1 April 2022, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kelantan – Bersempena dengan Hari Puisi Sedunia, saban tahun penggiat, penyair dan pencinta sastera tidak melepaskan peluang untuk meraikan kecintaan mereka terhadap puisi. Seni puisi tanah air mempunyai pencintanya yang universal yang tidak terbatas latar belakangnya.

Selaras dengan saranan Perdana Menteri untuk memartabatkan bahasa Melayu, acara puisi yang bernuansa antarabangsa dan sejagat semakin mesra dengan khalayak. Baru-baru ini, Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) mengadakan beberapa acara yang mengumpulkan penyair luar negara untuk meraikan puisi dalam bahasa Melayu. Melalui “Interaksi Pemuisi Sedunia” yang dianjurkan pada 21 Mac lalu, penyair daripada 11 buah negara tampil membacakan puisi dalam bahasa Melayu.

Meja Poedjangga kelolaan penyair dan penggiat seni Umar Uzair yang prolifik dalam mengelola acara puisi menganjurkan “Puisiloka”, sebuah acara usaha sama bersama-sama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Melalui ucapan perasmiannya, Timbalan Naib Canselor Bahagian Pendidikan dan Inovasi, Prof. TS Dr. Arham Abdullah turut menyuarakan harapan beliau agar keindahan kesusasteraan kebangsaan sentiasa dapat disegarkan dan dipugarkan dalam kalangan masyarakat. Selain itu, beliau turut menyatakan pandangan bahawa program tersebut dapat mendidik masyarakat tentang konsep pembangunan sastera melalui gaya bahasa deklamasi yang pelbagai dari seluruh dunia, dengan langgam dan lenggok irama syair yang unik. Beliau juga turut memberi pendedahan mengenai kerjaya dalam bidang kepuisian ini sebagai suatu ruang untuk diterokai dan dalam usaha untuk menjadi bangsa yang maju dan beridentiti, bidang sastera merupakan titik tolak pertama.

Program tersebut menampilkan penyair dari lima buah negara yang mempersembahkan bacaan puisi mereka. Kelima-lima penyair tersebut menyampaikan puisi secara maya. Luz Maria Lopez (Puerto Rico) membaca puisi bertajuk “The Kiss”, Suhail Ibn Shahnawaz (Kashmir) pula membaca puisi “Nature” dan Rois Rinaldi (Indonesia) dengan puisi “Perempuan Yang Ku Seru Emak”. Turut memeriahkan malam puisi itu ialah Yeng Chheangly (Kemboja) dan Dr. Victor Pogadaev (Rusia).

Puisiloka berasal daripada perkataan “puisi” dan “lokaliti” yang membawa makna “bandar puisi” atau “daerah puisi”. Program Puisiloka yang bertempat di Kampus Kota UMK memuatkan pelbagai aktiviti kesenian seperti perbengkelan puisi, perkongsian seni dan persembahan muzikalisasi puisi.

Program tersebut dikemudikan oleh Naib Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UMK, Fatah Aswadi dan bermula dengan segmen Kampung Puisi iaitu bengkel syair oleh SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan yang mengangkat wacana kajian nazam, seloka, gurindam dan pengaruh pergerakan tamadun terhadap cara pembacaannya.

Dato’ Fauziah Ahmad Daud sedang membacakan puisi.

Seterusnya, segmen itu disusuli dengan perkongsian pengalaman seni oleh lima seniman dan seniwati negara. Dato’ Fauziah Ahmad Daud (atau lebih dikenali dengan Ogy) tampil dengan segmen “Menongkah Seni Menjadi Legenda”. Segmen tersebut merupakan perkongsian pengalamannya mengarah filem pendek Asrar yang diadaptasi daripada cerpen Baharuddin Kahar.

Selain itu, Lin Haslinaz pula berkongsi pengalamannya dalam segmen “Deklamasi Bukan Baca”, disusuli Shirley Idris yang berbual tentang puisi dan puisi tari sebagai salah satu terapinya dalam menghadapi penyakit kanser. Segmen itu ditutup dengan perkongsian oleh Umar Uzair dengan perihal pengalamannya sebagai pengusaha seni yang merobohkan stigma khalayak terhadap puisi sebagai arena kerjaya.

Pada sesi malam pula, Puisiloka membuka gelanggang dengan persembahan puisi tari oleh Shirley Idris yang dilatari muzik Seruling Sunda. Umar Uzair pula mempersembahkan lagu puisinya bertajuk “Cenderawasih” dengan berduet bersama-sama dengan seniman Kelantan, Bey Nik. Seterusnya, Lin Haslinaz pula membawakan puisi “Sejadah” karya SN Anwar Ridhwan yang disesuaikan dengan puisinya sendiri berjudul “Izinkan Aku Kembali”.

Malam sambutan puisi itu diserikan lagi dengan Seniwati Dato’ Fauziah Ahmad Daud  pula membawakan puisi “Selamat Tinggal Masa Lalu”, sebelum SN Dato’ Dr Zurinah Hassan pula mendominasi pentas Puisiloka dengan mempersembahkan puisinya bertajuk “Memelihara Rumah Kita”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.