15 Mac 2022, 11:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hari ini, tradisi lisan juga dilihat muncul dalam kalangan khalayak muda dalam bentuk video pendek. Dengan menggunakan layar hijau, penyuntingan video, papan cerita, dan seni lakon, seni tradisi lisan dapat disampaikan secara massa. Menurut Prof. Dr. Roslina Abu Bakar, “Keberkesanan ini menjadikan tradisi lisan itu lebih bersifat komersial dan mudah diterima khalayak.”

Walaupun dilihat harmoni dan berkesan, Roslina tidak menafikan kesan terjejasnya nilai tradisi lisan melalui inisiatif moden ini. Beliau menyifatkan, dengan penerimaan tradisi lisan melalui multimedia, khalayak penonton hanya dapat “memahami bahan dan menerima apa-apa yang dipaparkan dalam bahan multimedia itu sahaja.”

Perkongsian beliau berlangsung dalam Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) siri kelima dengan tajuk “Tradisi Lisan: Kepentingannya kepada Generasi Muda” pada 9 Mac 2022. KUPAS merupakan program anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roslina turut menyifatkan tradisi lisan sebagai tradisi berharga dan penting peranannya, namun realitinya tidak semasyhur tradisi penulisan dan tradisi pementasan. Hari ini, penglipur lara, tok selampit dan nama-nama lain yang berkongsi peran itu semakin kurang bilangannya. Namun demikian, Roslina juga menegaskan, negara Malaysia sebenarnya bergerak aktif dan prolifik dalam usaha memastikan bahan tradisi lisan ini dapat dipulihara dan didokumentasikan.

Beliau menambah, “Medan penyelidikan tradisi lisan di Malaysia, saya dapati sejak tahun 1990-an memang sudah ada ruang penyelidikan khusus tentang tradisi lisan ini. Secara prolifik, kajian-kajian ini dapat dilihat banyak dilaksanakan dalam kalangan sarjana Universiti Malaya. Kajian ini menyaksikan perjalanan-perjalanan sarjana kita yang membawa mereka ke pelosok-pelosok negeri dan pulau-pulau.”

Dengan kajian yang luas terhadap tradisi lisan, maka fokus ilmunya yang dapat diekstrak daripada kajian juga berkembang mengikut zaman. Katanya, “Apabila ada pembaharuan dalam ilmu, elemen-elemen baru itu turut dimunculkan melalui apa yang telah dikutip dan dikaji dalam tradisi lisan.”

Beliau menegaskan, kerja penyelidikan seumpama ini memerlukan kelengkapan yang cukup. Walaupun dengan sumber yang agak terhad, banyak bahan tradisi lisan berjaya diperoleh dan didokumentasikan.

Namun demikian, sebalik kekuatan penyelidikan tradisi lisan, kerja-kerja untuk melestarikannya dan menanam akar tradisi lisan sebagai budaya dalam kalangan masyarakat awam ialah salah satu sisi usaha yang sangat berlainan.

Hidupnya tradisi lisan hari ini, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda antaranya adalah kerana usaha dan inisiatif yang mengharmonikan tradisi lisan dengan medium multimedia. Melalui bahan multimedia, khalayak muda lebih mudah menerimanya. Sebuah prosa tradisi lisan Asal Padi telah diadaptasikan kepada bentuk animasi. Melalui pengaturan elemen grafik, bunyi khas, alih suara, audio, dan teks, tradisi lisan dapat disampaikan melalui medium ini.

Dalam hal inilah Roslina menekankan, “Adakah nilai tradisinya terjejas (atas usaha adaptasi kepada multimedia)? Ramai sarjana mengatakan bahawa multimedia merangsang pancaindera khalayak.

“Tetapi jika dibandingkan tradisi lisan yang disampaikan secara langsung kepada khalayak dan tradisi lisan dalam multimedia, ketara perbezaannya. Tradisi lisan itu bersifat ritual, seperti dalam ritual penglipur lara yang bercerita kepada khalayaknya. Ada elemen sosial dan elemen kemasyarakatan yang lebih rapat.

“Secara tidak langsung, khalayak lebih terinspirasi kerana dekatnya dengan proses kreatif yang berlaku.” Antara keunikan tradisi lisan sendiri ialah rupa bahan tradisi lisan yang dibentuk oleh watak dan perwatakan penglipur lara itu sendiri.

Namun demikian, Roslina menyifatkan bahawa pengorbanan ini harus dilakukan untuk menjamin kelangsungan tradisi lisan yang semakin dihimpit oleh arus kemodenan masyarakatnya. Usaha baharu ini memberikan ruang kepada generasi muda untuk memahami nilai cerita, watak dan perwatakan, malah ideologi falsafah yang ada sebalik bahan tradisi lisan. Proses ini juga membantu mereka memahami serta menangkap esen penting prosa tradisi, sebelum lebih mendalaminya dengan lebih berakar kelak pada peringkat lanjutan.

Oleh itu, langkah untuk menjaga estetikanya juga wajar diambil perhatian dan diterapkan. Selain bahan multimedia, penerapan tradisi lisan masih giat berjalan, seperti penganjuran acara tradisi lisan, pertandingan bercerita dan acara apresiasi seni yang masih mekar dalam kalangan peminat tradisi lisan. Maka, di samping mengangkat tradisi lisan ke dalam teknologi moden, pemaparan seni sebenar tradisi lisan juga harus dipugarkan kepada khalayak moden.

Tradisi lisan boleh terus berkembang dan dijadikan budaya, jika masyarakatnya mengekalkan tradisi lisan itu sendiri. Roslina menegaskan bahawa penglipur lara akan sentiasa mengikut peredaran zaman, perubahan ekonomi dan perubahan sosial masyarakatnya. Memetik kenyataan Muhammad Said Othman, “Sastera rakyat itu mewakili roh satu-satu bangsa.”

Acara kuliah dikendalikan oleh Dr. Rohaya Md. Ali.

Tonton kuliah penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.