Oleh Suyuthi Yusuf
25 Mei 2022, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur   Sasterawan Negara A. Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad terkenal dengan puluhan karya sama ada dalam bentuk novel, puisi, drama, dan esei. Kesemua karya tersebut mengandungi ciri, gaya dan pemikiran tertentu yang ingin disampaikan. Oleh itu, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan perkara tersebut menerusi program “Webinar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said”. Pembentang dalam webinar tersebut ialah Prof. Madya Dr. Mohammad Fadzeli Jaafar (UKM) dan Dr. Ayudez Zuraina (UPSI).

A. Samad Said, Sasterawan Negara.

Setiap penulis memiliki gaya bahasanya yang tersendiri. Gaya bahasa yang ditonjolkan dan terlihat dalam karya memperlihatkan kematangan seseorang penulis dalam berkarya. Dalam aspek ini, Dr. Mohammad Fadzeli melihat gaya vulgarisme dalam karya A. Samad Said. Antara karya yang dibincangkan oleh beliau ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang dan cerpen “Longkang”.

Pada permulaan perbincangan, beliau menerangkan terlebih dahulu pengertian tentang vulgar. Dalam pengetahuan umum, vulgar lebih diketahui sebagai bahasa yang lucah dan “kotor”. Vulgar juga sering dianggap memiliki konotasi yang negatif. Namun begitu, terdapat pengertian dan sisi lain daripada pengetahuan umum tersebut. Beliau mengambil penerangan daripada Ljung (2011):

vulgarisme lebih kepada merupakan sebuah konstruksi sosial yang dibuat oleh segelintir masyarakat yang mempunyai pengaruh dalam menentukan apa yang boleh dikatakan dan apa yang tidak boleh dikatakan.

Hal tersebut secara tersiratnya membahagikan kelas sosial kepada dua kategori, iaitu kelas sosial bawahan yang menggunakan bahasa rendah, termasuklah mencarut atau sumpah seranah. Kategori kedua pula ialah kelas atasan yang menggunakan bahasa yang sopan, standard dan formal.

Selain menerangkan tentang pengertian tersebut, beliau juga membezakan konsep vulgar dan slanga. Menurutnya slanga merupakan istilah yang dicipta oleh golongan tertentu dan berubah mengikut zaman. Vulgar pula lebih kasar dan sering digunakan dalam skatologikal (berhubungan dengan badan manusia atau tema seksual).

Beliau juga memetik ujaran Umar Junus (1989):

A. Samad Said dalam novel-novelnya yang awal, akhir 1950-an dan awal 60-an, memulai tradisi gaya yang baru, tidak ditemui bahkan mungkin dihindarkan sebelumnya. Gaya itu saya namakan vulgarisme, pengucapan sesuatu yang vulgar, kotor dan menjijikkan, dan keberanian menggunakan kata-kata vulgar, kata untuk kemaluan dan kotoran.

Sebagai contoh, beliau memetik petikan daripada novel Salina seperti di bawah.

Di kaki mereka berselerakan dan melekat-lekat tahinya yang bulat-bulat kecil seperti biji majun itu. Kebanyakan daripada masih bulat lagi. Tapi ada yang sudah leper-leper kerana dipijak berkali-kali oleh kambing-kambing itu sendiri.

Petikan berikut pula daripada novel Sungai Mengalir Lesu:

Sayangnya di tepi pisang dan potong kayu yang bersalut dengan tali guni dan sayur-sayur busuk itu terapung-apung pula tiga empat ketul tahi hitam yang panjang-panjang melengkung.

Tambahnya lagi, penggunaan bahasa vulgar boleh dianggap sebagai gaya khas pengarang. Hal tersebut tidak boleh dipandang atau dibaca secara literal sahaja. Pentafsiran terhadap teks perlu dilakukan agar pembaca dapat menangkap maksud sebenar pengarang. Contohnya, kotoran dapat dihubungkan dengan kemiskinan. Selain itu, gaya vulgar juga dapat dikaitkan dengan realiti kehidupan atau hakikat kehidupan itu sendiri yang berkaitan dengan kesusahan dan penderitaan. Gaya vulgar juga harus dibaca dalam konteks yang sesuai dan memiliki fungsi khasnya yang tersendiri.

Selain itu, vulgar juga boleh dibaca sebagai penyimpangan atau pemberontakan sosial terhadap ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat. Pak Samad dalam karyanya menggunakan gaya bahasa vulgar bagi menegaskan dan secara tidak langsung mengkritik kezaliman yang berlaku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.