Oleh W Zalina Rajali
27 Mei 2022, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pak Sako ialah seorang reformis dan nasionalis”, tegas Prof. Dr. Hashim bin Ismail, Pensyarah Kanan di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dalam Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) Bil. 10/2022 pada 25 Mei 2022 yang lalu. Kuliah berjudul “Pak Sako Pengarang Reformis” itu disiarkan melalui FB Langsung DBP.

Pak Sako atau nama sebenarnya Ishak Hj. Muhammad dilahirkan pada bulan September 1909 di Kampung Bukit Saguntang, Temerloh, Pahang dan menghembuskan nafas terakhirnya pada 7 November 1991 di Hulu Langat, Selangor.

Dalam bidang penulisan, beliau sering menggunakan nama pena seperti Hantu Raya, Isako San, Pak Pandir Moden dan Anwar. Penulisannya meliputi pelbagai genre, iaitu novel, cerpen, esei dan memoir serta turut menulis rencana untuk akhbar Kumpulan Utusan Melayu. Karya beliau yang cukup terkenal ialah novel Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila.

Dalam permulaan kuliahnya, Prof. Dr. Hashim menjelaskan serba ringkas maksud, konsep dan sejarah reformis dengan merujuk reformis sebagai golongan yang mengusahakan usaha perbaikan atau pembaharuan dalam pelbagai bidang, terutamanya pembaharuan dalam pemikiran masyarakat. Berdasarkan sejarah, pembaharuan dalam pemikiran sudah bermula di seluruh dunia Islam, iaitu sekitar negara Arab dan Turki sejak awal abad-19 hingga awal abad-20 lagi. Antara tokoh-tokoh dunia yang mencetus idea pembaharuan ialah Jamaluddin Al Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Ridha.

Di Tanah Melayu, pemikiran ini dibawa oleh kaum muda dan golongan ulama yang mendapat pendidikan di Timur Tengah (Al-Azhar) dan India. Antaranya ialah Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Hj. Abbas Taha, HAMKA, Tuk Kenali, Hj Wan Musa, Hassan Bandung dan ramai lagi. Golongan ini melakukan pembaharuan dalam aspek sosial, pendidikan, politik, ekonomi, pemikiran dan sebagainya. Pembaharuan yang dilakukan golongan ini bertambah kuat dan hebat apabila adanya sokongan daripada jaringan pemikiran yang sama daripada kalangan penulis di Nusantara seperti di Indonesia, Filipina dan Singapura. Manakala nasionalis pula muncul sebelum zaman Perang Dunia Kedua lagi, terutamanya pada zaman penjajahan Inggeris.

Semangat nasionalis semakin menyala apabila faktor jaringan antara penulis, penerbit, percetakan, wartawan, guru dan elit Melayu berkembang pesat. Faktor-faktor tersebut memunculkan jaringan keintelektualan Melayu, sekali gus membangkitkan semangat kebangsaan dan menggerakkan gerakan anti penjajahan.

Ketika itu, isu penjajahan Inggeris, politik, ekonomi dan pelbagai permasalahan sosial masyarakat Melayu mendapat perhatian golongan reformis di Tanah Melayu. Keadaan bertambah rancak apabila muncul banyaknya penerbitan akhbar dan majalah. Antaranya majalah Al Imam 1906 di Singapura,  Pengasuh (1918) – di Kelantan,  Majalah al-Ikhwan (1925) Akhbar Saudara (1928) di Pulau Pinang, Warta Malaya (1930), Majlis (1931), dan Utusan Melayu (1939). Kemudian, muncul tokoh-tokoh seperti Syed Syeikh Al Hadi yang menulis novel Hikayat Faridah Hanum, juga seorang ulama dan penerbit yang telah membentuk suatu jalur pemikiran yang diikuti oleh penulis lain di zamannya termasuk guru dan wartawan, termasuklah Pak Sako.

Sementara itu, Pak Sako yang mempunyai latar belakang keluarga yang berpendidikan agama mendapat pendidikan awal sekolah Inggeris dan memasuki Kolej Melayu Kuala Kangsar. Seterusnya, beliau bekerja sebagai pegawai tadbir di pejabat tanah semasa pemerintahan Inggeris. Beliau merupakan pemerhati, pembaca, pemikir, penulis dan berani memberi pandangan. Pak Sako menyedari bahawa keperluan masyarakat zamannya yang memerlukan idealisme membolehkan mereka berubah, membangun dan menghadapi cabaran zaman pemodenan. Kemudian, sikap, keinginan dan pemikiran Pak Sako mulai berubah dan mula bersifat nasionalisme.

Prof. Dr. Hashim juga menjelaskan pandangan berdasarkan kajiannya bahawa kecenderungan pengarang-pengarang novel zaman sebelum perang pada peringkat awalnya lebih terarah kepada hal ehwal pembaharuan Islam atau bersikap reformis.

Namun, dalam peringkat perkembangan kemudiannya, pengarang tersebut mula cenderung kepada isu yang bersifat politik dan perjuangan bersifat nasionalis. Misalnya pengarang seperti Syed Syeikh al-Hadi, Ahmad Rasyid Talu, Ahmad Kotot, dan Raja Mansor Raja Abdul Kadir, lebih cenderung kepada idealisme reformis, sementara Syamsuddin Salleh, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Abdullah Sidek, Harun Aminurrasyid dan Abdul Kadir Adabi pula lebih cenderung kepada pembangunan ummah dari sudut nasionalisme.

Selepas Pak Sako dilucutkan jawatan daripada akhbar Warta Malaya lantaran akhbar tersebut tidak dibenarkan masuk ke negeri Terengganu kerana mengkritik pemerintah. Pak Sako menghasilkan novel Putera Gunung Tahan atau judul asalnya Hilang Di Mata yang dicetak oleh Jamaliah Press, Muar pada tahun 1938. Semangat nasionalismenya semakin jelas mengandungi kritikan yang bersifat simbolik terhadap kaum penjajah dan golongan feudal Melayu.

Novel keduanya, Anak Mat Lela Gila juga mempunyai nada kritikan yang sama, iaitu menggambarkan keadaan masyarakat Melayu hasil daripada lawatan beliau ke Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu. Novel ini diterbitkan pada tahun 1941, terbitan Annies Printing Works Johor Baru. Novel ini menyindir golongan penjajah dan pembesar Melayu yang tidak adil dalam pentadbiran negeri dengan mengangkat penderitaan Bulat di Cameron Highland.

Kemudian, bersama Ibrahim Yaakub, Pak Sako menjadi pengarang Malai Shimbun  pada tahun 1942, iaitu zaman penjajahan Jepun. Pak Sako memilih cara begitu hanya untuk meneruskan perjuangan nasionalisnya dengan bekerjasama dengan pihak Jepun untuk tujuan mendapat kemerdekaan daripada Inggeris. Sebaliknya bagi Jepun pula bertujuan untuk memperdayakan kelompok nasionalis.

Pak Sako terus menghasilkan tulisan dan karya kreatif dengan tujuan memberi kesedaran dan membangkitkan semangat kebangsaan.

Bagi Pak Sako, orang Melayu bukan sahaja perlu menentang penjajahan, malah perlu berubah untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka sendiri. Dalam Budak Becha (1957), Judi Karan (1958) dan Mata-Mata Sukarela (1959), Pak Sako menggambarkan sikap buruk orang yang tidak berhemah atau tidak berjimat cermat.

Melalui Budak Becha, Pak Sako dengan teliti telah mengemukakan sebab kemelaratan kaum tani, nelayan dan ahli perniagaan Melayu di Pantai Timur, dan mengesyorkan supaya orang Melayu mempelopori pembangunan di tempat mereka sendiri. Kemerdekaan memerlukan masyarakat Melayu untuk bekerja keras lagi. Selain itu, Pak Sako turut mengkritik golongan bangsawan Melayu yang gagal menjaga nasib bangsa Melayu, terpengaruh dengan kelicikan orang asing, terlibat dengan perjudian dan gaya hidup yang tewas dengan nafsu.

Pada akhir kuliahnya, Prof Dr. Hashim merumuskan bahawa Pak Sako bergerak sebagai reformis yang kemudian membentuknya menjadi seorang nasionalis. Beliau penulis dan aktivis politik atas dasar perjuangan, jaringan penglibatannya dalam Kesatuan Melayu Muda pada tahun 30-an, KRIS semasa Jepun, PKMM dan Putera. Hatinya mendukung suatu manifestasi modenisasi masyarakat Melayu.

Sebagai pengarang novel, Pak Sako berada dalam jaringan reformis Melayu yang lain, termasuk Syed Syeikh al-Hadi, Ahmad Rashid Talu, Ahmad Kotot, A. Kadir Adabi, Samsuddin Salleh, Raja Mansor, dan Abdullah Sidek. Mereka merupakan pengarang novel awal Melayu yang serius dalam pemikiran pembaharuan atau reformasi. Situasi ini ditambah dengan jaringan dunia penerbitan ketika itu yang mula rancak memudahkan penyebaran ideologi pembaharuan masyarakat yang seterusnya bangkit melakukan pemodenan dan menyaingi bangsa asing.

Sila tonton forum penuh di sini:

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.