Oleh Fadli al-Akiti
23 Mei 2022, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu sosial dan alam sekitar memberi inspirasi kepada lima pemenang peringkat serantau, Hadiah Cerpen Komanwel 2022 seperti yang diumumkan hari ini oleh Yayasan Komanwel.

Lima pemenang itu masing-masing mewakili rantau Afrika, Asia, Caribbean, Pasifik, serta Kanada dan Eropah. Mereka ialah Ntsika Kota dari Eswatini yang mewakili Afrika; Sofia Mariah Ma dari Singapura (Asia); Cecil Browne dari United Kingdom (Kanada dan Eropah); Diana McCaulay dari Jamaica (Caribbean); dan Mary Rokonadravu dari Fiji (Pasifik).

Kelima-lima pemenang ini berusia antara 29 hingga 69 tahun.

Yayasan Komanwel dalam kenyataan akhbarnya berkata cerpen yang ditulis menampilkan pelbagai tema merangkumi pergolakan politik, keganasan dan perjuangan rakyat biasa untuk bertahan menghadapi kemungkinan yang hampir mustahil.

Mereka juga bercerita mengenai belas kasihan dan persahabatan yang tidak dijangka yang boleh timbul di tempat yang tidak pernah difikirkan. Malapetaka alam sekitar ialah tema utama dalam dua cerita yang menang, yang terdiri daripada genre antara fiksyen sastera dan sejarah, fiksyen spekulatif dan jenayah.

Ketua Hakim, Fred D’Aguiar berkata, “Jika seorang pembaca menyimpan sebarang keraguan tentang sama ada fiksyen relevan dengan dunia hari ini, setiap cerpen ini menjawab dengan balasan yang bergema dengan kuat: ya.”

Hadiah Cerpen Komanwel, yang ditadbir oleh Yayasan Komanwel, dianugerahkan setiap tahun untuk karya terbaik fiksyen pendek yang belum diterbitkan. Penganugerahan ini dibuka kepada penulis dari 54 negara anggota Komanwel.

Hadiah Cerpen Komanwel ini juga merupakan pertandingan penulisan yang paling mudah diakses dan bersifat antarabangsa. Selain menerima penyertaan dalam bahasa Inggeris, penyertaan juga boleh dihantar dalam bahasa Benggali, Cina, Kreol, Perancis, Yunani, Melayu, Portugis, Samoa, Swahili, Tamil, dan Turki.

Kali ini, panel penilai antarabangsanya dipengerusikan oleh penulis Guyana Fred D’Aguiar, memilih lima cerita pemenang daripada 26 buah karya yang sudah disenarai pendek. Secara keseluruhan edisi kali ini menarik lebih 6730 penyertaan dari 52 negara Komanwel.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.