Oleh Suyuthi Yusuf
30 Mei 2022, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China ke-48, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama Kelab Pembaca Sastera China Malaysia menganjurkan Majlis Semarak Puisi Malaysia-China. Majlis tersebut diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, YB. Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon.

Ucapan perasmian oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon.

Melalui pengalaman sejarah, hubungan Malaysia dan China telah bermula sejak 2000 tahun yang lalu semasa Dinasti Han dan mencapai kemuncaknya ketika pemerintahan Dinasti Ming. Nama-nama seperti Utusan Yin Ching, Laksamana Ching Ho dan Puteri Hang Li Po merupakan nama yang telah menjadi sebutan ramai dan terkenal yang mempunyai kaitan rapat dengan sejarah awal Melaka.

Majlis menandatangani surat hasrat tentang pertukaran puisi antara Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Majalah Shi Kan China dan Pusat Kebudayaan Han Malaysia.

Bagi pihak DBP, hubungan persahabatan dan kerjasama Malaysia-China terjalin sejak sekian waktu merangkumi bidang kebahasaan dan kesusasteraan. Antaranya ialah hubungan kerjasama dengan China Radio International (CRI) dan universiti di China seperti Beijing Foreign Studies University (BFSU) dan Guangxa University for Nasionalities.

DBP menghantar pegawai untuk berkhidmat di CRI dalam usaha membantu pegawai di CRI menguasai bahasa Melayu dan sebaliknya. Begitu juga dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu, DBP menempatkan pegawai sebagai tenaga pengajar universiti, selain membantu dalam usaha penterjemahan karya bermutu dari negara ini untuk pasaran mereka.

 

Dalam ucapan perasmian tersebut, YB. Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon menyatakan bahawa kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi dan perdagangan akan terus diperkukuh dan diperluas demi kemakmuran bersama kedua-dua buah negara.

China sentiasa menganggap Malaysia sebagai rakan sinergi yang signifikan dalam menjayakan dasar Laluan Sutera Maritim abad ke-21. Hal ini termasuklah dalam konteks hubungan mesra yang utuh terjalin dalam bidang kebahasaan, kesusasteraan, kesenian, penerbitan, dan penterjemahan antara kedua-dua negara tersebut.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa program seperti ini bukan sahaja merupakan medium untuk mempertemukan penulis dan pemuisi dari negara Malaysia dan China bagi tujuan perkembangan bahasa Melayu dan sastera merentas negara tetapi secara tidak langsung merupakan antara usaha menyokong dan mendukung hasrat Perdana Menteri Malaysia mengantarabangsakan bahasa Melayu dan seterusnya mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN.

Dalam majlis tersebut juga, sebuah buku khas, iaitu Antologi Puisi Menganyam Tikar Peradaban telah dilancarkan. Buku tersebut memuatkan 73 himpunan puisi dari 63 orang pemuisi di rantau alam Melayu dan China. Antologi puisi tersebut diselenggara oleh YBhg. Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan dan Harlym Yeo. Rakaman puisi yang terdapat dalam buku tersebut mengungkapkan kepelbagaian fenomena hubungan tamadun Melayu – China sejak sekian lama.

Menurut YBhg. Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, penerbitan buku tersebut menzahirkan suatu wadah hubungan silaturahim antara Melayu dengan China.

Merapatkan hubungan antara negara melalui program kesusasteraan wajar dijadikan program yang berterusan. Sudah tentu, puisi bukan sekadar satu bentuk pengucapan malah merupakan wadah tradisi yang lahir daripada akal budi yang membentuk pemikiran generasi kini.

Majlis tersebut diakhiri dengan acara deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara dan beberapa orang penyair yang lain. Selain itu, turut memeriahkan acara penutupan tersebut ialah persembahan kebudayaan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.