Oleh Orked Una
6 Mac 2022, 21:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jogjakarta – Buat pertama kalinya apresiasi sastera bersama Radio Buku yang bersiaran secara maya melalui pelantar Zoom pada setiap minggu membicarakan karya Malaysia, membawa sesi diskusi buku baharu penulis tersohor dan kontroversi Malaysia, Faisal Tehrani. Novel baharunya Koro merupakan hasil terjemahan dalam bahasa Indonesia oleh Muhammad Aswar dan Tiara Laranina, diterbitkan oleh penerbitan Indonesia, Circa.

Ahli panel yang membahaskan karya ini ialah sasterawan Agus Noor, pensyarah Wawan Eko Yulianto dan dikemudi oleh penulis cerpen Diani Savitri. Seperti program apresiasi sastera bersama Radio Buku yang lain, penulis buku turut dijemput dalam sesi bicara buku mereka.

Mengulas Koro, Wawan menyatakan novel ini merupakan sebuah karya saga yang kukuh. Pembaca diberikan ruang membentuk imaginasi dan dipancing untuk memikirkan persoalan-persoalan yang ditimbulkan, seperti kolonialisme, kapitalisme, rasisme, perbezaan agama, dan isu alam sekitar dalam masyarakat. Turut ditampilkan ialah kecenderungan patriaki dalam sebuah negara fiksyen, Hujung Manani.

Menyetujui kupasan Wawan, Agus menambah bahawa terdapat banyak sindiran halus yang tersirat apabila Faisal menghidupkan negara Hujung Manani. Novel polifonik ini menyerlahkan kekuatan kepengarangan Faisal menjalinkan pelbagai elemen dalam satu cerita apabila kebenaran dan peristiwa boleh dilihat dalam pelbagai cara. Penyampaian naratifnya juga pelbagai, seperti ada campuran hikayat, cerita dongeng, persembahan pentas, laporan jurnalistik, dan riwayat.

Sebagai penulis Rusuhan Koro yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia dengan tajuk Koro, Faisal berkongsi dengan pendengar bahawa Koro merupakan satu penyakit sakit jiwa yang berkaitan dengan alat kelamin yang kecut dan hilang. Gaya penulisan satira dalam Koro berbeza daripada penulisan-penulisan sebelumnya kerana beliau mahu keluar daripada gaya kesarjanaannya yang biasa.

“Apakah pengalaman yang boleh dirasakan oleh pembaca wanita daripada novel ini?” soal Diani.

Kedua-dua Wawan dan Agus menyatakan, mustahil bagi mereka merasai perspekstif sepenuhnya sebagai seorang pembaca wanita. Balas mereka, berkemungkinan pembaca wanita akan bersorak dengan kritikan terhadap patriaki dan pada keadaan autoriti lelaki ditiadakan.

Tambah Agus, pembaca wanita akan merasakan watak wanita begitu menonjol dalam karya ini. Menurut Faisal yang membesar dalam lingkungan matriaki Adat Perpatih, hal ini sedikit sebanyak mempengaruhi watak-watak wanitanya yang dominan dalam semua karyanya, termasuklah dalam Koro. Maka, karya ini tidak terhad sebagai bacaan relevan pada satu-satu gender sahaja.

Koro merupakan novel kedua penulis yang diterbitkan di Indonesia selepas Lelaki yang Membunuh Kenangan (2019). Faisal berharap Koro akan dibaca secara sejagat.

Program Talking Novel Koro bersiaran secara langsung semalam, pada pukul 7.00 malam waktu Indonesia Barat.

 

Tonton Talking Novel Koro di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.