26 Februari 2022, 09:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rasydan Fitri meletakkan harapan tinggi bahawa naskhah terbitan Kata-Pilar Books akan memainkan peranan utama dalam ranah kepuisian negara. Menurut Pengurus Kata-Pilar Books itu, suara kontemporari yang dipaparkan dalam puisi penyair di bawah Kata-Pilar Books adalah antara ramuan yang merancakkan ranah puisi Malaysia.

Sehingga hari ini, Kata-Pilar Books masih giat menerbitkan buku puisi baharu. Naskhahnya selari dengan selera kontemporari pembaca, selain berkualiti dan tidak mendap dalam perbincangan pemuisi. Tiga naskhah terbaharu penerbit itu akan mula berada di pasaran setelah dilancarkan semalam di Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2022 (KLAB 2022) di Pasar Seni Kuala Lumpur.

Enam naskhah kumpulan puisi yang dilancarkan pada majlis itu ialah Mata Penceroboh oleh Daniyal Kadir, Pada Malam Tak Boleh Tidur oleh Aliff Awan, Aku Mahu Jadi Bandar yang Kaulipat ke dalam Dompetmu oleh Lokman Hakim, Bara Hujan oleh Rudi Mahmood, Daftar Mimpi oleh Abdullah Hussaini, dan Kata-kata yang Muncul di Cermin oleh Hidayah AT Mizi.

Menurut Rasydan Fitri, kelahiran tiga buku terbaharu mereka itu (Mata Penceroboh, Pada Malam Tak Boleh Tidur dan Aku Mahu Jadi Bandar yang Kaulipat ke dalam Dompetmu) bermula setelah berakhirnya sayembara anjuran Kata-Pilar Books pada tahun 2020.

Menurut beliau, “Setelah finalis sayembara terplilih, dan buku baharu kami ketika itu telah diterbitkan, kami lihat sebahagian manuskrip yang dihantar sebelum ini sememangnya mempunyai potensi dan mampu menarik khalayak.

“Maka kami pun cuba untuk berjumpa dengan para penulis yang berpotensi ini dan memberikan maklum balas tertentu berkenaan manuskrip mereka, seperti apa yang boleh ditambah baik dan sebagainya. Maka terhasillah buku-buku kumpulan puisi ini.

”Diharapkan penerbitan buku-buku ini akan lebih menghidupkan lagi industri buku dan penulisan negara, dan menyemarakkan dunia puisi kita,“ tambah beliau.

KLAB 2022 yang mengumpul para peminat buku dan khalayak awam merupakan sebuah peluang yang jelas untuk Kata-Pilar Books merayakan para penyair, sama ada generasi muda mahupun yang senior.

Pelancaran kumpulan puisi terbaharu Kata-Pilar Books dirasmikan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan (tengah).

Majlis pelancaran itu malah dirasmikan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan, yang turut menyuarakan peran dan harapan terhadap masa depan sastera puisi dengan usaha yang dipaparkan oleh rumah penerbitan kecil seperti Kata-Pilar Books.

Seterusnya, upacara majlis disusuli dengan persembahan puisi oleh lima penyair Kata-Pilar Books yang bukunya dilancarkan. Persembahan puisi dimulakan dengan Abdullah Hussaini membawa sajak “Di Pasaraya”, Hidayah AT Mizi dengan “Lima Catatan Berlegar-Legar Di Kepala Katil” dan Aliff Awan dengan “Buncit 2.0”, sebuah puisi remix gabungan sajak “Getah Seluar” dan “Buncit”. Kemudian, Daniyal Kadir pula membawa “Perayaan Korban” dan “Masakan Ibu”, sebelum disusuli persembahan akhir oleh Lokman Hakim membawakan puisi dalam bukunya Aku Mahu Jadi Bandar yang Kaulipat ke dalam Dompetmu, diiringi mainan lagu piano. Kesemua penyair membawakan karya daripada buku yang dilancarkan pada majlis itu.

Para pelayar boleh mendapatkan naskhah buku terbaharu Kata-Pilar Book di KLAB 2022 yang akan berlangsung sehingga 27 Februari 2022, atau dapatkan melalui pautan ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.