Oleh Suyuthi Yusuf
1 Jun 2022, 19:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan diberi penghormatan menerima anugerah Sijil Penghargaan Sastera Peringatan Rabindranath Tagore (Rabindranath Tagore Certificate of Literary Appreciation) daripada Motivational Stripes Global Administration dengan kerjasama majalah sastera antarabangsa, SIPAY.

Selain daripada beliau, terdapat tiga orang lain dari Malaysia yang menerima anugerah yang sama iaitu Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Lilian Woo dan Alan Liew. Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman merupakan Penasihat Kanan untuk Kesusasteraan Melayu dan Terjemahan untuk Malaysia. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan beliau menerima anugerah berkenaan bagi kategori sastera Melayu manakala Lilian Woo dan Alan Liew pula untuk kategori penulis sastera Inggeris.

Anugerah tersebut dikhususkan kepada penyair yang memberi impak terhadap arena kesusasteraan, khususnya dalam genre puisi. Tahun ini sebanyak 240 orang telah disenarai pendek untuk menerima anugerah berkenaan.

Menurut Shiju H. Pallithazheth, pengasas komuniti Motivational Stripes,

Penyair ialah lambang kreativiti dan visi. Mereka diperlukan untuk memperkasakan persepsi penaakulan global dan kehidupan seharian. Penyair dipilih dengan teliti untuk penguasaan mereka dalam puisi didaktik.

Motivational Stripes merupakan komuniti penulis dalam talian yang aktif sejak tahun 2018. Sebanyak lebih daripada 7.5 juta orang telah melawati laman web komuniti itu dalam tempoh sebulan. Selain itu, penulis yang meliputi lebih daripada 170 buah negara sering terlibat dalam perkongsian penulisan masing-masing dalam laman web komuniti berkenaan. Komuniti tersebut juga terkenal sebagai pusat penyelidikan dan pembelajaran sastera bagi genre puisi moden.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.