11 April 2022, 17:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cheras  Kata-Pilar Books, sebuah rumah penerbitan yang komited dalam menerbitkan buku-buku puisi kontemporari, kini hadir dengan sebuah projek yang lebih segar dan menarik perhatian warga sastera. Kata-Pilar Books baru sahaja memaklumkan bahawa pada pertengahan bulan April, tiga buah buku kumpulan puisi terbaharu terbitan mereka akan dilancarkan.

Sempena pelancaran tersebut, Kata-Pilar Books akan mengadakan sebuah “Majlis Pelancaran Buku dan Majlis Berbuka Kata-Pilar Books” pada 16 April (Sabtu) di Teratak Buku Jejak Tarbiah, Bandar Baru Bangi.

“Projek buku terbaharu Kata-Pilar Books ini ialah hasil usaha sama dengan Tukang Puisi dan turut didanai oleh Port Ipoh. Projek ini diberi nama Siri Kumpulan Puisi Tokoh Penyair (atau Siri Tokoh Puisi) yang hadir dalam tiga judul terbaharu terbitan Kata-Pilar Books,” jelas Aliff Awan, penyajak yang juga merupakan wakil media Kata-Pilar Books.

Siri Tokoh Puisi merupakan sebuah projek dokumentasi kumpulan puisi yang diusahakan rumah penerbitan tersebut bersama-sama dengan Tukang Puisi bagi menerbitkan semula karya penulis mapan untuk tatapan pembaca dan penulis baharu. Ketiga-tiga buku yang akan dilancarkan ialah Sudah Hampir Malam di Kyoto oleh Muhammad Haji Salleh, Rahang Gelombang oleh Moechtar Awang dan Lelaki Berambut Rumput oleh Rahimidin Zahari. Wan Azriq, Ainunl Muaiyanah, Fahd Razy dan Rasydan Fitri menggalas tanggungjawab sebagai penyelenggara dan penyusun bagi kumpulan puisi ini.

Menurut Aliff, projek ini telah mula diusahakan sejak bulan November tahun 2021 yang lalu. Sasaran utama inisiatif ini adalah untuk mewujudkan sebuah bahan komunikasi di antara pembaca atau penulis baru dengan penulis-penulis lama dalam rujukan berkarya. Fahd Razy turut menganggap bahawa kelahiran Siri Tokoh Puisi adalah untuk memperkenalkan gaya bahasa penulis mapan kepada penulis generasi baharu.

“Majlis Pelancaran Buku Kata-Pilar Books” 16 April nanti akan turut memuatkan sebuah sesi forum “Yang Lama Dikelek Yang Baru Didukung”. Forum tersebut menampilkan beberapa orang panel terdiri daripada Sasterawan Negara Mohammad Haji Salleh, Wan Nor

Azriq dan Zainal Rasyid Ahmad. Penulis mapan dalam Siri Tokoh Puisi itu iaitu Moechtar Awang turut hadir sebagai panel. Menariknya pada majlis pelancaran tersebut, penganjur akan menampilkan Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail sebagai perasmi acara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.