Oleh Fadli al-Akiti
7 April 2022, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Coretan ringkas ini disesuaikan daripada Nota Editor Fadli al-Akiti dalam Dewan Sastera Bil.12/2020.

Seelok-eloknya tradisi penulisan satira kita diteruskan lagi dalam pelbagai bentuk penulisan, lebih-lebih lagi dalam esei dan kritikan, agar tidak dibiarkan kaku dan kering kontang kerana tuntutan akademik.

Kesusasteraan Melayu, seperti terletaknya Semenanjung Tanah Melayu di antara India dan Eropah di Barat dan China di Timur, amat bernasib baik. Setiap karya sastera dari luar yang singgah di pelabuhannya akan dicapai, dibaca dan ditelaah. Hasilnya, terhimpun korpus sastera yang kaya dan kompleks dalam tradisi penulisan sastera Melayu. Dalam penerimaan yang terbuka pada pelbagai kelaziman dan gaya bentuk, Timur dan Barat, baharu dan lama, ada kebijaksanaan yang dilaksanakan oleh para penyalin dan pengarang aslinya. Mereka membentuk, menyusun dan menzahirkan isi dan kandungan yang sesuai dengan jati diri penduduknya, melahirkan acuan kesusasteraannya yang tersendiri.

Genre satira misalnya, mempunyai tradisi yang sangat lama, sedari tamadun-tamadun awal dunia sudah memperkenalkan dan meraikannya. Tamadun purba Mesir sudah melahirkan karya berbentuk satira sejak dua milenium SM. Tamadun purba Greek pula antara yang terawal melahirkannya dengan serius. Begitu juga Tamadun purba Rom dan India. Kemunculan Islam pula menzahirkan satira yang lebih indah tetapi kompleks, terbahagi pada dua bentuk utama, genre hija yang merupakan puisi berbentuk satira, dan satira prosa yang dimulakan oleh Al-Jahiz pada abad ke-9. Penulisan satira tersebut muncul dalam pelbagai bidang perbincangan, seperti zoologi, politik, falsafah, antropologi, psikologi, dan sosiologi. Keistimewaan ini berlangsung kerana pengarang-pengarang Islam tersebut kreatif dalam pemikirannya, lincah dalam lidahnya, dan pandai bergurau senda dalam sifat yang beradab dan sopan.

Hal ini sudah ada terserap dalam tradisi sastera kita, dengan ungkapan seloka, perumpamaan, tamsilan dan sindiran. Novel satira moden kita pula muncul dengan bijaksana dalam Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila, Tikus Rahmat, dan Perlumbaan Kedua. Seelok-eloknya tradisi penulisan satira kita diteruskan lagi dalam pelbagai bentuk penulisan, lebih-lebih lagi dalam esei dan kritikan, agar tidak dibiarkan kaku dan kering kontang kerana tuntutan akademik. Mungkin juga, untuk memunculkan satirawan baharu alaf ini, sayembara penulisan cereka satira boleh dilaksanakan. Semoga ada antara kalangan karyawan kita mampu tersenyum ketawa melihat keadaan getir dan gelodaknya dunia dan masa depannya.

Kredit Foto: Vernon Raineil Cenzon/Unsplash

_________________________

Fadli al-Akiti merupakan editor Dewan Sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.