Oleh Osman Ayob
23 Mac 2022, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dengan berubahnya zaman, Osman Ayob berasa format dan syarat pemilihan Sasterawan Negara sepatutnya perlu dikaji semula.

Syarat-syarat umum yang diletakkan buat masa sekarang, boleh dianggap sudah ketinggalan dengan peredaran zaman.

Para sasterawan yang merasakan dirinya berkelayakan untuk dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN) ke-15, kini menunggu dengan penuh debaran sama ada nama mereka yang dicalonkan oleh individu berwibawa atau institusi tertentu akan dipilih, atau sebaliknya dipilih oleh panel penilai atau sekretariat yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selepas iklan Anugerah Sastera Negara ditutup pada bulan Februari lalu, terdapat 12 pencalonan yang diterima dari seluruh negara. Jumlah pencalonan ini amat menggalakkan untuk anugerah yang berprestij dan menjadi idaman kebanyakan penulis yang menyimpan hasrat untuk dinobatkan sebagai SN.

Seperti pemilihan yang lepas, kriteria pemilihan kali ini masih mengikut garis panduan format lama. Antaranya, seseorang calon mesti telah terbukti memberikan sumbangan yang cemerlang, malah berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air. Dengan itu, bolehlah ditegaskan bahawa seseorang calon perlulah menghasilkan karya sastera kreatif atau bukan kreatif yang bermutu tinggi, selain memberi sumbangan yang signifikan kepada kemajuan dalam bidang kesusasteraan dan ketamadunan bangsa.

Di samping itu, seseorang calon SN juga dinilai berdasarkan pembabitannya dalam pelbagai kegiatan berpersatuan, aktif dan mempunyai keahlian dalam akademik, kesusasteraan dan kebahasaan, juga kegiatan kebudayaan yang mengetengahkan budaya keilmuan yang tinggi.

Hal ini bermakna, seseorang calon SN mestilah telah menghasilkan sejumlah karya sastera, sama ada novel, cerpen, puisi, dan drama yang telah terbukti bermutu, diminati dan dikagumi, dan karyanya telah “digunakan” dengan meluas oleh khalayak. Karya tersebut perlulah karya yang dominan dan serasi dengan cita rasa majoriti masyarakat, terutama audiens sastera.

Walau bagaimanapun, syarat-syarat umum yang diletakkan tersebut, di samping pencapaian seseorang calon yang selalu diperkatakan selama ini, boleh dianggap sudah ketinggalan. Oleh itu, penambahbaikan dari segi format dan tatacara penilaian wajar dikaji dan disemak semula. Hal ini bertujuan untuk menyesuaikan syarat-syaratnya dengan perubahan sikap dan pemikiran era sekarang, selain memerlukan dimensi baharu yang lebih relevan dengan tuntutan masa. Wabak COVID-19 ikut menyumbang terhadap perubahan dalam iklim budaya kehidupan yang lebih terdedah pada pelbagai kemungkinan dan dimensi kontemporari.

Justeru, pemilihan SN pada masa akan datang memerlukan nilai tambah yang selaras dengan perkembangan masa. Selain berani, tegas dan menjadi penggerak dalam perjuangan memartabatkan bahasa dan sastera, seseorang calon perlulah menunjukkan kewibawaan yang menonjol dalam bidang yang diceburinya. Seseorang SN pada masa hadapan ialah seorang yang berketerampilan dan mempunyai identiti yang tersendiri. SN perlu pada seorang yang serba aktif dan boleh ke hadapan khalayak, selagi tidak menyimpang daripada bidangnya. Bagi mencapai tahap ini, seseorang SN mesti sihat fizikal dan mempunyai pemikiran yang kental sambil bersedia menghadapi apa-apa sahaja pun cabaran.

Untuk itu, kita tidak memerlukan calon yang sakit atau uzur untuk dinobatkan sebagai SN. Anugerah Sastera Negara sepatutnya untuk orang yang hidup, maka “orang itu”lah yang diharapkan dapat berperanan dalam arus yang menghendaki seseorang SN bersuara dan menyatakan pendirian, selaras dengan status yang dimilikinya. Seseorang SN mesti berani memperjuangkan sesuatu isu, kerana itulah tugas seorang sasterawan yang sepatutnya.

Anugerah Sastera Negara bukanlah acara rutin dua tiga tahun sekali yang penuh dengan glamor dalam usaha “merayakan” sesuatu yang tidak diendahkan oleh masyarakat umum.

Seseorang SN tidak seharusnya hanya diberi penghormatan memberi ceramah, membaca sajak dan/atau membentangkan kertas kerja di pusat pengajian tinggi semata-mata. Seorang SN juga bukan sekadar diraikan dan dihormati sumbangannya dengan mengadakan seminar pemikirannya yang sarat dengan puja dan puji, tetapi mempunyai peranan yang lebih besar daripada itu bagi mengubah persepsi masyarakat, terutamanya generasi muda yang kebanyakannya berpihak pada kecenderungan perkembangan sains dan teknologi.

Hal yang lebih penting, penguasaan dalam sains dan teknologi mesti digandingkan dengan bakatnya yang sedia ada, supaya seimbang dengan kemajuan budaya dan sastera yang menjadi tunjang pada pembentukan jati diri bangsa yang berjaya.

Seseorang sasterawan sejati tidak boleh digugat pendirian dan integritinya. Promoedya Ananta Toer sanggup dikurung dan dibekukan mindanya berbelas tahun di Pulau Buru, tetapi masa yang berharga itu dipenuhi dengan penghasilan novel Anak Semua Bangsa, Bumi Manusia, Jejak Langkah, Nyanyi Sunyi Seorang Bisu, dan Rumah Kaca yang mengharumkan namanya di mata dunia.

Yasunari Kawabata pula sanggup mencabut nyawanya sendiri secara harakiri sebagai protes terhadap sistem sosial dan kehidupan di Jepun yang ditafsirkannya tidak adil. Aleksandr Solzhenitsyn rela merempat di Siberia dan membuat kerja berat demi menegakkan pendirian yang diterapkan dalam karyanya.

Soal pengarang besar sanggup mengorbankan kebebasan demi menegakkan prinsip hidup yang dipegang, sudah diketahui umum. Walau bagaimanapun, mengikut pendapat SN Baharudin Zainal (Baha Zain) suasana dan tuntutan masa sekarang tidak lagi menuntut ke arah demikian. Menurutnya, karya sastera dulu bukan fokus fungsional pada sastera yang memberi makna kepada masyarakat, namun hal ini bukan bermakna sasterawan khususnya SN tidak boleh bertindak menyatakan pendirian mengikut perkembangan masa atas sesuatu isu yang tidak kena, khususnya yang menyentuh tentang bahasa dan sastera, yang maruahnya tercalar oleh pihak tertentu.

SN yang sihat fizikal, tajam mindanya dan tegas prinsip perjuangannya tentu tidak rela berdiam diri apabila bahasa dan kesusasteraan kebangsaan dipersenda. Di samping mempertahankan Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia, hal-hal lain yang menyentuh hak bumiputera yang kian digugat juga eloklah diselami. Jauh daripada itu, untuk meletakkan SN di sisi martabat dan kedudukan yang diperakui kewibawaannya, salah seorang daripada SN mesti diberi tempat tetap di Dewan Negara. Kerajaan mesti didesak agar akur kepada syarat ini. Jika orang asal (orang asli), orang kurang upaya (OKU), penghibur seperti penyanyi atau pelawak juga diberi kedudukan dalam Dewan Negara, maka tidak ada alasan bagi “orang sastera” dipinggirkan begitu sahaja.

Fungsi SN bukan sekadar bercakap tentang selok-belok negara, tetapi secara langsung adalah untuk menyuarakan persoalan bahasa, persuratan dan kebudayaan, di samping menjaga kepentingan dan kebajikan kaum penulis yang terus-menerus terpinggir sekarang.

Biarlah berlaku kesenggangan masa beberapa tahun asalkan kita berjaya memilih mereka yang benar-benar layak, berani dan berketerampilan sebagai SN yang tulen. Anugerah Sastera Negara bukanlah acara rutin dua tiga tahun sekali yang penuh dengan glamor dalam usaha “merayakan” sesuatu yang tidak diendahkan oleh masyarakat umum.

Karya SN ialah khazanah tamadun dan gambaran terbaik pemikiran bangsa. Oleh itu, karya mereka yang diiktiraf mutu dan falsafah perjuangannya wajar ditempatkan di mercu penghormatan yang menjadi warisan zaman.

Kredit Foto: Eugene Production/Unsplash

_________________________

Osman Ayob, penulis veteran kelahiran Kedah telah menghasilkan 10 buah kumpulan cerpen persendirian, 10 buah novel dewasa dan 15 buah novel kanak-kanak dan remaja. Beliau telah memenangi pelbagai hadiah dan sayembara penulisan. Novel Meniti Impian menjadi teks KOMSAS di Selangor, Negeri Sembilan dan WP Putrajaya dan WP Kuala Lumpur. Beliau berkelulusan Sarjana Sastera (Kesusasteraan Melayu), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.