25 April 2022, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Zaharahanum Kamarudin mengimbau pengalaman manisnya menangani kerja editorial bahagian kedua autobiografi Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh.

Saya berasa bertuah kerana Prof. mengusahakan undangan daripada perpustakaan agar saya turut dapat meraikan naskhah autobiografi ini dalam majlis yang bersejarah itu.

1 April 2021. Seorang gadis berbaju kurung menanti saya di lobi aras 10, Menara DBP. Segera saya membawa fail yang berisi catatan manuskrip terbaharu Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh bertemu gadis itu.

“Saya Nurul. Saya pembantu Prof. Saya datang untuk berbincang tentang manuskrip terbaharu Prof.,” ujarnya lembut dan mesra. Meskipun wajahnya dilindungi pelitup muka, suaranya menerbitkan isyarat bahawa gadis ini ramah dan mudah berurusan dengannya.

Kami tidak dapat berjabat tangan oleh sebab mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Pandemik COVID-19 telah merubah ragam pertemuan.

Perbincangan di meja lobi berlangsung lancar. Antara isi perbincangan termasuklah susunan gambar dan cadangan reka letak naskhah Padang Perahu di Lautan, jilid kedua autobiografi Prof.

“Terima kasih, puan. Jika ada apa-apa pertanyaan atau perbincangan lain, puan boleh menghubungi saya menerusi WhatsApp. Saya juga akan menghantar gambar-gambar tambahan menerusi e-mel,” demikian, Nurul menutur bicara penutup. Kami sama-sama membongkokkan sedikit tubuh sambil tangan kanan menyilang dada sebagai tanda hormat.

Namun, keceriaan pertemuan kami itu tidak lama. Sejurus Nurul beredar, saya menerima arahan kuarantin diri. Ah, hal ini membimbangkan saya! Manalah tahu jika saya pula dijangkiti, maka saya telah mendedahkan Nurul kepada risiko yang sama.

Saya segera memaklumkan berita ini kepada Nurul dan minta dia mengambil tindakan yang sewajarnya. Gadis itu akur untuk turut mengasingkan diri. Akibatnya, kerja-kerja penghantaran gambar seterusnya tertunda oleh sebab gambar-gambar yang belum diimbas itu tersimpan di rumah Prof.

Hal seremeh itu akhirnya diselesaikan oleh masa.

Pertengahan Mac lalu, saya diarahkan untuk menyegerakan kerja-kerja akhir pracetak naskhah autobiografi ini. Menurut Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Puan Nurul Julia Alany Henry, naskhah tersebut akan dilancarkan di Pulau Pinang. Mujurlah urusan pracetak sudah sampai ke peringkat akhir termasuklah penyediaan kulit. Saya tambah bertuah kerana akan bekerjasama dengan Puan Aini, pereka kontrak kami yang saya tahu memang tangkas dan kreatif orangnya.

Kami sama-sama mengetepikan tugasan lain yang menumpuk di meja. Sepenuh masa dan tenaga dicurahkan kepada naskhah ini.

Tanggal 24 Mac 2022 menjadi hari yang istimewa bagi kami semua. Padang Perahu di Lautan selamat berada di tangan Prof. untuk dibawa ke Pulau Pinang sebagai mengisi Koleksi Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh di Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang. Majlis pelancaran koleksi tersebut diadakan di auditorium perpustakaan sejurus selepas program “Sepetang Bersama Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh: Pusi Kata-kata dan Riwayat” pada petang Sabtu, 26 Mac 2022.

Saya berasa bertuah kerana Prof. mengusahakan undangan daripada perpustakaan agar saya turut dapat meraikan naskhah autobiografi ini dalam majlis yang bersejarah itu. Merasalah saya menaiki kereta api elektrik, ETS untuk ke Perpustakaan yang terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Acara bertambah manis kerana saya ditemani oleh Puan Sara Salwana, penulis ASASI, Kedah yang kini bermastautin di Juru. Malah, beliau turut mempelawa saya menginap di rumahnya.

Dalam program tersebut, ada lebih banyak kisah Prof. dan kegigihan beliau menuntut ilmu seterusnya menyebarkan pengetahuannya yang dikongsi bersama-sama kami. Mengisi pelancaran koleksi beliau, Prof. turut membuka cerita latar setiap satu naskhah beliau yang terbit dalam tempoh dua tahun ini.

Selain Padang Perahu di Lautan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang lain yang mengisi koleksi ini termasuklah jilid pertama autobiografi Prof. berjudul Sebermula Maka Tersebutlah … Sebuah Hikayat Diri, Puitika Sastera Melayu (edisi ketiga), dan puisi kanak-kanak Belajar Jadi Atuk dan Wan.

Rasa bangga terlihat pada wajah Prof. Tambahan pula, program pada hari tersebut bertepatan dengan tahun kelahiran Prof. yang ke-80! Saya, yang pernah menguruskan kolum bulanan Prof. ketika menjawat editor Dewan Sastera dan kini menguruskan naskhah autobiografi Prof. ini turut berasa bangga. Malah, saya mengagumi kekuatan fizikal dan kecerdasan fikiran Prof. yang masih memungkinkan usaha beliau yang tidak jemu-jemu menulis demi memandaikan anak bangsa.

Dirgahayu, Prof! Kami setia menanti karya Prof. yang seterusnya.

Beli Padang Perahu di Lautan.

_________________________

Zaharahanum Kamarudin merupakan mantan editor Dewan Sastera. Kini, beliau berkhidmat sebagai editor di Bahagian Buku Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!