Oleh Suyuthi Yusuf
26 Mac 2022, 19:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) yang ditubuhkan pada tahun 1968 kini sudah berusia lebih setengah abad telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya bagi kali yang ke-45. Dalam rentang usia tersebut, PEN sentiasa aktif dan konsisten dalam pelbagai aktiviti keilmuan demi memartabatkan bahasa, sastera dan budaya tanah air. Pelbagai program  tersebut telah dianjurkan sama ada bersifat setempat, nasional atau serantau.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-45 tersebut, PEN mengadakan Forum Industri dengan tema “Kandungan, Keahlian dan Ekosistem: Mendefinisi Harapan Industri”. Naib Presiden Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr. Md Sidin Ahmad Ishak menyampaikan ucap utama dalam forum tersebut. Ahli panel bagi forum tersebut ialah Zaen Kasturi (Penerima SEA Write Award) dan Fadhli al-Akiti (Editor Dewan Sastera), manakala moderatornya ialah Nor Azah Abd. Aziz (Konsultan Penerbitan).

Selain forum tersebut, PEN juga buat julung kalinya mengistiadatkan Majlis Pemasyhuran Ibu Soko sebagai apresiasi terhadap dua orang tokoh PEN yang selama ini tekal dan tabah dalam mengemudi hala tuju PEN. Dua tokoh tersebut ialah Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin dan YBhg. Dato’ Sabarriah Shukur.

Bagi yang tidak mengetahui gelaran tersebut, Ibu Soko merupakan gelaran tertinggi dan terhormat, khususnya untuk tokoh wanita dalam lingkungan Adat Perpatih. Ibu Soko merupakan tokoh yang dirujuk kerana keahlian, kearifan dan keilmuan yang terdapat dalam dirinya, terutama yang berkaitan dengan kepentingan suku dan luak. Ibarat bandingannya dalam majlis pemasyhuran ini ialah PEN merupakan sukunya, manakala lahannya ialah keilmuan, bahasa, serta sastera dan budaya ialah luaknya.

Ibu Soko merupakan perempuan yang cerdik, jujur, bijak dan mengambil berat akan kebajikan anak-anak buahnya. Malah di Negeri Sembilan, pemilihan Buapak, Lembaga dan YTM Undang sehinggalah kepada pemilihan DYMM Yang di-Pertuan Besar harus mendapat buah fikir dan restu Ibu Soko dalam suku dan luak masing-masing. Ibu Soko juga memegang amanah sebagai penjaga ahli waris serta merupakan pakar rujuk dalam aspek kehidupan. Falsafah yang terkandung dalam citra Ibu Soko ini menjadikan perempuan Negeri Sembilan didudukkan dalam posisi yang dimuliakan dan menyandang tanggungjawab masyarakat yang cukup signifikan. Atas semangat dan pemahaman terhadap falsafah inilah PEN merakamkan sanjungan terhadap kedua-dua tokoh tersebut.

Dalam majlis pemasyhuran tersebut, kedua-dua Ibu Soko PEN menerima watikah pemasyhuran dan sepersalinan songket berbenang emas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.