3 Mac 2022, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mohd Shoffi Sukamin menyoal jika Malaysia sudah benar-benar bersedia untuk menyelamatkan dan memperkasa manuskrip Melayu yang tersimpan di luar negara.

Walaupun institusi pendidikan menyimpan beberapa ratus naskhah manuskrip Melayu tetapi usaha untuk melindungi, memulihara dan mengkaji sekadar melepas batuk di tangga.

Terdapat lebih 20 ribu buah naskhah manuskrip Melayu yang berada di luar negara. Pada zaman manuskrip-manuskrip ini “dicuri” oleh para penjajah Tanah Melayu, manuskrip ini dijadikan barang dagangan yang bernilai tinggi. Tidak dinafikan, pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sendiri, sultan Melaka menjadikan teks-teks hikayat Melayu sebagai barang pertukaran antara kerajaan di Nusantara. Kerajaan Kedah dan Melaka misalnya, saling bertukar hasil penulisan pujangga istana pada ketika itu. Malah pada zaman sekarang, harga senaskhah manuskrip asli boleh mencecah belasan ribu ringgit, bergantung pada keadaan dan isi kandungan manuskripnya.

Beberapa tahun kebelakangan ini, negara-negara di Benua Afrika sudah memulakan usaha untuk menuntut semula khazanah-khazanah negara mereka yang telah diambil oleh British dan dipamerkan di Muzium British sepanjang tempoh penjajahan negara mereka. Kebanyakan negara yang dijajah akan kehilangan khazanah negara mereka sendiri kerana penjajah menjadikan khazanah negara yang mereka jajah sebagai “piala” penghargaan. Tanpa rasa segan silu, mereka mempamerkan khazanah tersebut dan membuatnya seolah-olah sebahagian daripada sejarah tamadun mereka sendiri.

Dalam konteks Tanah Melayu, adakah kita bersedia untuk mengambil langkah yang sama? Adakah kerajaan dan orang yang berkepentingan bersedia untuk bertanggungjawab memulihara dan mengkaji manuskrip-manuskrip Melayu di luar negara?

Selain Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang menjadi pusat penyimpanan manuskrip Melayu, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut menjadi pusat simpanan manuskrip Melayu. Namun begitu, hanya PNM sahaja yang menjalankan usaha perawatan manuskrip, manakala UM, UKM dan DBP hanya menjadi “stor” simpanan sahaja. Lebih malang lagi, Malaysia masih kekurangan pakar dalam bidang filologi. Walaupun institusi pendidikan menyimpan beberapa ratus naskhah manuskrip Melayu tetapi usaha untuk melindungi, memulihara dan mengkaji sekadar melepas batuk di tangga atau dalam bahasa penjajahnya, “bare minimum”.

Kita mungkin mampu melakukan kerja transliterasi, iaitu pemindahan aksara daripada aksara Jawi lama kepada Rumi, namun transliterasi hanya satu daripada 20 cabang bidang filologi. Ada 19 komponen lain yang masih belum dikuasai oleh penyelidik dan ahli sarjana di negara kita. Selain kerja filologi, kerja promosi dan pembudayaan manuskrip Melayu juga sama pentingnya jika negara sememangnya berhasrat untuk mendapatkan manuskrip-manuskrip Melayu yang tersimpan di luar negara seperti di Leiden, Belanda contohnya.

Menurut Prof. Dr. Abdul Razak Abdul Karim dalam Kursus Penyelidikan Manuskrip Melayu pada 21 April 2021 yang dianjurkan menerusi Zoom Meeting, beliau pernah mencadangkan untuk mengkomersialkan ilustrasi batik dalam manuskrip Melayu ke dalam medium lain, seperti fabrik dan seumpamanya, namun usaha yang disarankan oleh beliau tidak diambil serius oleh pihak yang berkenaan. Malah, isu negara kekurangan pakar dan usaha pemuliharaan dalam institusi juga turut ditekankan oleh beliau, namun sekali lagi, pihak berkenaan tidak peduli kerana semua cadangan yang diberikan bukanlah sebahagian daripada “fungsi” institusi tersebut.

Jika untuk membacanya sahaja sukar untuk dicapai oleh orang awam, bagaimanakah manuskrip ini boleh dibudayakan dalam kalangan masyarakat?

Bagaimana pula dengan pembudayaannya? Kita juga tidak terbuka untuk membudayakan manuskrip ini kepada umum, malahan usaha pendigitalannya juga belum giat dijalankan. Akses orang awam untuk melihat dan membaca manuskrip ini sangat jauh daripada apa yang sepatutnya. Jika untuk membacanya sahaja sukar untuk dicapai oleh orang awam, bagaimanakah manuskrip ini boleh dibudayakan dalam kalangan masyarakat? Berbeza daripada negara-negara di Benua Afrika, mereka memegang kepercayaan dan khazanah negara mereka dengan sangat erat. Ukiran-ukiran yang diambil oleh Barat dari tanah mereka juga sampai ke hari ini ukiran-ukiran tersebut terus diangkat dan dibudayakan dalam pelbagai bentuk dan medium.

Adakah kita bersedia untuk dapatkan 20 ribu naskhah manuskrip Melayu asli atau salinan dari luar negara? Hanya pihak yang berkenaan sahaja yang boleh menentukannya. Akan tetapi, jika dilihat daripada kesiapsiagaan negara dan sambutan daripada rakyat Malaysia sendiri, kita sebenarnya belum menghampiri kata sedia. Langkah awal yang boleh diambil bagi menunjukkan Malaysia “berminat” untuk dapatkan kesemua manuskrip Melayu tersebut adalah dengan cara pembudayaan dan promosi yang membawa impak pada kehidupan masyarakat secara meluas bagi semua manuskrip yang ada dalam simpanan negara pada hari ini, tidak kiralah di universiti mahupun di DBP. Orang awam perlu mendapatkan akses untuk membaca, mengkaji dan menelaah manuskrip-manuskrip ini dalam bentuk digital mahupun fizikal.

Di samping itu, kesediaan negara untuk mendapatkan manuskrip-manuskrip yang menyimpan kebitaraan bangsa Melayu bermula dengan kesediaan dan penerimaan kita sebagai rakyat Malaysia secara amnya. Jika akses telah dibuka, usaha promosi dan pembudayaannya akan giat dibuat, selebihnya bergantung pada rakyat Malaysia. Jika rakyat Malaysia sendiri tidak berminat dan berkeinginan untuk mempelajari, mengkaji atau membudayakannya, barulah badan-badan yang berkaitan boleh menyandarkan alasan ini untuk tidak menyuarakan hal ini pada peringkat tertinggi. Akan tetapi, jika usaha yang disebutkan tidak dibuat dan tidak pernah dirancang, maka badan-badan yang berkenaan ini jangan pula terkejut jika rakyat Malaysia perlahan-lahan hilang keyakinan kepada asas penubuhannya.

Semua pihak jelas akan tugas dan peranan setiap badan yang terlibat, namun dengan berpeluk tubuh dan memberi alasan “ini bercanggah dengan fungsi penubuhan kita” adalah sama sekali tidak wajar. Sudah semestinya pula badan-badan yang bertanggungjawab menganggap bahawa “tiada kepentingan” bagi mereka untuk menuntut perkara yang tidak memberikan impak dalam fungsi penubuhannya. Hal ini kerana, setiap usaha dan tindakan mereka memerlukan pembuktian kepentingan bagi mewajarkan tindakan mereka pada peringkat tertinggi, iaitu kerajaan. Setiap kos dan dana yang dikeluarkan harus dipertanggungjawabkan dengan pembuktian yang empirikal. Akan tetapi, jika dua hal itu tidak dapat dinyatakan, maka pekikan dan laungan para sarjana yang curious dengan ilmu dan kandungan manuskrip yang dicuri itu menjadi sia-sia.

Sebagai contoh, manuskrip Hikayat Raja Pasai yang ditulis pada tahun 1383–1389 Masihi. Hikayat Raja Pasai menjadi contoh bahawa pembudayaan menulis dan membaca dalam masyarakat Melayu telah bermula lebih awal daripada apa-apa yang kita sangka. Berkemungkinan jauh sebelum tahun 1300 Masihi, dari pentarikhan yang dinyatakan oleh Amin Sweeney dalam “The Connection Between the Hikayat Raja-raja Pasai and the Sejarah Melayu” (JMBRAS Bil.40 No.2, 1967:94) dan A.H. Hill (hlm. 41) yang telah bersetuju bahawa Hikayat Raja Pasai disusun secara berperingkat mengikut peristiwa. Sistem rakaman peristiwa dalam hikayat ini merupakan kaedah rakaman sejarah yang telah diamalkan di Nusantara. Namun begitu, sejauh mana dan seefisien apakah sistem rakaman dan perekodan itu masih tidak dapat dipastikan.

Hanya dengan mengkaji satu hikayat kita sudah mampu menimbulkan banyak persoalan baharu. Apatah lagi dengan 20 ribu naskhah manuskrip? Betapa banyak lembaran ilmu baharu yang boleh diteroka dan dikuasai. Bermula dengan memahami sistem rakaman sejarah dan perekodan, seterusnya kita boleh memahami sistem pentarikhan dan urusan jual beli yang dijalankan sepanjang zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka atau kerajaan Melayu purba yang lain. Mungkin juga sejarah-sejarah dan sistem tamadun Nusantara yang lebih awal, seperti Tamadun Lembah Bujang dapat dirungkaikan dengan kajian-kajian terhadap manuskrip yang “kita tidak miliki”, semua ini persoalan ambiguiti. Mungkin boleh dan mungkin tidak—namun berbaloikah kerajaan Malaysia membuang masa untuk sebuah “ambiguiti”? Ya berbaloi.

Setidak-tidaknya, generasi akan datang sudah tahu dengan jelas bagaimana tamadun dan sejarah bangsa mereka terbina dan terhasil. Hal itu jauh lebih baik daripada kita terus hidup dalam sejarah dan corak pemikiran yang dikorupkan oleh penjajah. Jika kita terus-menerus hidup dalam adunan pemikiran penjajah, selagi itulah bangsa Malaysia tidak akan mampu untuk bangunkan negara bangsanya sendiri. Hal ini kerana, bangsa Malaysia tidak jelas dan arif dengan sejarah bangsanya sendiri, dan selagi itulah kita tidak akan mampu bersaing dengan negara-negara yang mencintai sejarah dan budayanya sendiri, seperti Azerbaijan yang kenal benar dengan sejarah dan tokoh bangsa mereka. Biarpun mereka baru mendapat kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet, tetapi mereka terus melakar pembangunan dan kemajuan ilmu yang jauh lebih mantap daripada negara-negara yang merdeka lebih awal. Kemungkinan, mereka juga lebih baik daripada kita.

Akhir sekali, penulis kembali kepada persoalan asal, adakah kita bersedia? Buat masa ini sebenarnya, kita belum bersedia, tetapi langkah awal perlu dirancang sekarang! Keputusan yang kita ambil hari ini menentukan perjalanan dan perkembangan hari esok. Jika mengikut laras undang-undang dunia, kita mempunyai komplikasi untuk mengambil semula khazanah negara yang telah dicuri oleh “mereka” itu. Setidak-tidaknya, kita boleh dapatkan semula salinannya dalam bentuk fizikal mahupun digital bagi tujuan penerokaan ilmu dan sejarah. Semuanya bermula dengan kita dan semuanya bermula sekarang.

Kredit Foto: Istiqamatunnisak/Unsplash

_________________________

Mohd Shoffi Sukamin merupakan pegawai perancang bahasa di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.