17 Mac 2022, 08:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Bersempena cerpennya “Terima Kasih Tuhanku” diadaptasi kepada filem pendek, Baharuddin Kahar meluahkan rasa syukur tidak terhingga beliau atas penghormatan itu. “Terima Kasih Tuhanku” telah diadaptasikan ke layar perak dengan judul Asrar.

Memuji keberanian dan komitmen yang diambil oleh pihak pengarah, Seniwati Fauziah Dato’ Ahmad Daud atau Ogy; penerbit Syarikat Ogy Ventures & Network Sdn. Bhd.; penulis skrip, Slen Fadzil; dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penulis mapan dan prolifik itu juga tidak menepikan peringatan penting buat karyawan filem untuk mengekalkan nilai estetika dalam karya sastera yang diangkat ke layar perak.

“Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih atas penghormatan ini. Sentuhan kepada cerpen saya yang telah dijadikan filem pendek ini ialah usaha yang baik. Namun mungkin kerana kependekannya sebagai naskhah menjadikannya agak sulit untuk diketengahkan dengan kecantikan estetika sasteranya,” ujar Baharuddin.

Menurut beliau lagi, cerpen “Terima Kasih Tuhanku” memaparkan kepengarangan beliau sebagai seorang penulis Islam. Dalam cerpen itu, tersimpannya nilai dan mesej murni cerita yang mengangkat kebenaran urusan Allah SWT yang mengasihi dan menyayangi manusia sebagai hamba-Nya.

Kata Baharuddin, “Diharapkan akan ada usaha-usaha lain kelak untuk mengangkat lagi cerpen dan novel Malaysia ke taraf yang lebih baik, di samping menjaga (dengan cukup) estetika sasteranya.

“Seperti di Iran misalnya, sebuah negeri yang cukup bermutu dalam industri ini (sastera dan flem). Industri mereka rencam dalam mengetengahkan soal-soal kemanusiaan, agama dan kasih sayang.

“Namun dalam Asrar, sedikit sebanyak rasa itu dapat dinikmati. Filem pendek Asrar ini dapat dirasai pengalamannya oleh para khalayak. Setinggi-tinggi tahniah kepada DBP dan Fauziah Ahmad Daud,” ujar Baharuddin Kahar.

Skrip adaptasi Asrar ditulis oleh mantan editor Harian Metro dan penulis lirik, Slen Fadzil. Sebagai penggiat dunia penulisan dan membesar pada era kepengarangan Baharuddin Kahar, Slen Fadzil akui yang beliau cukup kenal dengan karya-karya penulis itu.

“Saya membesar dengan karya-karya beliau. Dan dalam menukang filem, semuanya tertumpu pada cerita (naskhah). Pengalaman saya dalam mengarang skrip adaptasi Asrar ini jauh daripada sebuah kerja mudah kerana garapan ceritanya yang tidak linear, dan penuh dengan perincian yang harus saya ambil kira dan letak dalam skrip adaptasi,” ujar beliau.

Melalui Forum Asrar yang diadakan selepas Majlis Pratonton Asrar semalam, Ogy sebagai pengarah tampil untuk berkongsi pengalaman dan wawasan beliau berkenaan naskhah itu disertai oleh penulis skrip, Slen Fadzil; pelakon Zya Nasir, Ameer Rahman dan Auf Razak; dan dua wakil daripada DBP, iaitu Nurul Julia Henry serta Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

Tegas dan garang dalam meniti kerjayanya sebagai anak seni, Fauziah Dato’ Ahmad Daud sendiri berkata bahawa pemilihan para pelakon dalam filem pendek Asrar melalui proses uji bakat dan penilaian yang sangat ketat untuk mengetengahkan bakat pelakon yang paling memberikan kesan.

Ogy (kanan) memberi reaksi balas terhadap soalan pemudah cara, Rusdi Abd. Rahman.

Ogy turut menyentuh bagaimana para pelakon beliau dipilih dengan penuh rinci dan teliti, yang beliau tegaskan bahawa bakat itu perlu dilatih dan dipupuk, bukan bergantung pada kadar kepopularan mereka semata-mata.

“Industri kita memerlukan, mendambakan dan mendahagakan aktor dan aktres, seniman dan seniwati yang bijak cerdik serta berani untuk meneroka bakatnya. Persoalannya, di manakah kejujuran anda sebagai pelakon jika berhadapan dengan kamera? Itu sebab saya berani bertaruh dalam keputusan untuk mengambil pelakon-pelakon baharu bagi Asrar.” Tegas Ogy. Pelakon Zya Nasir dan Ameer Rahman merupakan pelakon debut yang diperkenalkan kepada khalayak melaui Asrar.

Nurul Julia Henry, Ketua Editor Buku Sastera di DBP juga mengucapkan rasa tahniah dan syukur atas pengadaptasian itu. Menurut beliau, “Terima Kasih Tuhanku” mempunyai nada yang berlainan dan unik dalam sejarah kepengarangan Baharuddin Kahar. Beliau turut memupuk usaha pengadaptasian ini, “Carilah lagi karya dalam DBP untuk diadaptasikan. DBP ialah lubuk karya yang sangat besar, mempunyai nilai yang mengesankan dan para penulis yang bermutu dan mapan.”

Forum Asrar dikendalikan oleh Rusdi Abd. Rahman.

Tonton forum penuh di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!