27 Februari 2022, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Saya pernah menghantar karya kepada Utusan, dan setiap kali saya hantar manuskrip, mereka akan pulangkan semula,” ujar Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Anwar Ridhwan dalam forum khas Seminar 50 Tahun Kepengarangan SN Anwar Ridhwan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) baru-baru ini.

“Untuk kali ketiga saya hantar, mereka pulangkan semula dengan nota daripada editor yang tertulis: ‘Encik Muhammad Anwar, kalau mahu hantar karya kepada Utusan, kami tidak terima tulisan tangan. Sila taip.’” Peristiwa itu berlaku jauh pada zaman awal kepengarangan Anwar lagi, ketika beliau di tingkatan tiga.

Beliau yang pernah berkhidmat selama 35 tahun di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganggap tugasnya di DBP merupakan perisitwa penting dalam perjalanan kepengarangannya. “Saya berpeluang menemu ramah tokoh-tokoh penulis kita yang awal, Ahmad Murad Nasruddin, Harun Aminurrashid dan Ahmad Kotot. Ketika di Universiti Malaya pula, sebagai pelajar, kaedah penulisan diajar oleh guru-guru sastera yang hebat seperti Abu Bakar Hamid, Omar Yunus, A. Wahab Ali, Kala Dewata, dan sebagainya.”

Tahun 70-an pula merupakan tahun penuh eksperimental buat para pengarang, sama ada pengarang cerpen, novel dan drama. Malah, banyak karya eksperimental disiarkan dalam Dewan Sastera. Anwar berkata, “Bagusnya Dewan Sastera ini kerana mereka mempunyai moto yang berbunyi ‘Peneroka Sastera Kreatif’. Dewan Sastera memang menggalakkan kita para pengarang untuk bereksperimen. Usaha itu yang membentuk aktiviti dan mencorakkan kreativiti penulis kita.”

Sebuah Usaha Novel Sejarah: Pintu Peluang yang Terbuka dan Tertutup

Beliau sebenarnya pernah merancang untuk menulis novel sejarah, berkisarkan hari-hari selepas zaman Portugis sehingga tahun 1969.

Menerusi seminar ini, Datuk Dr. Anwar Ridhwan membuka rahsia yang tidak pernah dikongsikan kepada khalayak awam sebelum ini. “Sempena seminar 50 tahun ini, saya akan ceritakan kegagalan saya yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa, sepanjang setengah abad dalam dunia penulisan.”

Beliau sebenarnya pernah merancang untuk menulis novel sejarah, berkisarkan hari-hari selepas zaman Portugis sehingga tahun 1969. Novelnya berbentuk saga panjang; sebanyak tujuh jilid kesemuanya. Beliau merancang untuk merangka 13 bab bagi setiap jilid.

“Inspirasi ini diperoleh daripada dua pengarang yang turut mengarang naskhah sejarah fiksyen, James A. Michener, pengarang Tales of the South Pacific dan Alex Haley yang mengarang Roots: The Saga of an American Family.” Kedua-dua pengarang ini menghasilkan naskhah novel sejarah yang panjang dan mempunyai sejumlah jilid, dan susulannya, karya mereka dapat diadaptasikan kepada layar perak.

“Ketika saya di Iowa, Amerika Syarikat, sewaktu saya melawat Blues Archive, sebuah arkib muzik blues, kebetulan saya terjumpa dengan Alex Haley. Jadinya, kami duduk berbincang, dan Haley bercerita berkenaan naskhah Roots miliknya, dan ia memberi saya inspirasi untuk menghasilkan sebuah novel sastera sejarah.”

Maka, kerja-kerja mengumpul rujukan dan idea pun mula dibuat. Kemudiannya, semasa beliau masih di Iowa, beliau telah berjumpa dengan seorang sahabat yang mahir dalam bahasa Portugis. Hal ini kerana dialog-dialog dalam bahasa Portugis untuk novel itu telah pun mula ditulis dan dibayangkan. Malah, kerjasama antara Anwar dengan rakan bahasa Portugisnya itu berjalan dengan sangat baik yang menurut Anwar, dialog-dialog Portugis yang diperolehnya cukup mapan.

Datuk Anwar sedar bahawa dalam usaha projek besar sebegini, beliau perlu serius. Namun kesibukan yang melanda sebaik sahaja beliau pulang ke Malaysia menghalangnya untuk menyiapkan naskhah sejarahnya itu. Pada awal tahun pencen beliau, iaitu pada tahun 2005, Anwar menulis sekajang surat kepada Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk memohon dana bagi melaksanakan kajian untuk beliau menyiapkan novel sejarah itu.

Dalam suratnya (Anwar juga terkenal dengan sasterawan yang banyak mengirim surat dan ramai menganggap suratnya sebagai karya yang sesuai dibincangkan) itu, Anwar menyisipkan butiran-butiran dan maklumat penting berkenaan kerja beliau untuk menghasilkan novel sejarah itu. Beliau telah siap menyusun susur jalur garis masa untuk menyiapkan novel itu, bermula dengan proses kajian pada tahun 2005, tahun 2006 akan dimulakan kerja-kerja penulisan. Kemudiannya pada tahun 2008, tujuh jilid akan disiapkan. Kemudian, pada Hari Kemerdekaan tahun 2009, novel sejarah itu akan dilancarkan kepada khalayak.

Surat yang dihantar telah mendapat respon yang amat positif daripada pihak Perdana Menteri, lalu janji temu antara pengarang yang belum dinobatkan sebagai Sasterawan Negara itu dengan seorang menteri yang dicadangkan oleh Perdana Menteri (menteri di bahagian mana dirahsiakannya) pun dijalankan.

Maka, Anwar yang gembira dan lega dengan respon suratnya itu menemui menteri yang beliau sepatutnya berbincang dan menemukan kata putus. Beliau berkongsi, “Sejurus saja menteri itu membelek-belek kertas kerja saya itu, dia terus bersuara, ‘Nanti saya minta kamu bincang dengan pegawai saya.’”

Kejadian susulan menyaksikan situasi tidak berpihak kepada Anwar Ridhwan, kerana pegawai yang beliau diminta berbincang itu juga bukanlah dalam kalangan yang berminat ataupun berpengetahuan dalam bidang sejarah, kajian dan sastera. Anwar berkata, setelah beliau meminta untuk berjumpa sekali lagi dengan menteri itu pun, pegawai pentadbir itu berkeras dan berkata “Menteri tidak benarkan, urusan mesti diselesaikan melalui saya.” Akhirnya, setelah beberapa perjumpaan dan perbincangan, jawapan yang beliau terima berbunyi: “Pihak kementerian boleh berikan RM8 ribu, tapi jika boleh dikurangkan, mohon kurangkan perbelanjaan.”

Novel sejarah yang dimaksudkan oleh Anwar itu, seperti yang kita lihat hari ini, tidak berjaya dihasilkan. Ironinya, pada tahun 2009, beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-10. Beliau berkongsi rasa,“Ketika itu, saya sebenarnya rasa terkilan, kerana jika novel sejarah itu selesai, tahun itulah tujuh jilid novel sejarah saya itu akan dilancarkan.”

“Namun, Muhammad Iqbal ada mengatakan, ‘Jika kehidupan membuat diri menangis, ingat ada ribuan kenangan indah yang membuat kita tersenyum.’ Justeru, wajarlah saya tersenyum kerana ada lebih banyak kenangan indah dalam tempoh 50 tahun kepengarangan saya.”

Acara forum khas ini ditemu ramah oleh Dr. Azman Ismail, pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, ASWARA.

_________________________

Tonton sesi penuh forum bersama-sama Anwar Ridhwan di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!