24 Mei 2022, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin melihat Bacaton sebagai salah suatu kaedah baharu dalam memperkenalkan karya sastera kepada masyarakat umum.

Segmen lain ialah pakej dan promosi lokasi pengkaryaan. Dalam segmen ini, persembahan montaj/video rakaman dengan sisipan lokasi menarik dan muzik seperti berlatarkan pemandangan alam sekitar, dan produk pelancongan dapat membantu peserta menghayati proses sesebuah karya dihasilkan

Sejak beberapa tahun lalu, seorang penggiat dan penulis sastera dari Padang Rengas, Perak, Sallehuddin Ibrahim mencuba pendekatan baharu ke arah menimbulkan minat mendalam terhadap sastera menerusi kegiatan yang dipanggil olehnya secara ringkas sebagai Bacaton, iaitu baca dan tonton, kemudian berkarya.

Menurut beliau, Bacaton memanfaatkan karya terpilih untuk diadaptasi melalui media sosial, dan penerbitan khas secara cetakan, iaitu buku manual kepada peserta program “Uncang Ilmu Mudik ke Hulu” peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan permulaan di lokasi pengkaryaan terpilih di seluruh negeri Perak.

Antara matlamat Bacaton ialah melestarikan penulisan dan memacu keusahawanan seni budaya pasca penularan pandemik COVID-19 menerusi gabungan kerjasama penggiat industri menggunakan pelantar media baharu dan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat serta rakan sinergi khasnya untuk memberikan nilai tambah atau meluaskan pasaran produk.

Tambah Sallehuddin, terdapat tiga objektif Bacaton, iaitu:

  • meningkatkan kesedaran komuniti terhadap peranan karyawan/usahawan bersama-sama badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan dalam transformasi keupayaan modal insan dan pencapaian industri/komuniti.
  • menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan pendigitalan kelestarian warisan.
  • membina jaringan kerjasama antara penggiat industri dan pengguna.
Sallehuddin Ibrahim (kanan) menyerahkan majalah Dewan Pelajar yang turut tersenarai dalam program “Uncang Ilmu Mudik ke Hulu” kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Mazwin.

Untuk mencapai objektif ini, terdapat dua segmen utama yang dicadangkan dalam penerbitan “Uncang Ilmu Mudik ke Hulu”.

Salah satu daripadanya ialah sumbangan bahan bacaan (baucar Bacaton). Sumbangan itu, tambah beliau, ialah bahan bacaan dan perkongsian pautan video pilihan kepada peserta. Tindakan tersebut dapat menjana pembudayaan ilmu/berkarya dan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan serta peranan yang telah diberikan oleh ahli panel undangan seperti penulis, seniman serta budayawan.

Sawah padi antara lokasi pengkaryaan Bengkel Bacaton.

“Segmen lain ialah pakej dan promosi lokasi pengkaryaan. Dalam segmen ini, persembahan montaj/video rakaman dengan sisipan lokasi menarik dan muzik seperti berlatarkan pemandangan alam sekitar, dan produk pelancongan dapat membantu peserta menghayati proses sesebuah karya dihasilkan,” jelas Sallehuddin seterusnya.

Gabungan dua segmen ini dapat menarik khalayak untuk turut bersama-sama meraikan program dengan tema “Kelestarian warisan dan memacu modal insan”.

Selaras dengan situasi semasa akibat penularan COVID-19, penerbitan buku manual dan baucar Bacaton karya “Uncang Ilmu Mudik ke Hulu” secara dalam talian dan bersemuka di lapangan boleh dijadikan titik penyatuan pelbagai pihak untuk bersama-sama menyediakan penyelesaian terbaik menangani permasalahan berkaitan isu kehilangan sumber pendapatan, masalah tekanan mental, serta perubahan gaya hidup.

Sallehuddin menegaskan seni budaya telah terbukti boleh dijadikan sumber terapi dalam membantu permasalahan sosial ekonomi masyarakat. Tindakan proaktif rakan penaja pada peringkat negeri dapat membantu pelaksanaan program pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan kemudahan pelantar media sosial. Contoh kegiatan boleh dilihat menerusi halaman Facebook Mybacaton Multimedia.

Setakat ini, Sallehuddin telah merancang tarikh pelaksanaan pengedaran “uncang ilmu” ke seluruh negara, dan wakil persatuan pelajar Malaysia di luar negara dari Julai sehingga Ogos 2022 nanti. Ia melibatkan 14 buah negeri dan pelajar di luar negara.

“Program ini ditumpukan kepada mereka yang sedang mencari peluang menjana sumber ekonomi berteraskan seni budaya dan pelancongan, serta perkongsian pengalaman ahli panel undangan yang menawarkan penyelesaian untuk bangkit semula setelah terkesan penularan COVID-19,” jelas Sallehuddin lagi. Sasaran utama ialah golongan remaja dan lepasan sekolah serta universiti awam membuat persediaan sebelum menceburi dunia kerjaya keusahawanan.

Sallehuddin Ibrahim (kiri) bersama-sama penulis sewaktu bertemu dalam sebuah majlis sastera budaya di Kuala Kangsar pada 27 Mac 2022 yang lalu.

Pandangan dan cadangan peserta, katanya lagi, dapat membantu penganjur merancang program yang bersesuaian dan menangani permasalahan yang diutarakan dengan kerjasama pihak yang berkenaan.

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016). 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!