Oleh Suyuthi Yusuf
5 April 2022, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala LumpurJabat Erat-erat merupakan sebuah telefilem yang mendapat inspirasi daripada empat buah karya sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Karya-karya tersebut ialah novel Sinappapal (Azizi Haji Abdullah), cerpen eceran bertajuk “Pensel Sebatang” (Ali Majod), “Bong Penentuan” (E Pian Pro Poul) dan “Isteri Leong Beranak” (A. Wahab Ali). Bentuk adaptasi yang pertama kali dihasilkan ini merupakan usaha sama berterusan antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku badan penyiaran dengan DBP selaku badan yang memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Buku skrip telefilem Jabat Erat-erat.

Dalam forum yang diadakan di DBP sempena pratonton Jabat Erat-erat, Wan Mohd Afzam selaku pengarah apabila ditanyakan tentang ilham menghasilkan telefilem tersebut menyatakan bahawa perlu ada keseimbangan antara karya komersial dengan karya yang bersifat intelektual. Penonton harus mempunyai pilihan selain daripada lambakan drama dan telefilem yang bersifat popular dan komersial sahaja. Drama dan telefilem yang berkualiti dan bermutu tinggi mempunyai ceritanya yang khas dan tersendiri. Dalam konteks telefilem ini, kehidupan, suasana dan latar masyarakat kampung yang berbilang kaum merupakan suasana budaya yang khas milik Jabat Erat-erat.

Selain itu, beliau turut memberi pandangan berkenaan dunia sastera yang baginya agak sepi.

Dunia sastera ini sekarang boleh dikatakan dipandang sepi. Generasi sekarang kebanyakannya tidak lagi mengenal penulis cerpen dan novel dahulu yang hebat.

Dengan hadirnya telefilem ini, beliau menyatakan harapan agar wujud penonton yang bukan sahaja menonton, tetapi turut “membaca”.

Selain Wan Afzam, turut menjadi ahli panel dalam forum berkenaan ialah Zaidi Omar yang merupakan pelakon terkenal tanah air.

Apabila mendengar sahaja nama Wan Afzam sebagai pengarah telefilem tersebut, saya terus setuju untuk berlakon. Hal ini kerana saya mengetahui drama dan telefilem arahannya sebelum ini. Filem kita wajah kita. Jabat Erat-erat menepati konsep tersebut dengan memaparkan sebuah masyarakat kampung berbilang kaum yang hidup dengan harmoni.

Selain itu, beliau juga turut menyatakan harapan agar pada masa hadapan akan lebih banyak filem, telefilem atau drama yang berkaitan unsur sejarah atau tokoh silam tertentu.

Dalam konteks DBP, dengan terhasilnya telefilem tersebut membuktikan bahawa karya sastera yang diterbitkan oleh DBP mampu ‘menjentik’ jiwa penonton. Sebelum lahirnya telefilem tersebut, telah banyak perbincangan dilakukan antara DBP dengan pihak Unit Drama TV RTM.

DBP memiliki banyak bahan yang boleh diangkat menjadi filem, telefilem dan drama. Dalam konteks Jabat Erat-erat, peringkat awalnya ialah mencari bahan yang sesuai. Terdapat pemilihan bahan yang sesuai dan seterusnya perbincangan melibatkan aspek pemikiran dan bahasa.

Tonton forum penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.