Oleh Zaidi Saad
21 Mei 2022, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa 2022 telah diadakan pada 21 Mei 2022, pukul 2.00 petang di Balai Seminar, Tingkat Enam, Wisma DBP, Kuala Lumpur. Program bertemakan “Bahasa Melayu Bahasa Dunia” dirasmikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Turut hadir dalam program tersebut ialah YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), YBhg. Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Profesor Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Sasterawan Negara, Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, wakil kedutaan dan agensi, pengarah-pengarah jabatan, ketua-ketua bahagian serta tetamu undangan.

Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa 2022 ini diadakan bersempena dengan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu Antarabangsa 2022 yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2022. Simposium antarabangsa ini merupakan anjuran Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama DBP, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan rakan kerjasama, iaitu Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu GAPENA memberikan ucapan alu-aluan.

Menurut YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu GAPENA dalam ucapan alu-aluan, pengumuman Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengenai hasrat kerajaan untuk menyemarakkan proses pengantarabangsaan bahasa Melayu di dunia menjadi suatu pemulihan semangat kembali dalam proses pengantarabangsaan bahasa Melayu setelah hilang sekejap lantaran program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Dual Language Programme (DLP). YBhg. Datuk Zainal berharap agar program ini dapat memulihkan semangat masyarakat untuk bergerak bersama-sama menyongsong masa depan bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia di persada antarabangsa.

YBhg. Datuk Zainal juga berharap agar YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan akan menyatakan semangat besar rakyat terhadap pembinaan bangsa dan bahasa di dunia dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika menyampaikan ucapan perasmian pada program tersebut berkata, majlis tersebut cukup penting, yang dipertalikan dengan kegiatan besar yang akan bermula esok, iaitu Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diilhamkan sendiri oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Gagasan YAB Perdana Menteri selaras dengan siri kenyataan beliau dalam dan luar negara untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN dan sebagai bahasa yang digunakan oleh kerajaan dalam forum-forum antarabangsa.

“Selain soal bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, saya turut menitikberatkan peranan bahasa Melayu terhadap aspek estetik. Dengan ini, sayembara pada petang ini juga memenuhi fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa estetik, yang tidak patut dialpakan”, ujar YBhg. Profesor Datuk Seri dalam ucapan beliau.

Peserta Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa 2022.

Program Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa 2022 yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri, GAPENA dan DBP ini mendapat penyertaan sebanyak 15 orang peserta dari 11 negara, iaitu Malaysia, China, Rusia, Brunei Darussalam, Syria, Pakistan, Korea, Thailand, Indonesia, Palestin, Nigeria dan Afrika Selatan.

Tonton Sayembara Deklamasi Puisi Bahasa Melayu Antarabangsa 2022 di sini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.