30 Mei 2022, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Zainal Abidin Muhamad, Ketua Satu GEMA.

Kota Bharu – Malam Apresiasi Puisi Ramadan (MAPR) telah dilaksanakan sejak tahun 1986. Program lanjutan anjuran Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) ini menerima dukungan daripada Kerajaan Negeri Kelantan dan Dewan Bahasa dan Pustaka. MAPR merupakan satu-satunya aktiviti puisi berunsur islamik oleh penyair mapan dan penyair muda yang dianjurkan secara konsisten di negara kita.

Kekuatan MAPR ialah puisi yang dipersembahkan dapat menimbulkan penghayatan terhadap nilai-nilai Islam umumnya kepada khalayak ramai. Bingkisan puisi yang dapat melunakkan hati pembaca dan pendengar merupakan satu daripada wahana dakwah dalam menyeru kepada kebenaran, menolak kebatilan dan meletakkan jiwa untuk sentiasa mengingati Pencipta Yang Maha Esa.

Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Kelab Bahasa Melayu (KEBAYU), Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) telah menjayakan Program MAPR 1443 Hijrah yang berlangsung pada 22 Mei 2022 bertempat di IPGKKB, Kelantan.

Cik Muhammad Sardi Che Abdul Hadi, Pegawai Khas yang mewakili Yang Berhormat Mejar (B) Dato’ Haji Md. Anizam Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan dalam ucapan perasmiannya berkata,

Sastera berperanan menyubur akliah yang merupakan tunas hubungan antara makhluk dengan Khaliq. Puisi menjadi wahana untuk menyampaikan mesej Islam, peneguhan iman dan rasa takwa kepada Pencipta.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada GEMA yang terus bertahan melaksanakan program MAPR ini dengan bantuan rakan sinergi yang lain. Beliau amat berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Dua naskhah antologi puisi terbitan GEMA turut dilancarkan dalam program ini, iaitu Mimbar Ramadan dan Banjir Hujan dan Air Mata yang diselenggarakan oleh Ruzilawati Man.

Persembahan malam itu dibarisi oleh tetamu undangan, iaitu Cik Muhammad Sardi Abdul Hadi yang menyampaikan sajak berjudul “Daerah Tiga Bukit” karya beliau sendiri. Dr. Mohd Rozi Ismail, Timbalan Pengarah IPGKKB telah menyampaikan sajak Mohd Ali Alimin, berjudul “Kitalah Sang Pengembara”. Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, wakil Pengarah DBPWT menyampaikan sajak Abham TR bertajuk “Jika Mahu Selamat”.

Selain itu, Haji Azman Mohd Daham, wakil MKNK tampil menyampaikan dua buah lagu puisi berjudul “Doa”, nyanyian Zubir Ali dan “Permata untuk Isteri” yang dipopularkan oleh kumpulan Kopratasa. Haji Ezane Haji Daud menyampaikan sebuah lagu puisi ciptaan beliau sendiri berjudul “Syahdu Cintaku”, menghiburkan lebih 400 khalayak di Dewan Utama, IPGKKB.

Pendeklamasi peringkat kebangsaan, penyair mapan dan penyair muda turut membuat persembahan, iaitu:

◉ Abdul Hadi Yusoff – Rintik Hujan
◉ Abham TR – Qiamat Pasti Datang
◉ Aminuddin Mamat – Pendosa Ingin ke Syurga (Safura Azzahraa)
◉ Awang Abdullah – Tuhan, Nyalakan Sumbu Api
◉ Dr. Muhammad Fadzil Yusuf – Pesan buat Anak (Chulan Chin)
◉ Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik – Hanyut di Sejadah Alpa (Safura Azzahraa)
◉ Hifzan MH – Hikmah Corona
◉ Noor Hasmah Ismail – Kerdilnya Diri Ini
◉ Bani A. Zaini – Ramadan Menjengah Lagi (Zawahir Seman)
◉ Muhammad Fariz Daniel Mohd Rosdi – Kuhampar Sejadah Cinta (A. Aziz Abdullah)
◉ Nurul Athirah Azman – Mata dan Cermin Usia (Awang Abdullah)

Persembahan nasyid daripada Kumpulan Shoutul Iman IPGKKB yang membawakan lagu “Ramadan” nyanyian Maher Zain menyerikan lagi program MAPR pada malam itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.