9 April 2022, 23:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Eka Kurniawan

Sasterawan Indonesia, Eka Kurniawan menyarankan agar dicari jalan untuk mendekatkan lagi bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Beliau menegaskan, salah satu cara untuk mendekatkan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia adalah dengan saling membaca.

Beliau menyatakan, “Daripada berusaha untuk membezakan dan menjauhkan antara bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia, bukankah lebih baik mencari jalan untuk mendekatkan kedua-duanya. Itulah yang harus dilakukan oleh kedua-dua negara, bukan sebaliknya memupuk rasa ego terhadap bahasa masing-masing.”

Kenyataan berikut disampaikan oleh Eka lewat akaun Twitternya susulan Menteri Pendidikan, Budaya, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim, yang memohon agar cadangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua rasmi ASEAN dikaji semula.

Polemik bahasa tersebut berlaku susulan kenyataan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 1 April bahawa Presiden Indonesia, Joko Widodo bersetuju menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN nanti.

Melalui saranan tersebut, Eka juga memaparkan beberapa teks sastera Malaysia untuk diamati oleh khalayak Indonesia dan Malaysia. “Sebalik ramai yang yakin bahawa kedua-dua bahasa adalah ‘berbeza’, saya berpendapat bahawa kedua-dua bahasa sangat banyak persamaan. Tidak sukar untuk memahami karya sastera mereka (kecuali jika anda malas membaca).

Dalam hal ini, beliau memaparkan halaman teks daripada Kumpulan Cerpen Sasterawan Negara Keris Mas 1946–1989 yang dianggapnya sebagai “sasterawan klasik Malaysia”. Sebuah lagi ialah halaman teks novel Saat Omar terbitan Fixi.

Cadangan dan paparan beliau itu telah membawa perbincangan yang hangat di media sosial, dengan pelbagai reaksi menyokong dan membangkang. Saranan beliau tersebut turut dibincangkan di beberapa ruang media sosial lain, termasuk di Facebook.

Eka Kurniawan merupakan seorang pengarang mapan yang prolifik dan diakui oleh khalayak pengkritik dalam penguasaannya berkarya, sama ada dalam bidang novel, cerpen, esei, mahupun lakon layar filem. Karyanya pernah diterjemahkan kepada 24 bahasa. Sesetengah khalayak pembaca yang kagum dengan hasil kerjanya menggelarkan beliau sebagai penulis terbaik Indonesia setelah Pramoedya Ananta Toer. Novelnya, Cantik Itu Luka (2002) yang kompleks mendapat perhatian besar para pengkritik dan peminat sastera di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Novelnya ketiganya, Seperti Dendam, Rindu Harus Dibayar Tuntas (2014) baru sahaja diadaptasi ke layar perak dan dilancarkan pada tahun lepas. Filem tersebut kini boleh ditonton di pelantar dalam talian Netflix.

Kredit Foto: Muhammad Haikal Sjukri/Unsplash

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!