31 Mei 2022, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam Sekilas kali ini, Muhammad Lutfi Ishak akan memberikan tumpuan kepada cabaran luaran dunia sastera.

Sekurang-kurangnya, terdapat empat cabaran luaran yang dapat dikenal pasti dalam dunia sastera semasa.

Agar pembicaraan menjadi lebih nyata, penting untuk dijelaskan tentang konsep dalaman dan luaran yang akan diguna pakai dalam tulisan ini.

Di sebuah kampung, Si A telah melakukan pembohongan kepada Si B. Apabila Si B meyakini dirinya benar-benar ditipu, dia pun melaporkan angkara tersebut kepada pihak polis.

Sewaktu siasatan, Si A menjelaskan bahawa pembohongan bukanlah sesuatu yang salah jika dengan maksud mencapai tujuan tertentu. Dalam kes ini, Si A menegaskan dia ingin mencapai maksudnya, jadi, kerana itu, dia berbohong. Oleh sebab Si A bertolak daripada mentaliti tersebut untuk berbohong, dan kedudukan mentaliti tersebut adalah dalam diri, maka, konsep pembohongan Si A ialah punca dalaman.

Setelah diteruskan siasatan, si A juga menyatakan dia membohongi Si B kerana Si B mudah diperdaya. Dalam masa yang sama, Si B sedang berhadapan dengan masalah hutang. Jadi, berdasarkan perkiraan Si A, jika pembohongannya diketahui, isu itu dapat diselesaikan dengan pembayaran ganti rugi berbentuk wang. Selain itu, ketua kampung ialah sahabat baik Si A. Oleh itu, Si A percaya, jika tembelangnya pecah kelak, pengaruh ketua kampung dapat dimanfaatkan untuk mengelakkan isu tersebut berpanjangan.

Ketiga-tiga punca tersebut ternyata bukannya berpunca daripada “mentaliti Si A”, sebaliknya datangnya dari luar. Maka, ketiga-tiga faktor itu ialah punca luaran atau persekitaran yang merangsang pembohongan Si A.

Jika diimbau kembali, tiga siri karangan sebelum ini telah menjelaskan punca utama kemunduran sastera di Malaysia, iaitu mentaliti negatif sastera. Oleh sebab mentaliti negatif sastera bertempat dalam diri insan, maka, mentaliti negatif sastera dengan ini disimpulkan sebagai punca dan cabaran dalaman. Lantaran itu, apa-apa sahaja yang datang dari luar diri insan dan memundurkan sastera kita, akan dirujuk sebagai punca dan cabaran luaran.

Sekurang-kurangnya, terdapat empat cabaran luaran yang dapat dikenal pasti, iaitu (1) perkembangan teknologi, (2) sistem pendidikan terpisah, (3) masyarakat yang berpusatkan politik, dan (4) nilai pragmatisme, materialisme serta hedonisme yang mengukuh dalam masyarakat.

Masa depan manusia seakan-akan kini bukan lagi di tangan manusia tetapi di tangan teknologi.

Dua tulisan sebelum ini telah pun menjelaskan cabaran pendidikan terpisah. Maka, perbincangan yang seterusnya patut menyentuh tiga lagi cabaran luaran. Walau bagaimanapun, untuk kali ini, hanya cabaran luaran pertama sahaja yang akan dibincangkan.

Manusia menciptakan teknologi sebagai satu cara menyesuaikan diri dengan persekitaran. Teknologi memudahkan manusia mengatur dan menjalani kehidupan. Dengan terciptanya teknologi penerbangan, perhubungan antara benua menjadi lebih cepat dan mudah. Dengan adanya dapur gas untuk memasak, kita tidak perlu lagi masuk ke dalam hutan mencari kayu api.

Namun begitu, selari dengan kecanggihan pengetahuan sains, kelihatannya teknologi tidak lagi sekadar alat untuk memudahkan kehidupan, tetapi tempat manusia menyimpan harapan. Mungkin itulah “konotasinya” apabila NASA mengongsi imej bintang berjarak 2000 tahun cahaya yang dirakamkan oleh teleskop angkasa James Weeb.

Masa depan manusia seakan-akan kini bukan lagi di tangan manusia tetapi di tangan teknologi. Mungkin kerana itulah, kehadiran suatu teknologi baharu jarang ditanggapi secara mendalam. Sebaliknya, sentiasa pula dioles dengan harapan yang muluk dan indah-indah. Kesannya, hal ini sentiasa menimbulkan gambaran khayal yang menakjubkan dalam tanggapan khalayak awam.

Namun begitu, Neil Postman dalam Technopoly-nya mengutarakan pandangan yang berbeza. Bagi Postman, dalam banyak keadaan, penerimaan teknologi dengan penuh ketakjuban adalah kerana kejahilan. Malah, ketakjuban itu dimungkinkan pula oleh demokrasi yang menjadi etos masyarakat.

Maksud beliau, dalam masyarakat demokrasi, teknologi ditanggapi sebagai satu tambahan baharu dalam kehidupan, bukannya satu “acuan baharu” yang merubah wajah kebudayaan.

Neil Postman mengkhususkan kritikan terbabit buat masyarakat di Amerika Syarikat. Namun begitu, pandangan tersebut masih benar jika dipakaikan dalam konteks Malaysia. Misalnya, pada pertengahan 1990-an, tujuan kerajaan Malaysia memperkenalkan akses internet adalah kerana potensi ekonomi dan persaingan teknologi. Menurut para pengkaji, ketika akses internet diperkenalkan, kerajaan tidak begitu menyedari kesannya terhadap politik dan kebudayaan.

Internet mengambil masa yang tidak begitu lama untuk membuktikan teknologinya bukannya tambahan baharu tetapi acuan baharu. Menjelang alaf baharu, akses internet bukan sahaja memudahkan masyarakat berhubung, malah mengubah tingkah laku masyarakat kita, khususnya masyarakat di kawasan bandar-bandar besar. Kemudian, pada gilirannya, penglibatan aktif mereka dalam memanfaatkan ruang internet untuk berwacana, satu bentuk baharu kebudayaan pun terbentuk.

Keadaan ini jika dikaitkan dengan dunia kesusasteraan, cirinya terpamer dengan tumbuhnya pelbagai perkumpulan sastera yang berasaskan kebebasan bersuara dan ekspresi. Rata-rata perkumpulan ini menguasai wilayah maya. Sementara itu, institusi yang mengatur perkembangan sastera tempatan tidak hadir untuk turut membentuk wajah sastera.

Beberapa tahun selepas itu, kebergantungan penulis dengan pengatur kuasa kesusasteraan yang sebelum itu bertindak menyediakan ruang dan gate keeper kesusasteraan tempatan semakin longgar dan berkurang. Kemudiannya, apabila teknologi penerbitan dan percetakan menjadi lebih murah, para penulis terutamanya penulis muda melihat kewujudan penerbit rasmi kerajaan bukan lagi suatu perkara penting.

Saya terjun ke dalam dunia sastera pada awal tahun 2000. Waktu itu, ada banyak diskusi tentang karya dan idealisme penulis. Anak muda dan karya mereka diraikan dalam forum dan kritikan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) masih menjadi salah satu kuasa pengatur yang penting. Para sarjana sastera, terutamanya yang meneliti perkembangan “sastera moden dan mutakhir” mempunyai hubungan yang bukan lagi mekanikal. Sesekali akan dapat disaksikan para ilmuwan dan intelektual, turut melempar pancing, menguji kedalaman karya para pengarang dan sasterawan.

Suasana yang meriah ini kemudiannya surut perlahan-lahan, terutamanya menjelang tahun 2005. Menjelang tahun 2010, internet menjadi suatu wilayah utama penulis muda. Teknologi penerbitan yang lebih mudah dan murah juga memberikan peluang untuk lebih ramai penulis menghindari institusi kesusasteraan.

Perkembangan selepas itu, saya fikir, tidaklah perlu diceritakan lagi. Namun, jika boleh diringkaskan, itulah masanya landskap sastera kita dirombak oleh arus deras perkumpulan kecil yang kemudiannya mencetuskan suatu semangat kenisbian.

Apa yang terjadi ini mengimbau kepada penjelasan Syed Husin Alatas tentang salah satu faktor wujudnya faham kenisbian di Eropah pada abad ke-19 akibat wujudnya pelbagai faham, yang kemudiannya memunculkan pelbagai perkumpulan. Akibat banyaknya kepelbagaian faham dan kumpulan ini, timbullah kesimpulan bahawa tidak ada satu pun faham yang benar.

Huraian beliau itu boleh dikaitkan dengan fenomena semasa. Sastera kita kini ditandai dengan pelbagai kelompok kecil yang pada akhirnya, berpotensi mewujudkan satu persepsi bahawa semua kumpulan dan aliran sastera itu sama sahaja selagi diterima oleh para pembaca.

Malah, mengukuhnya semangat kenegerian dan kepuakan dalam aktiviti sastera, peminggiran cita-cita sejagat serta budaya sastera yang berasaskan kecemerlangan juga merupakan sebahagian daripada penzahiran nilai-nilai kenisbian dalam masyarakat. Hal ini kerana, pada intinya, gejala parokial dan kepuakan sebegitu tidak akan mengukuh, jika sebelumnya tidak wujud dahulu suatu tanggapan, bahawa semua penulis dan perkumpulan sama sahaja.

Justeru, isunya bukan kelayakan, tetapi siapa yang paling licik dan pandai mengatur strategi, agar pada akhirnya, wakil kita mendapat pengiktirafan.

Wallahualam.

Kredit Foto: Oscar de la Lanza/Unsplash

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!