menyuarakan kegusaran yang sekian lama bermain di mindanya.

Menurut pandangan beliau secara keseluruhan, penulis berjaya memanfaatkan segenap pengalaman, pembacaan dan pemerhatian beliau bagi menukangi esei-esei yang matang, segar dan seiring dengan zaman malah melangkaui zaman. Beliau juga menyuarakan bahawa buku ini amat sesuai dimiliki oleh semua golongan sama ada penulis pemula, mahasiswa, guru, pensyarah, mahupun penulis mapan. Hal ini demikian kerana esei yang terhidang mencakupi segenap bidang ilmu, menerokai pelbagai sisi dan menyisipkan deretan pengalaman yang tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit mahupun kematangan umur.

Pembicara kedua, iaitu Dr. Madiawati Mamat @ Mustaffa mengulas buku cerita rakyat orang asli yang berjudul Lagenda Lembah Mendang. Buku tersebut merupakan himpunan cerita rakyat. Menurut beliau, cerita rakyat ini bersifat kolektif dan kepunyaan masyarakat yang merupakan salah satu medium untuk melihat persekitaran yang wujud dalam sistem masyarakat. Pengumpulan dan rakaman cerita rakyat orang asli suku kaum Temiar dan Jakun ini diusahakan oleh Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun 2013.

Menurut beliau lagi, membaca Lagenda Lembah Mendang membawa kita meneroka kehidupan orang asli dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada adat resam, kepercayaan dan pantang larang, mitos dan lagenda serta kearifan tempatan yang memberikan pengetahuan tentang cara hidup mereka.

Buku ini menampilkan tema yang pelbagai kerana jenis cerita yang ditampilkan adalah pelbagai termasuklah mitos legenda, teladan dan cerita binatang. Tema buku tersebut juga merangkumi hubungan masyarakat dengan persekitaran dan tanggungjawab sosial masyarakat itu sendiri. Selain itu, turut terdapat tema percintaan, kekeluargaan, masyarakat, pengembaraan, hiburan dan sebagainya.

Seterusnya, beliau mengetengahkan tentang kearifan penduduk orang asli dalam pertanian mereka iaitu membuka ladang, menangkap ikan menggunakan julir (tombak ikan), dan cara masuk ke hutan dengan kaedah yang selamat seperti mencantas pokok sebagai tanda laluan. Orang asli masih terikat dengan kepercayaan-kepercayaan tertentu.

Antara kepercayaan mereka termasuklah percaya kepada “angka tujuh”. Contohnya, menangkap ikan pada hari ketujuh, menyediakan makanan tujuh hari tujuh malam dan berubat dengan tujuh helai daun. Bomoh, pawang, ahli nujum, dan pantang larang juga merupakan elemen dalam kepercayaan mereka.

Akhir sekali, beliau merumuskan Lagenda Lembah Mendang merupakan kumpulan cerita rakyat yang menarik dengan pelbagai tema dan persoalan berikutan dengan plot cerita rakyat biasanya berakhir dengan kegembiraan bersesuaian dengan konsep cerita rakyat itu sendiri, iaitu menghiburkan masyarakat yang sedang berduka atau setelah penat bekerja. Buku ini turut menampilkan nilai murni yang amat baik buat pembacaan golongan kanak-kanak. Beliau memberi galakan supaya memperbanyakkan lagi usaha pengumpulan dan pendokumentasian cerita lisan agar khazanah warisan ini tidak luput begitu sahaja. Dalam hal ini, Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) telah meneruskan pengumpulan cerita rakyat orang asli bagi tujuan tersebut.

Secara keseluruhannya, kedua-dua pembicara menyampaikan pembentangan dan diskusi buku dengan amat baik, jelas dan cukup berinformasi. Kedua-dua buku yang dibicarakan juga mempunyai keistimewaan masing-masing serta kandungannya sangat bermanfaat buat seluruh lapisan masyarakat. Usaha ini perlu diteruskan supaya masyarakat sentiasa mendapat maklumat tentang buku atau hasil kajian yang telah diterbitkan dan boleh membuat kajian lanjutan terhadap kedua-dua buku tersebut.

Buku Fikrah Sastera boleh dibeli melalui pautan ini. 

Buku Legenda Lembah Mendang boleh dibeli melalui pautan ini.

Tonton diskusi penuh di sini:

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.