Oleh Aminah Mokhtar
16 Mac 2022, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tulisan ini diubah suai daripada teks ucapan penghargaan Aminah Mokhtar sempena pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2020 pada sidang media di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 Mac 2022.

Kemanusiaan menjadi wadah utama saya berkarya. Kemanusiaan memanusiakan saya untuk menulis kisah-kisah manusia yang berliku, beragam dan rencam.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Waramahtullah hiwabarakatu, salam sejahtera dan salam keperkasaan sastera.

Alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Allah – Tuhan sekalian alam.

Syukur tidak terhingga menerima kurniaan daripada Allah ini. Setinggi-tinggi terima kasih kepada panel penilai, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia yang memilih saya untuk dicalonkan untuk menerima pengiktirafan yang sangat berprestij ini – SEA Write Award untuk tahun 2020 – juga setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negara Thailand yang menganjurkan Anugerah SEA Write, yang memberikan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada penulis, sasterawan dan seniman ulung dari negara-negara Asia Tenggara, dan memilih saya untuk diberikan pengiktirafan yang sungguh berprestij ini.

Terima kasih tidak terhingga saya kepada dunia kejururawatan yang memperkenalkan, memperlihatkan dan memimpin kudrat saya untuk mengurus galaksi jagat kemanusiaan yang luas, dengan pelbagai warna dan rupa, dengan pelbagai duri dan ranjau.

Kemanusiaan menjadi wadah utama saya berkarya. Kemanusiaan memanusiakan saya untuk menulis kisah-kisah manusia yang berliku, beragam dan rencam. Liku, ragam dan rencam itulah menjadi sajian berzat: memberi energi cinta yang besar kepada minda, emosi, fikiran, dan perasaan saya untuk bekerja pada tahap yang optimum, dengan penuh rasa tanggungjawab untuk menghasilkan karya demi karya demi karya demi karya.

Di lantai hospital, setiap hari saya diperkenalkan dengan pelbagai watak manusia. Watak-watak itu berkembang menjadi perwatakan yang membawa pelbagai cerita yang menginsafkan, memberikan inspirasi untuk saya tidak boleh berhenti berkarya. Watak, perwatakan, plot, dan konflik kehidupan di lantai hospital inilah, sentiasa segar dan tidak pernah padam energinya, memberikan momentum yang sangat luar biasa kapasitinya, membekalkan daya juang dan daya semangat dalam proses pengkaryaan saya.

Menjadi jururawat, saya dipertanggungjawab merawat pelbagai kesakitan yang dideritai oleh para pesakit yang mahukan kesembuhan. Menjadi pengkarya pula saya diberi lebih tanggungjawab untuk merawat hati dan iman orang, merawat kesakitan dan kepincangan yang ditanggung oleh bangsa dan negara saya yang mahukan kesejahteraan negara bangsa.

Terima kasih kepada Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), DBP dan semua institusi penerbitan di Malaysia: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Karangkraf dan Utusan Publications yang menyediakan saya ruang dan peluang untuk berkarya dan menerbitkan karya-karya saya. Terima kasih kepada persatuan penulis di Malaysia, GAPENA, PENA, PEN, dan PPJ yang mengiktiraf karya-karya saya untuk diberikan anugerah.

Terima kasih kepada doa dan sokongan suami, Tuan Roslan Madun, adik-beradik, sahabat-sahabat, dan semua yang memberikan saya sokongan untuk terus berkarya.

Akhir kata, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak penganjur, penaja, panel penilai, dan DBP yang sediakan saya ruang dan peluang yang begitu besar dan indah untuk meraikan kebesaran majlis yang menjadi sejarah penting dalam hidup saya ini.

Semoga saya diberikan sihat minda, fizikal dan mental, agar saya dapat menyihatkan khalayak melalui sastera. Benar, sastera ialah penawar untuk melahirkan bangsa yang sihat dan negara yang aman sejahtera. Terus doakan saya istiqamah dalam usaha menyumbang dan melestarikan sastera di persada dunia.

Sekian,

Wabilahi taufik, wal hidayah.

Assalamualaikum Waramahtullah hiwabarakatu.

Terima kasih.

_________________________

Aminah Mokhtar dilahirkan di Serom 3, Muar, Johor. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.