Oleh Karmila Azmi
15 Februari 2022, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Drive My Car filem arahan Ryusuke Hamaguchi yang ditayangkan di Festival Filem Cannes 2021 membawa sejarah besar kepada banyak pihak. Selain diangkat sebagai penerima tiga anugerah termasuk lakon layar terbaik di Cannes, filem ini juga dicalonkan bagi kategori Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Filem Antarabangsa Terbaik, dan Lakon Layar Adaptasi Terbaik pada Anugerah Academy ke-94 yang akan berlangsung pada 27 Mac 2022 di Hollywood, Amerika Syarikat.

Drive My Car diadaptasi secara longgar daripada karya judul sama hasil tulisan pengarang kontemporari Jepun, Haruki Murakami. Cerpen itu yang ditulis sepanjang 30 halaman merupakan sebahagian daripada muatan kumpulan cerpen Murakami, Men Without Women yang diterbitkan pada tahun 2014.

Hamaguchi dalam temu bual dengan portal The Wrap berkata, idea untuk mengangkat naskhah itu ke layar perak bermula apabila seorang rakan penerbit bertanya jika dia berminat untuk mengadaptasi karya Murakami.

Hal ini menjentik minat Hamaguchi kerana beliau sudah membaca naskhah berkenaan lapan tahun sebelumnya.

“Tapi saya tahu jika mahu mengadaptasi naskhah ini, banyak aspek yang perlu saya kembangkan kerana 30 halaman cerpen tidak cukup mengisi masa dua jam untuk filem.

“Naskhah itu juga tiada penamat tapi saya perlu bercerita hingga ke hujung,” katanya.

Tegas Hamaguchi, Murakami tidak menghadiri tayangan perdana filem berkenaan tetapi beliau menontonnya di tempat lain.

Drive My Car ialah cerpen yang dibina dengan teknik imbas kembali namun di tangan Hamaguchi, naskhah itu diceritakan secara kronologi. Jelas Hamaguchi, beliau secara peribadi tidak berupaya untuk berkarya dengan teknik berkenaan seperti dalam cerpen.

Sepintas lalu dalam cerpen “Drive My Car”, pembaca diperkenalkan dengan Kafuku yang mengupah Misaki sebagai pemandu peribadi. Pembaca kemudiannya diperkenalkan dengan Kafuku menerusi pertanyaan Misaki yang hidup dalam bayangan kematian isterinya.

Filem Drive My Car kini sedang ditayangkan di serata dunia dan sudah berjaya merangkul beberapa hadiah pengkritik dan terkini, filem ini memenangi Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Golden Globe ke-79.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.