Oleh Wan Nor Azriq
19 Mei 2022, 06:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wan Nor Azriq menulis reaksi balas terhadap sebuah makalah Faisal Tehrani tentang hakikat tujuan penulisan dan jati dirinya.

Ada banyak cara untuk mengkritik dan menegur kepincangan dalam sebuah masyarakat. Lebih-lebih lagi dalam budaya Melayu. Niat tidak mewajarkan kekerasan.

Kesunyian sentiasa wujud dalam sebuah dunia yang bising. Kita bergerak di dalamnya, kita hidup di dalamnya, seperti ikan bernafas di dalam air. Tetapi kita tidak menyedari dunia yang memenjarakan kita kerana setiap waktu kita hanya mendengar bisikan suara laut. Sebaik sahaja kita terjerat dalam gulungan ombak, dan tubuh kita menggelinding di atas batu-batu tajam, baru kita meronta-ronta mencari air.

Makalah ini merupakan penelitian dan pertimbangan saya terhadap pendapat, kritikan, dan umpan yang dihulurkan oleh Faisal Tehrani dalam karangannya berjudul “Masyarakat yang Malas Berfikir” (terbitan 12 Mei di portal dalam talian Free Malaysia Today). Perkara pertama Faisal perlu fahami ialah saya bukan paus mahupun jerung. Saya bukan pesimis mahupun pemusnah. Saya tidak bermain dengan umpan berbentuk serangan peribadi. Jiwa saya memang jiwa orang muda (seperti Faisal berulang-ulang kali mengingatkan pembacanya). Saya ingin meneroka, saya ingin memberontak, saya ingin menggelintar, saya ingin menjelajah, saya ingin mempersoalkan, saya ingin mencari jawapan. Dan ya, saya ingin mengkritik. Saya ingin menjadi ikan bernama Nemo. Oleh itu, sesuai dengan jiwa muda dalam tubuh ikan berwarna jingga ini, saya ingin menyimpang daripada tradisi dan membawa pembaca ke sebuah cerita bangsa Cina pada masa lalu.

Tetapi masa lalu saya ingin kembali sudah tentu tidak sama dengan masa lalu yang Faisal ingin kita tunduk dan patuh. Meminjam bahasa budaya pop hari ini, masa lalu Faisal wujud dalam multiverse berbeza. Masa lalu Faisal gelap, pesimis dan kaya dengan kebobrokan di mana orang Melayu masih hidup di bawah tumit raja-raja dan minda mereka dirantai oleh kerangka stereotaip penjajah kolonial. Benar, kita patut membaca sejarah, dan belajar daripada kesilapan generasi terdahulu. Tetapi bukan untuk menjadi hamba kepada sejarah, apatah lagi berangan memiliki batu infiniti Thanos untuk mengubah nasib tamadun yang gagal menjadi kebal dan gemilang.

Maaf saya menyimpang sampai dua kali untuk sampai kepada cerita hantu Pu Songling (1640–1715). Namun itu harga yang kita perlu bayar kadang-kadang untuk melawan kebobrokan dan kebungkaman pemikiran. Kita perlu merantau jauh merentas budaya untuk melihat dunia dari kaca mata bangsa lain. Adapun Pu Songling, seorang penglipur lara terkenal, pernah meriwayatkan sebuah peristiwa aneh yang menimpa seorang sami tua di Changqing. Ketika sedang berjalan di laman rumahnya, pada suatu pagi, si sami tiba-tiba pengsan. Rohnya bangkit lalu bergentayangan ke udara. Pada waktu sama, seorang pemuda bangsawan di daerah lain telah terjatuh mati dari kuda ketika sedang keluar memburu di tengah hutan. Roh si sami yang kebetulan melintas, memilih untuk masuk ke dalam tubuh pemuda itu. Dia berasa janggal pada mulanya kerana tiba-tiba hidup semula dalam tubuh bangsawan yang muda, kaya, dan terhormat. Dia masih rindu akan anak-anak muridnya di Changqing. Perlahan-lahan si sami belajar menerima tubuh barunya. Dia akhirnya memilih untuk menjadi pemuda dengan jiwa lelaki berusia seratus tahun.

Ada banyak cara untuk mengkritik dan menegur kepincangan dalam sebuah masyarakat. Lebih-lebih lagi dalam budaya Melayu. Niat tidak mewajarkan kekerasan. Seorang sasterawan berpengalaman seperti Faisal sepatutnya lebih arif dan sedia maklum akan perkara ini. Sasterawan bukan sahaja menegur, sasterawan juga perlu merawat dan mendampingi masyarakat. Apakah Faisal sudah lupa peribahasa Melayu, “Bukit sama didaki, luruh sama dituruni”? Kalau tujuan sastera hanya untuk mengkritik melalui kutukan dan kecaman, maka pena seorang sasterawan tidak ada beza daripada belantan penjajah dan pisau yang memutuskan tali gantung. Sasterawan yang menghukum ialah sasterawan yang tidak percaya pada masa depan. Metaforanya ialah metafora kematian, dan kata-katanya ialah kunci kepada penjara pemikiran.

Namun, kita harus akui, kita tidak dapat lari daripada kenyataan sebenar: fikiran manusia ialah sebuah penjara bergerak. Tabiat ialah lantainya dan kebosanan ialah dindingnya. Seumur hidup kita menggelintar di atas dunia ini mencari kunci yang akan membebaskan minda kita. Tetapi ia tidak semudah yang kita sangka. Minda manusia bukan panggung wayang yang kita boleh keluar masuk sesuka hati. Ada tembok dan menara; ada lingkaran demi lingkaran, pintu demi pintu, dan tangga demi tangga yang kita harus lalui. Semuanya dibentuk dan dibangunkan oleh budaya dan masa lalu kita. Faisal hanya melihat masalah Melayu sebagai masalah Melayu. Satu pintu, satu penjara di antara lapisan-lapisan penjara.

Dalam masyarakat digital hari ini yang mengutamakan likes dan instagrammable, emosi manusia telah menjadi bungkam. Menurut Byung-Chul Han dalam bukunya berjudul The Palliative Society, kita sedang mengalami algofobia, iaitu ketakutan pada rasa sakit. Kita melihat kesakitan sebagai sesuatu yang negatif, tidak popular dan perlu dielakkan. Jumlah likes lebih penting daripada fakta dan kebenaran. Justeru, masalah psikologi manusia tidak lagi terbatas pada sesuatu bangsa atau negara. Faisal menyalahkan orang Melayu Filipina kerana mendambakan “penindasan dan korupsi” sehingga mereka sanggup memilih Ferdinand Marcos Jr. sebagai presiden. Tetapi bukankah kejatuhan liberal kiri dan kebangkitan politik populis sedang berlaku di seluruh dunia? Kenapa fokusnya hanya berpusat pada orang Melayu di Asia Tenggara? Lebih penting: kalau sistem politik dan propaganda media sosial sesebuah negara sudah korup dan runtuh, kenapa rakyat jelata yang keluar mengundi dijadikan kambing hitam? Barangkali Faisal lupa terhadap teguran dan kritikan tajam Munshi Abdullah mengenai punca kemunduran orang Melayu dalam adikaryanya Hikayat Abdullah:

Maka kuselidik-selidik dalam perasaanku, maka kudapatilah akan sebabnya itu atas beberapa perkara, tetapi dalam antara itu yaitu sebab zalim dan aniaya perintah raja-rajanya berlebih-lebihan di atas segala rakyatnya, sehingga hati rakyatnya itu menjadi seumpama tanah yang tiada berbaja lagi, maka sebab itulah tiada boleh bertumbuh barang suatu pekerjaan atau pengajaran atau ilmu atau kepandaian yang baik dalamnya … dan lagi hakikat adalah yaitu seperti ikan yang kecil-kecil, maka gunanya itu menjadi makanan segala ikan yang besar-besar adanya.

Bayangkan, Munshi Abdullah menulis ini pada tahun 1849, Faisal Tehrani pula menuduh orang Melayu malas berfikir pada tahun 2022! Ia seolah dalam tempoh 150 tahun, nasib orang Melayu masih umpama tanah yang tidak berbaja. Mereka tidak pernah melawan pemerintah, tidak pernah mencipta apa-apa, tidak pernah berfikir. Mereka tidak pernah menukar kerajaan pada 2018. Mereka tidak pernah percaya pada perubahan dan masa depan. Dalam sebuah novel alternatif sejarah kategori remaja, barangkali visi dan kosmologi bobrok Faisal boleh menjadi kenyataan. Walau bagaimanapun, realiti sebenar, manusia sentiasa berubah, sentiasa ingin memperbaiki nasibnya. Manusia sentiasa ingin bebas.

Kredit Foto: Yaopey Yong/Unsplash

_________________________

Wan Nor Azriq suka menjelajahi buku dan jalan raya, selain sekali-sekala singgah berkomentar di blog peribadinya, Kritikus Sastera. Buku mutakhir beliau ialah kumpulan cerpen Mana Dadu Darjeeling (Kata-Pilar Books, 2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.