29 April 2022, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Mula menulis di England, bahasa yang pada awalnya beliau dekati ialah bahasa Inggeris. Menemui keindahan bahasa Melayu di penghujung kedudukannya sebagai pelajar sarjana sastera Inggeris pada tahun 1970-an, Prof. Muhammad Haji Salleh terus terpukau dengan keindahan dan kerencaman bahasa Melayu.

Bahasa Melayu disifatkan oleh beliau sebagai bahasa yang pintar, penuh lagu, cantik dan kaya dengan lapisan maksud. Sebagai pencinta sastera, hal tersebut menjadikan bahasa Melayu bahasa yang menetap dalam jiwa beliau. Menurut Prof. Muhammad, bahasa Melayu mencapai titik tertinggi kebijaksanaannya dalam kerencaman metafora. “Persoalan sastera tidak dapat dijawab dengan jawapan A, B dan C,“ ujar beliau dalam sebuah forum “Yang Lama Dikelek Yang Baru Didukung” anjuran Kata-Pilar Books.

Untuk menjadi penulis, saya harus banyak membaca. Saya membaca karya bahasa Melayu, bahasa Inggeris, karya terjemahan daripada dunia penulisan Cina, Rusia, Jepun, German dan lain-lain. Generasi sastera hari ini perlu banyakkan membaca.

Beliau menegaskan lagi bahawa dalam sastera Melayu, puisi merupakan kekuatan utama. Beliau berpendapat bahawa puisi ialah titik kebijaksanaan yang tertinggi dalam gagasan persuratan dan puisi menampilkan kemampuan bahasa Melayu yang luar biasa. “Dari puisi juga kita dapat sebuah pandangan tentang kehidupan yang telah dilarutkan dan disusun sehingga menjadi bahasa dan menjadi perkara-perkara yang kita boleh ingat dan rasa,” ujar beliau lagi.

Melalui forum itu, beliau juga berkongsi perihal pendapatnya sebagai pengarang yang berhak merubah dan membaiki karyanya, meskipun karyanya itu telah disiarkan kepada khalayak.

Terdapat beberapa sajak yang dirubah oleh beliau sama ada beberapa perkataan dan baris setiap kali disiarkan semula dalam penerbitan baharu. Dalam Sajak-Sajak Pendatang, di situlah paling kerap berlakunya perubahan sehingga ada pembaca yang membandingkan karyanya antara versi awal dan versi terkini.

Perihal itu, pertamanya, kita akan beralih ke usia tua dan dimamah waktu. Saya yang berumur dua puluh tahun tidak sama dengan saya pada masa sekarang. Apabila saya melihat semula satu-satu sajak itu, jika diterbitkan rasa perlunya untuk disunting dan diperbaiki, maka saya akan baiki. Saya akan ubah mengikut perubahan yang saya alami seiring dengan masa dan umur

“Sama ada dibetulkan rentaknya atau didengarkan semula bunyinya supaya gemanya lebih sedap. Kadang-kadang bukan pada perkataan sangat, tetapi untuk menyedapkan maknanya. Itulah yang berlaku terhadap sajak saya itu,” jelas beliau. Baginya, itulah hak sebagai pengarang. Lebih-lebih lagi sebagai pengarang yang sentiasa bergerak ke arah yang lebih matang dan akan sentiasa berubah.

Ahli panel yang lain, iaitu Moechtar Awang sempat menanyakan soalan. “Bolehkah seseorang pengarang merubah karyanya yang telah tersiar? Bukankah sesebuah karya itu untuk zamannya, masyarakatnya dan menggambarkan pemikiran pengarang ketika itu?”

Prof. Muhammad Salleh menjawab,

Ada dua pendapat. Pendapat pertama merasakan karya itu tidak patut ditukar dan dirombak kerana karya itu terbit pada zamannya, masyarakatnya, budaya dan isunya. Tetapi saya seorang pengarang. Kadang-kadang saya merasakan karya saya itu kurang baik, kuat dan tajam. Maka timbul rasa untuk baiki dan tambah baik, serta bukankah itu karya saya?

“Jadi kalau hendak melihat dan mengamati perihal sudut sajak yang dua waktu ini, silakan. Bacalah dua versi sajak yang diubah pengarang itu dan mengamat-amati perubahan yang terdapat pada sajak asal dan sajak yang diubah. Boleh lihat perubahan zaman dalam sajak tersebut.”

“Ada yang percaya bahawa karya itu tidak boleh diubah, tetapi saya percaya sebagai pengarang kita boleh. Jika kita rasa kita ada lebih banyak pengalaman dan banyak perkataan, maka kita tambah pada apa- apa yang dirasakan kurang itu.”

Manakala menurut Wan Nor Azriq, sebagai salah seorang penyusun bagi buku kumpulan puisi Sudah Hampir Malam di Kyoto, hubungan penulis dengan karyanya tidak pernah selesai. Ada saja perkara, baris dan perkataan yang mahu diubah dan dibaiki semula. Namun bila dibuat perbandingan, elemen ambiguiti muncul kerana ada sahaja karya yang bertambah “sedap” selepas disunting manakala ada pula yang lebih sesuai dibiarkan sama.

Namun bagi beliau, hal ini sebenarnya memaparkan satu sisi menarik dalam suara kepengarangan Prof. Muhammad Salleh yang sentiasa berubah-ubah. Pembaca boleh melihat perubahan pemikiran, emosi dan perubahan perkataan yang dipilih seorang pengarang sebagai suatu gambaran penulis yang sedang berubah.

Kini Prof. Muhamamd Salleh sedang dalam proses untuk menyiapkan karya terbarunya yang berkisarkan hikayat kehidupan Hang Tuah. Menurutnya, manuskrip awal telah dihantar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain Sudah Hampir Malam di Kyoto yang diterbitkan di bawah Kata-Pilar Books, beliau baru sahaja menerbitkan kumpulan puisi terbaharunya yang didedikasikan khas buat cucu-cucunya, Belajar Jadi Atuk dan Wan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.