Oleh Karmila Azmi
13 Mei 2022, 07:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha penulisan pengarang Malaysia mendapat sokongan keluarga mantan Ahli Parlimen Kampar, mendiang Fan Yew Teng menerusi kewujudan Dana Fan Yew Teng yang dibuka permohonannya kepada semua penulis sehingga 31 Julai nanti.

Keluarga mendiang Fan dalam kenyataannya berkata, dana itu yang diwujudkan bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-80, dibuat bagi meraikan semangat kebebasan mantan Ahli Parlimen Kampar dan Menglembu itu.

Anak perempuannya, Pauline Fan berkata, Dana Fan Yew Teng untuk Penulisan Bebas (Fan Yew Teng Grant for Independent Writing) menyediakan bantuan kepada penulis terpilih untuk menyiapkan karya penulisan yang sedang mereka usahakan.

“Dana ini ingin menggalakkan para penulis Malaysia untuk menghasilkan karya sastera (cereka dan bukan-cereka) yang meraikan semangat kebebasan, daya cipta, dan kebebasan berfikir serta bersuara.

“Setiap tahun, hanya seorang penerima dana akan dipilih melalui proses permohonan terbuka.

“Individu yang terpilih akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM5000 untuk digunakan dalam menjalankan kajian dan menyiapkan penulisan karyanya,” katanya.

Tegas Fan, dana itu juga bertujuan memperingati semangat kebebasan mendiang ayahnya, seorang penulis, pembela hak asasi manusia, guru, pemimpin kesatuan, dan Ahli Parlimen. Fan Yew Teng juga terkenal sebagai seorang tokoh yang berpegang teguh pada prinsipnya. Beliau percaya bahawa tulisan mampu untuk memberi suara kepada kemanusiaan, bersikap tegas kepada penguasa, dan berbicara tentang pengalaman manusiawi.

Dana itu terbuka kepada karya dalam bahasa Melayu juga Inggeris tetapi hanya dibuka kepada pemohon warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas, pernah menerbitkan karya bukan-cereka atau cereka (penulis yang sekadar pernah menerbitkan sendiri karyanya adalah tidak layak).

Karya itu juga mestilah sebuah karya persendirian—bukannya dikerjakan di bawah mana-mana institusi, syarikat atau pertubuhan. Karya itu juga boleh ditulis dalam bentuk esei, kewartawanan, bab-bab buku, memoir, cerpen, novela, atau novel, manakala topik karya yang dicadangkan mestilah menyentuh semangat kebebasan, keadaan hal manusia, dan kebebasan berfikir dan bersuara, baik secara langsung ataupun tidak.

“Jumlah patah perkataan adalah sekurang-kurangnya 10 000 patah perkataan dan keutamaan diberikan kepada karya-karya yang sedang diusahakan dan yang masih belum memiliki bantuan kewangan.”

Permohonan atau sebarang pertanyaan boleh dikemukakan ke alamat [email protected]

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!