13 April 2022, 10:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Buloh Kedudukan lagu puisi di negara kita sudah merudum tidak seperti ketika kemasyhuran kumpulan Harmoni dan Kopratasa pada dekad 1980-an dahulu. Kewujudan pelbagai genre muzik moden hari ini dianggap menjadi antara punca lagu puisi tidak diminati generasi muda.

Ketika keadaan itu kelihatan seperti akan dibiarkan berterusan, terdapat usaha untuk mengangkat kembali lagu puisi di negara kita. Salah satu usaha tersebut ialah menerusi lagu “Detik Cinta” yang diharap dapat memberikan nafas baharu kepada lagu-lagu puisi agar terus dihayati dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Usaha tersebut tepat pada masanya. Perlunya nafas baharu diberikan kepada lagu puisi agar susunan puitis dan maksudnya yang mendalam dapat mengisi hati generasi muda hari ini.

“Detik Cinta” istimewa kerana liriknya merupakan nukilan Adi Syahid dan Alim Gutrah yang baru berjinak-jinak dalam penulisan puisi. “Detik Cinta” menjadi lagu puisi setelah digabungkan dengan irama ciptaan Siso atau lebih dikenali sebagai Siso Kopratasa.

Siso, atau nama sebenarnya Syed Indera Syed Omar tidak asing lagi dengan lagu puisi tanah air kerana beliau pernah menganggotai Kopratasa yang terkenal menerusi lagu-lagu seperti “Masihkah Kau Ingat”, “Rinduku”, Permata Untuk Isteri”, dan “Tetamu Senja” (nyanyian Siso sendiri).

“Detik Cinta” merupakan sebuah puisi berbentuk luahan rasa cinta, syukur dan sayang seorang isteri kepada suaminya. Menurut Adi Syahid dan Alim Gutrah, pada asalnya lirik yang ditulis menggunakan judul “Puisi Khadijah al-Khuwailid” sebagai jawapan balas kepada lagu “Permata untuk Isteri”.

Kalau “Permata untuk Isteri” merupakan puisi seorang suami kepada seorang isteri, “Detik Cinta” pula sebaliknya. Kami memberikan kesinambungan kedua-dua lagu ini dalam bentuk puisi ketuhanan dan kesufian. Oleh itu, ada perkataan ‘aku berjalan di dalam kelam/meraba-raba sepanjang jalan/sekadar tahu tanpa mengenal/menyinta tanpa rasa,” jelas mereka.

“Detik Cinta” juga, tambah Adi dan Alim Gutrah, menerusi irama yang asyik, cuba menyedarkan pendengar bahawa kehidupan ini juga akan dibawa ke suatu kehidupan yang kekal selepas kematian. Jelas mereka, cahaya itu tidak sahaja penting terhadap kehidupan dunia, tetapi juga pada kehidupan selepas dunia yang kekal abadi.

“Detik Cinta” ialah lagu puisi kerana bermula dengan penulisan puisi. Hal ini berbeza dengan penghasilan lagu dalam genre lain yang terhasil daripada penciptaan irama terlebih dahulu. Lagu puisi terhasil daripada sajak/seni kata yang diberikan irama.

Pemilihan Siso sebagai penyanyi “Detik Cinta” memang tepat kerana apabila menyentuh soal lagu puisi, fikiran akan terus kepada Kopratasa. Siso sendiri memang terlibat dalam penghasilannya sejak dari awal lagi.

Tambah Adi dan Alim, mereka mengambil masa empat jam untuk berbincang dan menulis setelah meneliti sirah kehidupan Khadijah Khuwailid, dan lirik Permata untuk Isteri. Setelah siap, mereka memberinya kepada Siso untuk menghasilkan iramanya.

Hamzan Haji Hassan dari Dominant Studio kemudiannya memberikan nafas baharu kepada “Detik Cinta”, dengan muzik pop Latin berlatar belakangkan keindahan bunyian alat muzik soprano. Menurut Siso, mereka merakamkan lagu dan rakaman video “Detik Cinta” di Kashfi Studio Sdn. Bhd. pada 22 September 2021, dan dikeluarkan pada 12 Februari 2022 di saluran Youtube Luncai Emas Sdn Bhd.

“Detik Cinta” mengambil masa setahun, iaitu pada tahun 2021 dari mula penghasilan lirik, gubahan muzik, rakaman lagu dan pembikinan video klipnya,” jelas Siso yang menambah bahawa proses mengambil masa yang panjang kerana larangan pergerakan ke luar negara akibat COVID-19.

Oleh kerana berbicara tentang lagu-lagu puisi mengingatkan pendengar kepada Kopratasa, dan Siso sendiri banyak membantu dari awal bimbingan penulisan liriknya, tentulah beliau orang yang sesuai untuk menyanyikan “Detik Cinta”.

Jelas Siso lagi, “Detik Cinta” merupakan lirik yang merujuk kehidupan. Perjalanan hidup yang gelap memerlukan suatu cahaya, walaupun hanya sebesar lilin sebagai panduan meniti jalan yang penuh onak dan ranjau.”

“Detik Cinta” diharapkan dapat mengangkat kembali lagu-lagu puisi dengan irama yang lebih segar dan seterusnya mendapat tempat di hati semua golongan masyarakat di Malaysia khususnya dan Nusantara amnya.

Luncai Emas sebagai penerbit mengambil peluang bersempena dengan bulan Ramadan 1443 Hijrah ini mengajak semua peminat seni suara menonton video klip “Detik Cinta” di saluran Youtube Luncai Emas. “Detik Cinta” juga boleh didengar menerusi audio rasmi di semua saluran digital. Luncai Emas bertindak sebagai pengedar lagu tunggal ini secara jualan digital di pelantar streaming, Youtube dan iTunes.

Tonton klip video lagu puisi “Detik Cinta” di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.