Oleh Aravin Kumar
11 Mei 2022, 07:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aravin Kumar memaklumkan liku perkembangan baharu tentang pengkaryaan sastera Tamil Malaysia yang mula mendapat perhatian di India dan dunia.

Ketika karya sastera Tamil mula ditulis di Malaysia, unsur nostalgia menjadi teras dalam kebanyakan karya tersebut.

Sejak dahulu lagi, sudah wujud rungutan bahawa karya sastera Tamil yang dihasilkan di Malaysia tidak mendapat perhatian mahupun sambutan di Tamil Nadu, India. Terdapat beberapa sebab mengapa nasib ini berlaku terhadap karya sastera Tamil Malaysia, sedangkan kandungan kesusasteraan Tamil yang ditulis di India pula diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan mendapat perhatian di seluruh dunia. Ketiadaan unsur keunikan dalam kesusasteraan Tamil Malaysia menjadi antara punca utamanya.

Ketika karya sastera Tamil mula ditulis di Malaysia, unsur nostalgia menjadi teras dalam kebanyakan karya tersebut. Kebanyakan karya yang ditulis menceritakan kerinduan orang-orangnya terhadap tanah air dan kisah kekecewaan yang berlaku ketika merantau di negara orang. Ekoran daripada pengaruh cendekiawan dalam bidang kesusasteraan di Tamil Nadu, penulis-penulis di sini mula memberikan keutamaan kepada penulisan karya yang berteraskan nilai moral dan pengajaran. Kaedah penulisan ini mula digunakan secara meluas untuk mendepankan pelbagai masalah kehidupan yang disusuli pula dengan penyelesaian yang mudah. Agak banyak juga karya yang dihasilkan di sini dengan berpandukan karya-karya fiksyen yang popular di Tamil Nadu. Maka, karya-karya seumpama itu telah diketepikan dan tidak mendapat perhatian dalam kalangan penggemar sastera Tamil di Tamil Nadu.

Maka, boleh dikatakan bahawa, kesusasteraan Tamil di Malaysia telah berkembang dalam persekitaran yang pasif tanpa mengambil penyertaan dalam perkembangan kesusasteraan sedunia, mahupun dalam perkembangan kesusasteraan Tamil. Sikap progresif dan semangat kompetitif tidak wujud dalam kalangan penulis masa itu apabila mereka sendiri membataskan pemikiran mereka bahawa karya-karya sastera Tamil ini dihasilkan oleh penulis daripada etnik yang terkecil di Malaysia. Jadi, tidak ada kritikan ataupun penilaian yang telus diletakkan terhadap karya yang dihasilkan oleh kalangan mereka.

Namun begitu, keadaan ini mula mengalami perubahan secara berperingkat mulai tahun 2000. Cara kehidupan di Malaysia yang unik mula menjadi tema utama dalam pengkaryaan kesusasteraan Tamil kontemporari. Budaya menilai dan mengkritik karya-karya yang ditulis di Malaysia secara telus mula diamalkan. Budaya perbandingan antara kandungan sastera Tamil Malaysia dengan karya-karya sastera yang terpenting dalam bahasa Tamil dan bahasa-bahasa tersohor di dunia turut dibangunkan. Penerbitan majalah-majalah sastera, seperti Vallinam, Kaathal dan Parai, telah memainkan peranan penting dalam usaha tersebut. Tambahan pula, perkembangan teknologi seperti internet telah memangkinkan lagi usaha penerbitan karya dalam talian daripada ramai penulis serta menjadi platform antara mereka untuk mengadakan perbincangan yang sihat.

Vallinam merupakan antara majalah sastera dalam talian yang dilancarkan pada tahun 2007 untuk memperkembangkan kesusasteraan Tamil Malaysia. Dengan usaha-usaha sedemikian, kesusasteraan Tamil Malaysia mula mendapat sudut pemerhatian secara meluas di serata dunia.

Sememangnya, karya sastera Tamil berbentuk fiksyen telah giat dihasilkan di luar Tamil Nadu lebih daripada satu abad. Kini, tibalah masanya untuk memperluas penerimaannya secara lebih terbuka.

Buat masa ini, penulis B. Jeyamohan dilihat sebagai sasterawan Tamil yang terulung dalam persekitaran kesusasteraan Tamil semasa. Hal ini kerana beliau telah mencipta semula salah satu epik kesusasteraan India yang tersohor, iaitu epik Mahabharata dari perspektif sastera dan falsafah moden. Beliau telah menulisnya menjadi sebuah siri novel bahasa Tamil yang terpanjang di dunia. Siri tersebut diterbitkan dalam jumlah 25 jilid serta mengandungi 26 000 halaman. Selain itu, beliau juga mengendalikan pemberian Anugerah Vishnupuram, salah satu anugerah berprestij yang diberikan kepada penulis karya sastera Tamil yang terbaik, sama ada yang berasal dari Tamil Nadu atau dari negara serantau yang menghidupkan bahasa Tamil. Dalam pada itu, Anugerah Vishnupuram bagi tahun 2017 telah diberikan kepada salah seorang penulis Tamil veteran Malaysia, iaitu C. Muthusamy. Pengarang C. Muthusamy pernah menghasilkan karya-karya yang mendukung sejarah hidup masyarakat India yang menetap di persekitaran kawasan ladang getah pada akhir era 1970-an. Ekoran daripada pemberian anugerah tersebut, karya-karya kesusasteraan Tamil Malaysia mula mendapat perhatian yang meluas dalam kalangan penggemar sastera Tamil sedunia.

Dari kiri: K. Balamurugan, C. Muthusamy, M. Navin, dan B. Jeyamohan.

Pada masa yang sama, Komuniti Sastera Tamil yang bergiat di negara Kanada pula menyampaikan Anugerah Iyal kepada para penulis yang telah menghulurkan peranan dan sumbangan besar dalam perkembangan kesusasteraan Tamil. Pada tahun 2018, Anugerah Khas Iyal tersebut telah diberikan kepada M. Navin, salah seorang penulis Tamil Malaysia. Anugerah tersebut telah diberikan kepada beliau yang aktif dalam perkembangan kesusasteraan Tamil moden di Malaysia dengan menerbitkan pelbagai bentuk bahan sastera seperti majalah berkala, antologi cerpen, novel, koleksi rencana wawancara, dan kumpulan puisi. Selain itu, cerpen yang ditulis oleh K. Balamurugan, seorang lagi penulis Tamil Malaysia turut terpilih dan diterbitkan sebagai kandungan buku teks kurikulum di bawah Kerajaan Tamil Nadu.

Maka secara jelasnya, dapat dibuktikan bahawa perubahan dalam perkembangan kesusasteraan Tamil Malaysia berlaku secara signifikan selepas tahun 2000, sebaik-baik sahaja amalan kehidupan masyarakat India di negara ini mula digunakan sebagai tema dalam konteks penulisan sastera. Karya-karya sastera Tamil yang dihasilkan sejurus itu bukan sahaja mengutarakan cara hidup masyarakat India semata-mata, malah turut mendedahkan konteks Malaysia sebagai sebuah negara unik yang berbilang etnik.

S. Ramakrishnan

Baru-baru ini, seorang lagi penulis kesusasteraan Tamil yang tersohor, iaitu S. Ramakrishnan telah mengemukakan kenyataan bahawa penulis M. Navin dari Malaysia merupakan salah seorang daripada enam orang penulis kesusasteraan Tamil terpenting yang tinggal di luar Tamil Nadu, India. Dengan memetik kandungan artikel yang diterbitkan oleh Tamil Hindu, salah satu akhbar harian terkemuka di Tamil Nadu, beliau menyatakan bahawa karya-karya sastera yang dihasilkan oleh M. Navin mencerminkan keadaan dan amalan hidup orang Tamil di Malaysia pada masa kini. Beliau juga menyatakan bahawa novel Sikandi yang dihasilkan oleh M. Navin baru-baru ini menampilkan kisah kehidupan golongan transjantina (transgender) Malaysia secara halus serta menggambarkan krisis kehidupan dan dunia gelap yang beroperasi di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur.

Penghargaan yang disampaikan ke atas karya M. Navin ini boleh dikatakan suatu pengiktirafan yang diberikan kepada perkembangan kesusasteraan Tamil Malaysia. Sememangnya, kesusasteraan Tamil ini merupakan sebahagian daripada anggota kesusasteraan Malaysia. Maka, pengiktirafan seumpama ini amat bermakna kepada seorang penulis Tamil Malaysia demi mengangkat wajah kesusasteraan Malaysia agar lebih mudah dikenali oleh para penulis sastera dari seluruh dunia. Sememangnya, karya sastera Tamil berbentuk fiksyen telah giat dihasilkan di luar Tamil Nadu lebih daripada satu abad. Kini, tibalah masanya untuk memperluas penerimaannya secara lebih terbuka.

Pengiktirafan yang diberikan oleh para pengarang terulung, seperti B. Jeyamohan dan S. Ramakrishnan membuktikan, betapa pentingnya karya sastera Tamil yang dicipta dengan keunikan warna dan citra Malaysia perlu melangkaui identiti linguistiknya supaya dapat didekati sebagai karya sastera Malaysia. Ramai lagi pihak yang menunggu di luar sana untuk menyambut dan mengiktiraf karya-karya yang dihasilkan dengan berpaksikan ciri-ciri dan keunikan tanah air kita. Karya-karya seumpama inilah yang bakal dijadikan contoh identiti terhadap kesusasteraan negara ini. Sudah tiba masanya buat para penulis Tamil Malaysia agar bergerak ke arah itu.

_________________________

Aravin Kumar berasal dari Kuantan, Pahang, dan kini berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur. Beliau mempunyai bacaan yang luas dalam kesusasteraan moden Tamil. Beliau juga pernah menulis beberapa esei kritikan kesusasteraan Tamil dan cerpen dalam majalah Vallinam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.