Oleh Nor Asiya Nasir
28 Februari 2022, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dari masa ke semasa program bulanan malam baca puisi PEMUISI di DBP membentuk kelainan dari segi format dan kandungannya. Bagi siri kedua, iaitu bulan Februari, program yang berlangsung pada hari Sabtu, 26 Februari 2022 yang lalu menyaksikan selain pemuisi Malaysia, Kerabat Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) Sedunia dari lima buah negara, iaitu Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Belanda, dan China telah turut serta membaca puisi dalam talian di samping peserta yang membuat persembahan secara semuka.

Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim ketika berucap dalam program tersebut menyatakan penyertaan kerabat PEMUISI di luar negara itu bertepatan dengan hasrat untuk mengangkat puisi bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa dan memasyarakatkan puisi.

“Sesuai matlamat program ini untuk memasyarakatkan puisi, adalah menjadi harapan kami agar program PEMUISI di DBP ini akan diikuti dan disertai oleh masyarakat pemuisi seluruh dunia khasnya, dan masyarakat umum amnya. Semoga semaraklah puisi mewangi di persada dunia, menyampaikan suara kemanusiaan sejagat,” katanya.

Pemuisi antarabangsa yang menyertai program tersebut ialah Ibu Sastri Bakri (Indonesia), Profesor Dr. Zefri Arif (Brunei), RatnaSam Sib II (Singapura), Sita Aulliya (Belanda), dan Hanna Aleesya (China).

Kesemua peserta dalam program kali ini membacakan puisi yang bertemakan Cinta itu Indah.

Menurut Radzuan, pemilihan tema Cinta itu Indah kerana puisi-puisi cinta mendapat tempat dalam media sosial dan mempunyai pengikut yang ramai serta menjadi kesukaan muda-mudi.

“Puisi ialah salah satu karya sastera yang mendapat tempat di media sosial. Dan puisi-puisi cinta memiliki follower yang ramai.

“Sebenarnya, cinta hadir dalam pelbagai bentuk rasa. Cinta duniawi dan cinta ukhrawi. Cinta persaudaraan, cinta kasih ibu, keluarga, rakan, cinta kekasih hati, cinta diri sendiri, dan cinta kepada Ilahi. Dan cinta kepada Ilahi ialah cinta sejati yang berkait dengan cinta duniawi dan juga ukhrawi serta kekal abadi. Marilah kita bercinta dan kekalkan jati diri, berkaryalah dengan karya harmoni dan bermanfaat demi mengejar keredaan Ilahi,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut termasuklah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Psutaka (DBP), Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Kepten Datuk Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, Presiden PENYAIR, Datuk Rahman Shaari, dan Timbalan Presiden PEMUISI Profesor Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman.

Cikgu Badrul Hisham Abd. Hamid atau Bad Puisi memulakan persembahan dengan lagu puisi ciptaannya dan lirik Siso Kopratasa berjudul Potret Pesisir Laut. Julia Ikin pemuisi Johor Bharu kemudian membacakan puisinya bertajuk “Cinta Hanya Kenangan”. Presiden Penyair, Datuk Rahman Shaari kemudian menyampaikan puisi karya Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said berjudul “Di bawah Bintang Mengerlip”.

Pemuisi Yanz Hamzah meneruskan acara dengan membacakan puisi ciptaannya, “Cinta Jangan Pergi”. Kerabat PEMUISI dari Indonesia, Ibu Sastri Bakri mengambil tempat dengan membacakan puisi karya Didi Amsa bertajuk “Repertour Kosa Kata” secara dalam talian. Kemudian, pemuisi Muhammad Abu Bakar meneruskan bacaan puisinya bertajuk “Bertemu Cinta”.

Mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob tampil dengan penuh perasaan menyampaikan puisi ciptaan sendiri berjudul “Seluas Laut Biru”. Kemudian, Azmi Jaffri dengan penuh drama menyampaikan puisi “Cinta Yang Kutunggu Setiap Malam”, diteruskan pula oleh Dr. Zefri Ariff dari Brunei Darussalam membacakan puisi ciptaan sendiri, “Mutiara Merdeka” secara dalam talian.

Pemuisi Belanda, Sita Aulliya mengambil tempat dengan membacakan puisi ciptaan sendiri berjudul “Suara Untuk Cinta” secara dalam talian dan diikuti dengan pemuisi Kuala Lumpur Mayya dengan “Gurindam Dendam Tengku Mahkota”.

Seorang lagi Kerabat PEMUISI dari China, Hanna Aleesya, membacakan puisi ciptaan sendiri, “Romantis Februari” secara dalam talian, yang diikuti oleh Man Bakrie dengan puisinya, “Di Laut Kehidupan”.

Seterusnya, pemuisi suami isteri dari Singapura, RatnaSam Sib II berganding suara menyanyikan lagu ciptaan sendiri, “Jantungmu Pasti Bersaksi”. Segmen akhir menyaksikan Dr. Norhayati Ab. Rahman menyampaikan puisi karya SN Kemala bertajuk “Kasyaf Danau”, dan kemudiannya Datuk Wanrazuhar menyanyikan lagu puisi ciptaan sendiri bertajuk Raisya. Bad Puisi sekali lagi tampil menutup acara dengan lagu puisi berjudul Kekasih karya Datuk Wanrazuhar.

Program baca puisi PEMUISI di DBP ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pemuisi tanah air dan liputan meluas di media sosial DBP, PEMUISI Berkarya dan SWATV.

Tonton Program Baca Puisi PEMUISI DI DBP di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.