21 Mac 2022, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Ilmu Ketatanegaraan Melayu boleh difahami sebagai pengetahuan urus tadbir negara bagi seseorang pemerintah. Pengetahuan tersebut terdapat dalam karya bergenre ketatanegaraan, seperti kitab Taj Us-Salatin, Bustan Al-Salatin, Adab Raja-Raja, Nasihat al-Muluk, Safinatul Hukkam, dan beberapa naskhah lagi yang menjadi rujukan dan panduan kerajaan di Alam Melayu, seperti kerajaan Aceh dan kerajaan Riau. Karya tersebut dihasilkan oleh ulama dan intelektual Melayu seperti Nuruddin al-Raniri dan Bukhari al-Jauhari yang merupakan penasihat atau mufti kepada pemerintah.

Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad dalam Siri 2/2022 Diskusi Manuskrip Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Manuskrip, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka pada 16 Mac 2022 berkata bahawa Ilmu Ketatanegaraan Melayu merupakan panduan penting bagi pemimpin untuk menuruti dan mengamalkannya bagi menjamin pemerintahan kerajaan berjalan dengan baik, aman, adil, dan sejajar dengan prinsip kepimpinan dalam Islam.

Jelas beliau lagi, karya ketatanegaraan tersebut boleh dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu ilmu tentang kerohanian, pengurusan dan pentadbiran, pendidikan, serta adat dan budaya.

Mengambil contoh karya Thamarat al-Muhimmah nukilan Raja Ali Haji, beliau menjelaskan bahawa antara panduan penting dalam karya tersebut ialah kaedah pemilihan pemerintah atau pemimpin melalui baiah (orang yang terpilih hasil daripada muafakat dengan orang alim), menamakan bakal pengganti raja melalui musyawarah, dan menjadi pemerintah dengan menggunakan kekerasan ketenteraan. Dalam Bustan Al-Salatin pula, dicatatkan 22 syarat umum menjadi pemimpin. Antaranya termasuk beragama Islam, merdeka, lelaki, baligh, berani dengan hatinya, adil pada melakukan hukum Allah, dan memelihara akan segala perintah Islam.

Karya ketatanegaraan Melayu juga turut menjelaskan secara terperinci makna dan konsep struktur pentadbiran kerajaan. Hal ini boleh difahami melalui keadaan dan sifat anggota badan manusia yang diumpamakan seperti hati (raja), anak kepala (istana), ilmu (bentara kanan), akal (bentara kiri), mata, telinga, hidung dan mulut (menteri dalam), dua tangan dan kaki (menteri luar), anak-anak jari (segala Amir Ruasan-ruasan), jari (juru, batin, penghulu, ketua), tulang, urat, kulit dan daging (rakyat dan bala tentera). Semua perihal ini telah dicatatkan dalam kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas yang dihasilkan oleh Raja Ali Kelana.

Tambah beliau lagi, Bustan Al-Salatin juga turut mengandungi panduan memerintah menerusi isyarat anggota badan, iaitu akal, lidah, telinga, mata, dan tangan. Akal merupakan penentu kesempurnaan tindakan dan diumpamakan sebagai pohon iman kerana seorang pemerintah akan dapat bertindak berlandaskan hikmah dan kebijaksanaan. Akal juga sebagai penyuluh permasalahan dan logik dalam mengambil tindakan.

Hal ini dapat dirujuk dalam teks tersebut:

Yang akal itu, sebaik-baik taulan. Ia mengubati segala pekerjaan yang salah. Dan jikalau ada orang itu hina, nescaya ialah memuliakan dia. Dan jikalau ada orang itu kasih, nescaya ialah mengiyakan akan dia dan dengan  dialah  tanda  kebajikan  dalam  dunia  dan  dalam  akhirat.

(Bustan Al-Salatin, 2004)

Akal sebagai penyuluh permasalahan pula boleh dilihat menerusi petikan berikut:

… bahawa jika dibandingkan antara akal dan matahari, padamlah cahaya matahari dan jika dibandingkan antara bebal dengan malam, lebih gelaplah bebal. Orang yang lebih papa ialah yang tidak mempunyai akal.

(Bustan Al-Salatin, 2004)

Manakala akal sebagai logik dalam mengambil tindakan pula boleh dilihat menerusi petikan berikut:

Dan barang siapa ada baginya sempurna akalnya serta alim, nescaya adalah ia di dalam dunia hakim yang bijaksana lagi ikutan segala manusia.

(Bustan Al-Salatin, 2004)

Berdasarkan teks tersebut, akal terbahagi kepada dua, iaitu akal zahir dan akal batin. Akal zahir berkait dengan perbuatan dan sifat terpuji, seperti tidak sombong, mendiamkan diri, menahan amarah, merendahkan hari, dan berbuat amal soleh. Manakala akal batin pula merujuk amalan berhubungan dengan Allah SWT, iaitu melaksanakan ibadat, takut kepada Allah SWT, beradab dengan Allah SWT, mengambil berat atas dosa yang dilakukan, dan mengucapkan perkataan yang membawa kebajikan.

Manakala bagi anggota lidah pula, beberapa contoh kata kunci daripada teks telah dikenal pasti oleh beliau iaitu “ikat lidah”, “ingatlah lidah”, “peliharalah lidah”, dan “juru bahasa hati” seperti yang terkandung dalam teks berikut:

Barang siapa yang menilik dan membicarakan kelakuan dirinya, mengetahui segala hal manusia di sekelilingnya, memelihara lidahnya daripada perkataan yang keji-keji, dan mengerjakan pekerjaan dengan sabar.

(Bustan Al-Salatin, 2004)

Dalam kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas turut menyatakan penjagaan lidah seperti petikan yang berikut:

Ketahuilah ayuhai yang dikasihi, sesungguhnya lidah yang berakal itu di belakang hatinya, dan hati yang ahmak itu di belakang lidahnya. Seseorang itu dengan sebab amalnya bukan dengan sebab perkataannya.

(Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas, 2001)

Bagi anggota telinga pula, beliau menjelaskan, perkara tersebut berkait rapat dengan kepekaan pemimpin terhadap masalah rakyat, iaitu dengan meneliti kesahihan berita dan melakukan penyiasatan terlebih dahulu. Hal ini boleh dirujuk dalam teks berikut:

Seyogianya bagi segala raja-raja jangan ia segera menghukumkan barang suatu yang didengarnya daripada sembah orang daripada suatu warta takut siapa tahu ada jua membawa fitnah orang.
Seyogianya bagi segala raja-raja, bahawa jangan segera didengarkannya akan barang suatu daripada sembah seorang wazirnya, jikalau ada wazirnya itu perdana menteri sekalipun, hingga diperiksanya jua akan segala barang yang yang dipersembahkannya itu, takut siapa tahu, ada jua dalamnya rahsia suatu pekerjaan yang khianat.

(Bustan Al-Salatin, 2004)

Bagi anggota tangan pula, perkara tersebut lebih bermaksud pada kekuasaan adil dan saksama dalam pemerintahan. Hal ini telah diungkapkan dalam teks yang membawa maksud pemerintah perlulah menyelidik dengan teliti apabila menjatuhkan hukuman yang setimpal. Antara contoh ungkapan tersebut adalah seperti berikut:

Pada suatu hari, ditanyai oleh akan seorang hakim, “mana terlebih afdal bagi segala raja, perkasakah atau adilkah?” Maka kata hakim, “apabila adil segala raja itu tiadalah berkehendak ia kepada perkasa, kerana dikehendaki daripada segala raja itu melainkan adil pada rakyatnya.

(Bustan Al-Salatin, 2004)

Berdasarkan gagasan dalam karya ketatanegaraan Melayu tersebut, ilmu tentang pentadbiran dan pemerintahan ini sangat penting untuk dijadikan model dan panduan serta rujukan kepada pemerintah pada hari ini.

Kredit Foto: British Library

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.