30 April 2022, 07:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muhammad Lutfi Ishak melunaskan satu huraian yang berpatutan dalam perbincangan kali ini tentang inti pati Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah batu asas pendidikan di Malaysia yang tidak boleh dibelakangkan sama sekali. Akan tetapi, sekitar 20 tahun belakangan, pihak terbabit seakan-akan bertolak bukan lagi atas perkiraan pendidikan, tetapi pertimbangan ekonomi, politik, sains, serta teknologi.

Selagi bumi berputar, selagi itulah kita tertakluk kepada adat kehidupan. Sudah menjadi hukum-Nya di dunia, sebab akan sentiasa dituruti akibat. Apabila sebiji bola getah dibaling ke lantai, bola itu hanya melantun beberapa kali. Akan tetapi, bagaimanakah pula jika hukum sebab-akibat tersebut dipakaikan dalam konteks yang lebih luas? Hasilnya ialah suatu rantaian sebab-akibat yang rumit dan berpanjangan.

Sebagai contoh, apabila kaum petani berhenti menanam padi, harga beras meningkat dalam pasaran. Hal ini menyebabkan pelbagai akibat. Untuk sesetengah golongan, hal ini ialah soal hidup dan mati. Mereka yang miskin boleh kebuluran. Jenayah akan meningkat. Golongan oportunis pula mendapat pelbagai peluang. Mereka yang terdesak akan memenuhi jalan raya, memecah masuk kedai dan pasar raya, maju ke parlimen dan pelbagai institusi penting; sejarah sering mencatatkan, kerusuhan dan kekacauan politik, boleh bermula dengan keputusan makanan keperluan.

Begitu jugalah keadaannya dengan konteks perbincangan ini. Apabila pendidikan semasa tidak lagi bertolak daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), wujudlah pendidikan terpisah. Pendidikan terpisah ini, jika diikuti rantaian sebab-akibatnya, menghantar kita kepada salah satu daripada dua punca mentaliti negatif sastera, seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Oleh sebab dalam pertalian tersebut melibatkan FPK, maka, dalam Sekilas April, menuruti para ilmuwan berwibawa dalam bidang pendidikan, turut dinyatakan tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang baik. Tujuan yang samalah juga, jika diteliti, menjadi inti pati dan matlamat FPK.

Penyataan tersebut dibuat untuk memperlihatkan bahawa negara kita mempunyai falsafah pendidikan yang jelas. Jika proses pendidikan bertolak daripada asas tersebut, akibatnya, tentulah insan yang baik. Seperti yang dirumuskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, insan yang baik akan menjadi warganegara yang sempurna. Sebaliknya, warganegara yang sempurna belum tentu menjadi insan yang baik.

Namun begitu, berdasarkan beberapa perkembangan, pihak yang mengatur kekuasaan dalam pendidikan, kelihatannya menyikapi FPK dengan berbelah bahagi. FPK ialah batu asas pendidikan di Malaysia yang tidak boleh dibelakangkan sama sekali. Akan tetapi, sekitar 20 tahun belakangan, pihak terbabit seakan-akan bertolak bukan lagi atas perkiraan pendidikan, tetapi pertimbangan ekonomi, politik, sains, serta teknologi.

Apa-apa pun, penyataan penting bahawa insan yang baik ialah matlamat utama FPK telah dimajukan dalam Sekilas April. Penyataan ini menuntut pembuktian, lebih-lebih lagi tidak semua yang membaca Sekilas sudah terdedah dengan kupasan pelbagai tulisan dan dokumen rasmi FPK. Malah, jika diteliti pada bahagian matlamat FPK, istilah yang digunakan bukanlah “insan yang baik” tetapi “insan yang seimbang dan harmonis”. Adakah “insan yang seimbang dan harmonis” itu sama maksudnya dengan “insan yang baik”?

Jika sebilah pisau tidak dapat digunakan akibat tiada hulu, kesimpulan pula akan kehilangan pemegangnya jika tiada hujahan. Sebab itulah, dilunaskan satu huraian yang berpatutan dalam Sekilas Mei ini. Dengan menelusuri alur mantik huraian tersebut, diharapkan pembaca budiman sekalian memahami dengan lebih ilmiah akan konteks penyataannya.

Justeru, diturunkan dahulu Falsafah Pendidikan Kebangsaan seluruhnya sebagai asas perbincangan:

“(1) Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah  memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. (2) Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Dalam penyataan FPK yang disalin kembali sepenuhnya di atas, nombor 1 dan 2 dalam kurungan adalah tambahan penulis. Selepas ini, penyataan yang mengikuti kurungan 1 akan dirujuk sebagai bahagian pertama manakala penyataan yang mengikuti kurungan 2 akan dirujuk sebagai bahagian kedua.

Tambahan tersebut dibuat bukan sekadar pertimbangan pragmatik bagi memudahkan perbincangan. Sebaliknya, dibuat untuk memperlihatkan tiga perkara iaitu:

(a) menegaskan bahagian bertama sebagai tujuan utama pendidikan,

(b) bahagian kedua sebagai tujuan khusus pendidikan di Malaysia, dan

(c) bahagian pertama dan kedua mempunyai hubungan dinamik dan bersepadu.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan insan yang ingin dilahirkan itu mestilah seimbang dan harmonis. Inilah konsep yang agak kabur dan sukar untuk dihuraikan.

Hubungan yang dinamik dan bersepadu itu hanya terhasil setelah bahagian pertama difahami sebagai sebab dan bahagian kedua difahami sebagai akibat. Pemahaman yang betul terhadap bahagian pertama yang diikuti pelaksanaan yang selari dengan kefahaman itu, akan mengakibatkan terhasilnya bahagian kedua.

Keadaan ini umpamanya jarum jam yang hanya berdetik setelah pendulumnya digerakkan. Salah faham bahagian pertama umpama tindakan menolak pendulum ke belakang. Akibatnya, jarum bukan sahaja tidak berdetik malah mungkin merosakkan keseluruhan sistem jam.

Oleh sebab itu, huraian akan ditumpukan kepada beberapa konsep utama yang dinyatakan dalam bahagian pertama sahaja. Hal ini dilakukan dengan anggapan bahawa pemahaman terhadap bahagian pertama (sebab) sudah mencukupi kerana akan mengakibatkan pemahaman terhadap bahagian kedua (akibat).

Pada bahagian pertama, FPK menyatakan usaha pendidikan yang berterusan di Malaysia memfokuskan individu, bukannya “warganegara” atau “masyarakat”. Individu yang ingin dikembangkan potensinya secara menyeluruh itu dinyatakan dalam FPK sebagai hidupan yang memiliki hakikat ganda, iaitu jasmani sekali gus rohani, yang dalam konteks ini bukan sahaja aspek emosi tetapi yang lebih penting ialah aspek intelek.

Kenyataan tersebut amat penting kerana secara tidak langsung menafikan faham-faham insan yang bertentangan. Misalnya, dogmatisme sains moden terhadap manusia sekarang yang menolak hakikat akal insan. Hal ini tidaklah bermakna sains moden tidak memiliki peranan dalam kerangka pendidikan di Malaysia. Sebaliknya, sains hanya diakui bermanfaat setelah dogmatisme sains moden ditolak. Tindakan ini dengan sendirinya menggariskan had sains moden terhadap pendidikan negara.

Seterusnya, FPK menekankan insan yang ingin dilahirkan itu mestilah seimbang dan harmonis. Inilah konsep yang agak kabur dan sukar untuk dihuraikan. Apa-apa pun, kedua-dua konsep itu sudah tentu merujuk hubungan empat unsur dalam diri manusia yang disebutkan sebelumnya. Jadi, untuk mencapai “keseimbangan dan keharmonisan”, semua unsur individu itu perlu diketahui kedudukan, hubungan dan peranannya dalam diri insan.

Di sinilah timbul satu persoalan lain: Apakah cara yang paling pasti untuk mengetahui semua itu? Caranya adalah dengan mengaitkannya dengan penegasan terakhir, iaitu “berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.” Untuk itu, perlu ditegaskan dahulu kenyataan “kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan” juga bermaksud satu pengakuan FPK bahawa wahyu atau sumber agama ialah sumber yang sah dalam konteks pendidikan di Malaysia.

Penegasan ini tidak boleh dinafikan. Penolakan terhadap sumber wahyu atau agama, boleh difahami sebagai penolakan terhadap satu-satunya sumber dan panduan daripada Tuhan bagi melahirkan individu yang seimbang dan harmonis seperti yang Tuhan ingini kita patuhi dan percayai: Hal ini bermakna, kita akan membangunkan individu yang secara hakikinya, tidak lagi seimbang dan harmonis.

Daripada penegasan “berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan” ini sahajalah kita akhirnya dapat menyimpulkan bahawa konsep “insan yang seimbang dan harmonis” itu dimaksudkan dalam FPK adalah seperti yang ada dalam warisan agama. Tiada agama yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang jahat. Apabila FPK mengaitkan konsep insan yang harmonis dan seimbang itu dengan agama, maka, sudah tentu insan yang seimbang dan harmonis bermaksud insan yang baik.

Apa-apa pun, tidak dinafikan, istilah “insan yang seimbang dan harmonis” menimbulkan satu kesulitan, lebih-lebih lagi jika ingin dihuraikan dalam kerangka Islam. Berkenaan isu ini, Prof. Osman Bakar mendapati dua aspek agak kurang dijelaskan, iaitu tentang idea “insan yang seimbang dan harmonis” dan tentang “implikasi amali idea keseimbangan dan keharmonian dalam diri manusia.”

Kekurangan penjelasan itu mungkin kerana penggunaan istilah itu sendiri. Sebagai satu imbauan, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud, sekitar tahun 1991 telah pun mengkritik penggunaan konsep “seimbang dan harmonis”. Beliau mencadangkan agar “insan yang seimbang dan harmonis” itu digantikan dengan “insan yang baik dan adil”.

Jika pandangan ini diambil kira dan istilah yang digunakan kini diganti dengan “insan yang baik dan adil”, maka, tujuan FPK bukan sahaja boleh difahami dengan mudah, malah dapat pula dihuraikan dengan lebih tuntas, khususnya apabila dikaitkan dengan konteks warisan Islam dan agama-agama lain di Malaysia.

Wallahualam.

Kredit Foto: Alfons Taekema/Unsplash

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!