Oleh Nor Asiya Nasir
29 April 2022, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka akan terus menggerakkan Majlis Angkatan Bahasa Melayu bagi menyemarakkan dunia sastera di peringkat antarabangsa. Demikian ditegaskan Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka ketika berucap merasmikan “Program PEMUISI DI DBP Kali Ke 4- Malam Kemuncak Puisi ‘Ihya Ramadan Antarabangsa 2022”, yang bersiaran secara langsung di Media Sosial DBP dan PEMUISI BERKARYA.

Menurut beliau, gerakan menyemarakkan dunia sastera di peringkat antarabangsa itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia agar bahasa Melayu yang merangkum persuratan Melayu disemarakkan dan dikembangkan di peringkat antarabangsa.

Saya kira pada tahap ini puisi Melayu telah mencapai tahap yang membanggakan kerana telah pun semarak di peringkat antarabangsa melalui usaha seperti PEMUISI sendiri dan juga usaha yang dilakukan oleh karyawan kita dari persatuan lain. Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri akan terus menggerakkan Majlis Angkatan Bahasa Melayu

Mengenai PEMUISI, Awang Sariyan memuji kegiatan PEMUISI dalam melaksanakan aktiviti puisi dan sastera bukan sahaja di dalam negara, malahan di peringkat antarabangsa.

“Saya menyaksikan bahawa dalam tempoh kira-kira empat tahun tertubuhnya PEMUISI, ternyata persatuan ini sangat aktif dan sentiasa peka dan cakna terhadap perkembangan sastera tanah air, serta isu-isu semasa. Siri baca puisi atau deklamasi puisi anjuran PEMUISI yang berkaitan dengan soal perjuangan kemanusiaan sejagat, seperti isu Palestin dan isu semasa yang berkaitan negara. Saya kira perlu disemarakkan bukan sekadar bentuk dan zahir, tetapi dari hati dan batin yang dapat menyampaikan suara nurani kita sebagai penulis yang juga pemikir yang dapat menyampaikan idea dan perasaan dalam dunia persuratan dan kesusasteraan ” katanya.

Beliau seterusnya memperkatakan tentang penganjuran program itu, khususnya mengenai ‘ihya Ramadan yang menggambarkan kepekaan kepada unsur kerohanian yang sesungguhnya sangat penting dalam memastikan kehidupan yang seimbang antara kemajuan dunia dan akhirat.

Inilah yang saya kira puisi yang berbobot iaitu puisi yang dapat menggabungkan dan menyatukan para pemuisi dari beberapa buah negara dan akan mengikat tali perpaduan antara kita dalam mengucapkan suara kemanusiaan, keadilan dan kebenaran.

Sementara itu, Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim atau Wanrazuhar dalam ucapannya menyatakan program kali ini merupakan program peringkat antarabangsa dan diisi dengan persembahan lima belas orang Kerabat PEMUISI Sedunia dari Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan Malaysia. Antara yang mengambil bahagian termasuklah Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob, Isbedy Stiawan (Indonesia), Prof. Madya Dr. Zefri Arif (Brunei), Prof. Madya Dr. Phaosan Jehwee (Thailand), Sita Aulliya (Belanda) dan RatnaSam Sib II (Singapura).

“Program ini juga merupakan Malam Kemuncak Program Video Puisi ‘Ihya Ramadan Antarabangsa 2022, yang diadakan di Facebook PEMUISI BERKARYA dari 10 hingga 15 April yang lalu. Sepanjang program ini, menyaksikan 108 buah video puisi telah dimuat-naik dan pesertanya terdiri daripada Kerabat PEMUISI Sedunia iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Belanda dan Malaysia. Daripada 108 video puisi yang dimuat naik di Facebook PEMUISI BERKARYA itu, pada malam ini juga, diumumkan lima buah video puisi terpilih dan satu video puisi remaja yang diberi penghormatan untuk disiarkan dalam program ini ” katanya.

Program video puisi Ramadan merupakan acara tahunan anjuran PEMUISI yang diadakan secara dalam talian Facebook PEMUISI BERKARYA dan mendapat sambutan penonton saban tahun. Program tersebut telah mendapat penganugerahan Malaysia Book of Records tahun 2021 dalam kategori video baca puisi terbanyak dalam satu program. Tahun ini dikhususkan tajuk Ihya Ramadan dan mendapat 108 penyertaan daripada pemuisi peringkat antarabangsa.

Enam pengkarya terbaik yang diumumkan di dalam program tersebut ialah, Romaini Mustafa, Jorasmin Isa, Aisyah Amsal, Khalidd Khaliss, Ruhisham Harun dan Norsyarina Natasya. Masing-masing akan mendapat hadiah buku terbitan PEMUISI dan sijil.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.