26 April 2022, 18:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pada 23 April 2022, DBP Wilayah Selatan dan Pertubuhan Kebajikan DASAR (Darussalam War Rahmah), Johor bekerjasama melakukan program “Malam Puisi Tazkirah Ramadan” bersempena dengan bulan Ramadan. Program kerjasama DBP Wilayah Selatan dengan Pertubuhan DASAR ini julung kali diadakan bagi mendekati masyarakat terutamanya para remaja dan belia dalam menyantuni penyebaran puisi pelbagai genre. Biar pun pertubuhan ini dilihat kecil namun jiwa ahlinya sangat besar dalam menetapkan misi dan visi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi dan bahasa negara yang kukuh di persada antarabangsa.

Program tersebut telah dihadiri oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Awang bin Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau berharap agar puisi dapat menjadi inspirasi bagi masyarakat dalam membentuk generasi berilmu dan berperibadi mulia terutamanya terhadap golongan belia.

Beliau menyatakan hasrat agar bahasa Melayu dapat diletakkan pada wadah yang paling mulia walaupun bermula dengan sepotong ayat dan selembar puisi. Lama-kelamaan ayat dan puisi tersebut bersatu menjadi naskhah agung yang akan dibaca dan dijadikan rujukan. Yang Berusaha Tuan Azharidzuan bin Abu Bakar, Pengerusi Pertubuhan DASAR pula menyatakan bahawa elemen bahasa merupakan nikmat iman dan Islam yang dimiliki oleh bangsa Nusantara.

“Sejarah ialah ilmu fardu ain kepada orang Islam kerana insan dan sejarah umpama pohon dengan akar yang tidak boleh dipisahkan demi pengukuhan jati diri bangsa yang kini semakin terhakis kerana krisis kehilangan adab, apatah lagi dengan berleluasanya teknologi media sosial tanpa had dan sempadan,” demikian ungkapannya semasa majlis pembukaan Malam Puisi Tazkirah Ramadan.

Turut hadir pada majlis ilmu ini ialah Tuan Mohd. Riduwan bin Wahab, Pengarah DBP Wilayah Selatan dan Tuan Mohd. Amiruddin Mohd. Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.