1 Mac 2022, 07:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Rumah Ripta, sebuah rumah penerbitan dan pengelola acara seni mewarnai momen penutup Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2022 (KLAB 2022) pada 27 Februari lalu yang diadakan di Pasar Seni, Kuala Lumpur dengan sebuah pementasan puisi.

Barisan pementasan dihidupkan oleh Mucky, Ash Mime, Adam Hazin, Wani Ardy, dan Mosyuki Borhan.

“‘Tumbuh: Melawan Kalah, Menuju Pulih’ ialah nama bagi pementasan ini,” ujar Mosyuki Borhan kepada sidang e-Dewan Sastera sejurus pementasan menutup tirainya. Menurutnya, Tumbuh: Melawan Kalah, Menuju Pulih dipentaskan sebagai bahan komentar perihal manusia yang ingin “pulih”.

Tambahnya lagi, keseluruhan pementasan puisi itu menunjukkan bahawa kita semua berbeza-beza perjuangannya dan pelbagai rupa masalahnya, maka perjuangan untuk pulih juga tidak pernah sama dengan manusia yang lain. “Setiap orang, perjuangannya berbeza-beza, maka cara untuk pulih juga berbeza. Itu sebabnya ia dibahagikan kepada lima bahagian,” tambah Mosyuki.

Diiringi dondangan instrumen pekin dan modular synthesizer, pementasan puisi itu dibahagikan kepada lima fragmen berbeza di bawah satu tema, iaitu pulih. Pelbagai rangsangan deria dan elemen digabungkan dalam persembahan, seperti gabungan elemen tarian, bunyi-bunyi, malah lakonan mimos (mime act). Pementasan itu juga berdiri sebagai percubaan untuk mengubah strereotaip dan stigma yang puisi hanya dibaca.

Adam Hazin mencuri perhatian penonton dengan persembahannya yang ekspresif.

Pementasan dimulakan dengan fragmen pertama yang menggunakan susunan bunyi instrumen, rakaman dan suara sebagai mesej kepada khalayak, dengan Mucky sebagai penyair. Fragmen kedua pementasan pula disampaikan oleh Adam Hazin dengan persembahan puisi yang menampilkan elemen suara intimidasi seorang penyair.

Bahagian seterusnya pula diambil alih oleh Ash Mime, seorang pelakon mimos yang menggunakan isyarat gerak-geri dan memek muka yang menyentuh isu tohmahan sosial terhadap psikologi manusia. Mosyuki menetapkan pendirian beliau bahawa lakonan mimos ialah pementasan puisi, memandangkan semua mesej, naratif dan gerak-geri ditulis pada kertas dahulu dengan bahasa puisi.

Fragmen keempat pula dipentaskan oleh Wani Ardy yang membawa elemen tarian ke dalam pementasan puisinya. Fragmen ketiga pula menampilkan Mosyuki Borhan yang menggunakan seni lakonan dalam menyampaikan puisinya.

Ash Mime menzahirkan gabungan lakonan mimos dengan puisi.

Menurut Mosyuki Borhan, Rumah Ripta sedang berusaha untuk mengubah stigma khalayak bahawa puisi hanya sebuah seni yang dibaca daripada kertas. Mosyuki berkata, “Sebab mengapa saya berada di Rumah Ripta adalah dengan harapan untuk mengangkat puisi lebih daripada seni yang lain. Puisi (kini) seperti berada pada takah yang rendah berbanding seni yang lain, seperti filem, seni halus malah teater. Kenapa khalayak awam sanggup membayar puluhan malah ratusan ringgit untuk menonton teater, tapi tidak pementasan puisi?”

Kredit Foto: Rumah Ripta

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.