17 Mei 2022, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bagi seorang anak, ibu ialah apabila kita melihat ke dalam matanya, kita akan sentiasa menemui sebuah sinar yang menerbitkan damai. Ceritakanlah apa-apa kisah yang paling “gelap” sekalipun, cahaya sentiasa akan muncul di alis matanya seperti lentera yang sentiasa memberi semangat pada diri. Sempena Hari Ibu pada bulan Mei, editor Jendela DS memberi peluang kepada Raihani Saaid untuk memberikan secebis kisah tentang ibunya, Sasterawan Negara Zurinah Hassan.

A mother’s love for her child is like nothing else in the world. It knows no law, no pity. It dares all things and crushes down remorselessly all that stands in its path” – Agatha Christie

Mother: The most beautiful word on the lips of mankind” – Kahlil Gibran

___________________________________

Kalau pencapaian hang tak boleh lebih hebat dari Mak, sekurang-kurangnya mesti SAMA dengan Mak!

 Ingin Jadi Sasterawan

Janganlah kau menjadi orang kecil
kelak segala yang kau tulis
walaupun besar akan diperkecil-kecilkan
yang penting jadilah orang besar
kelak segala yang kau tulis, walaupun kecil
akan diperbesar-besarkan.

(Zurinah Hassan)

 

M enjadi anak kepada seorang Zurinah Hassan ialah berkampung di sebuah negeri pahit manis; jalannya berliku dan tidak mudah tetapi di hujung kampung terbentang sebuah tasik indah.

Klise seorang anak penulis ialah beliau dibesarkan dalam timbunan buku dan dunia aksara, tetapi klise itu memberi bahagia. Sejak kecil saya memang suka mengulit buku dan sering dibawa ke acara sastera. Kecenderungan kepada dunia penulisan itu sudah tercermin daripada contoh karangan saya yang berjela-jela di sekolah, tetapi saya “merayau-rayau” agak lama dalam bidang seni lain, seperti muzik dan tarian sebelum memutuskan untuk serius sebagai penulis pada usia 15 tahun. Akhirnya, ibu saya mempunyai seorang kawan untuk beliau bercakap-cakap (baca: bergosip) perihal dunia sastera dan sasterawan.

Namun begitu, insan yang bertanggungjawab membawa saya ke dunia penulisan secara rasmi ialah Allahyarham penyair Zahari Hasib dan Dr. Lim Swee Tin. Dua insan inilah yang berjasa membantu saya sehingga karya pertama saya tersiar di akhbar dan saya memenangi hadiah sastera saya yang pertama di peringkat kebangsaan. Tahun ini ialah tahun ke-28 saya memilih untuk bergulat dalam dunia kata-kata. Cakap-cakap nakal tentang adanya “tangan ajaib” yang menukang karya-karya terawal saya, rasanya sudah dibawa deru angin.  Untuk bertahan selama ini dengan kekuatan diri sendiri bukanlah suatu perkara yang mudah. Bayang yang meneduhi perjalanan saya juga sangat kuat.

Apabila saya mengikuti pengajian Diploma Penulisan Kreatif di Akademi Seni Kebangsaan (sekarang ASWARA) dan Sarjana Muda Seni Persembahan (Drama) di Universiti Malaya, saya mempunyai rujukan “orang hidup” untuk membincangkan konflik batin Macbeth, kesedihan Willy Loman, seksa jiwa Blanche Dubois dan takrif baharu wira dalam Matinya Seorang Pahlawan. Apabila saya memilih menggunakan teori Kritik Feminis untuk pengajian Sarjana dan membaca firasat dalam filem-filem P. Ramlee untuk Ph.D saya, kami boleh sembang perkara ini sambil memasak di dapur.

Sembang-sembang kami ini menjadi serampang banyak mata di gelanggang kreativiti kami; dibawa ke tulisan ilmiah dan mewarnai karya kreatif kami berdua. Apabila bertugas di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA (2015-2019) dan kemudiannya sebentar di FiTA, UiTM, saya telah memanfaatkan segala ilmu, pengalaman dan jaringan yang ibu saya miliki untuk melancarkan banyak urusan, memperkasakan banyak aktiviti peluasan termasuklah mendapatkan tokoh-tokoh tertentu untuk menyantuni aktiviti kami tanpa banyak “red tape”.

Sepanjang perjalanan ini, tidak semuanya direnjis madu dan wangi mawar. Duri beracun juga banyak di kiri dan kanan. Cakap-cakap seperti ‘’asyik berkepit dengan Mak’’ atau ‘’tak bolehkah kalau memperkenalkan diri tu tak sebut nama Mak?’’ bukan tidak biasa saya hadap. Tetapi cuba lihat daripada perspektif kami. Pada usia ibu saya begini, beliau sangat memerlukan bantuan seseorang untuk membawa beliau ke acara-acara, bantuan untuk mengangkat barang, membuat dokumentasi, memperingatkan tentang jadual dan kod protokol serta pelbagai lagi kerja yang berkaitan dengan peranan beliau sebagai seorang Sasterawan Negara. Sementelah saya juga berada dalam bidang yang sama dan mempunyai waktu untuk memberi komitmen, maka tidak hairanlah saya juga akan membuat kerja-kerja yang disebut di atas, apatah lagi kami tinggal serumah. Yang dilihat ialah seorang anak yang tidak boleh berdiri sendiri. Mengapa tidak dilihat pada peranan seorang anak yang berbakti kepada kunci syurganya?

Sempena sambutan hari ibu, tiada apa yang saya minta selain supaya semua doanya untuk saya diperkenankan.

Detik yang benar-benar membahagiakan hidup kami ialah apabila beliau diumumkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-13, sekali gus menjadikan beliau wanita pertama yang mengungguli gelaran tersebut. Banyak yang “pertama” dalam hidup bonda saya. Selain menjadi wanita pertama bergelar Sasterawan Negara, beliau juga merupakan penulis wanita pertama di Malaysia yang memiliki kumpulan puisi persendirian (Sesayup Jalan, USM, 1974), wanita pertama dianugerahi darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran “Dato” atas kapasiti penulis serta sasterawan pertama yang menjadi watak dalam animasi Upin dan Ipin (episod Aku Sebuah Buku).

Saya bangga dan bahagia kerana inilah hadiah terbesar kepada perjuangannya dalam sastera selama ini. Saya masih teringat gurauan beliau apabila acap kali ditanya apakah beliau terkejut diumumkan sebagai Sasterawan Negara; “Mengapa saya mesti terkejut? Saya sudah menulis bertahun-tahun dan nama saya sudah lama dibincangkan sebagai calon Sasterawan Negara. Menjadi Sasterawan Negara memang impian ramai penulis. Kalau diumumkan sebagai Olahragawan Negara barulah saya terkejut!’’

Sempena sambutan hari ibu, tiada apa yang saya minta selain supaya semua doanya untuk saya diperkenankan. Saya ialah anak yang sering meruntun hatinya dengan tragedi demi tragedi yang meranjau kehidupan peribadi saya tetapi kelebihan beliau sebagai seorang sasterawan itulah yang mendorong saya untuk terus ke hadapan. Apabila beliau mendendangkan syair dan nazam di pentas, beliau akan ditanya apakah syair dan nazam itu juga didendangkan untuk mendodoikan saya tidur? Jawapannya, tidak. Ibu saya lebih suka saya berjaga dan membuat kerja!

Oh, apakah harapan beliau untuk saya, puteri sulungnya? ‘’Kalau pencapaian hang tak boleh lebih hebat dari Mak, sekurang-kurangnya mesti SAMA dengan Mak!’’

Sekurang-kurangnya mesti SAMA itu ialah memiliki Ph.D dan menjadi Sasterawan Negara. Kembali kepada puisi di atas, ya, bonda mahu saya menjadi “orang besar”.

____________________________

Raihani Mohd Saaid merupakan puteri sulung SN ke-13, Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Mula berkarya sejak tahun 1994 dalam genre puisi, cerpen, novel, esei dan lirik lagu. Pernah memenangi banyak sayembara di peringkat kebangsaan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Kini, beliau sedang menyiapkan PhD di Universiti Malaya dalam bidang filem.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!