Oleh Harlym Yeo
14 Februari 2022, 08:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

AID Conference (AID) yang ditubuhkan sejak tahun 2016 terus beriltizam membantu masyarakat, khususnya para pelajar melalui penganjuran Bengkel Penulisan Kapsyen dalam Siri Bengkel Timba Ilmu (SBTI) pada Sabtu lalu secara dalam talian.

Pensyarah Kanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan wakil tempatan AID, Dr. Siti Suriani Othman berkata, hal ini berikutan terdapat keperluan dan permintaan yang tinggi dalam bidang penulisan, terutamanya pada zaman media sosial yang berkembang pesat, maka kemahiran penulisan kapsyen dianggap penting dalam konteks yang lebih luas.

Beliau berkata, AID atau singkatan daripada “Academic International Dialogue” ialah organisasi akademik swasta yang menganjurkan pelbagai aktiviti akademik melalui bengkel penulisan, persidangan, pertandingan inovasi, penerbitan buku, dan akhbar dalam talian.

“Kali ini, AID menganjurkan Bengkel Penulisan Kapsyen buat julung-julung kalinya untuk memberi pendedahan dan kemahiran yang jarang diketengahkan secara khusus melalui tenaga pembimbing yang berpengalaman luas hampir 20 tahun dalam bidang penyiaran, penerbitan buku, penulisan, dan pelbagai kerja kreatif,” katanya.

Program bengkel yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang itu mendedahkan panduan dan tip tentang asas-asas penting penulisan kapsyen untuk pelbagai elemen media, sama ada tradisional atau digital dalam pelbagai kategori gambar dan keperluan.

Tenaga pengajar Rosli Mohd. Nordin merupakan seorang pakar dalam bidang penghasilan kertas kerja projek, penerbitan dokumentari, video korporat, perancangan media, dan perunding imej.

“Saya terpanggil untuk berkongsi tentang penulisan kapsyen kerana melihat banyak ruang yang boleh diperbaiki dari aspek penulisan kapsyen itu sendiri ketika menghasilkan buku bergambar (coffee table book) RTM Merentas Zaman,” kata beliau.

Menurut Rosli, penulisan kapsyen sangat penting dalam usaha menyampaikan maklumat kepada pembaca. Melalui pengalamannya itu, beliau telah menemui pelbagai gaya dan bentuk penulisan kapsyen yang harus diberikan perhatian, khususnya sewaktu mengetengahkan elemen-elemen penting yang perlu ditulis, seperti nama individu yang tepat, ejaan, tatabahasa, sumber gambar, dan nama jurugambar terbabit.

Katanya, menulis ialah perkara yang sangat penting, yang bukan sahaja terhad pada penulisan karya kreatif semata-mata sebaliknya melibatkan kemahiran asas untuk pelbagai gerak kerja, seperti jurutera, peguam, pengamal media, krew produksi, pentadbiran, dan kewangan.

“Untuk menjadi penulis yang bagus, baik dan hebat, kita perlu menguasai dan mengenal pasti tujuan penulisan tersebut dihasilkan supaya tidak lari daripada landasan keperluan penulisan berkenaan dan memastikan maklumat yang disalurkan kepada pembaca tepat serta perlu mengikut objektif penulisan yang terdiri daripada pelbagai genre penerbitan dan penulisan berkaitan,” nasihat beliau lagi.

Bengkel selama enam jam itu dikendalikan secara santai oleh moderator Dr. Siti Suraini. Majlis bengkel berjaya menimbulkan suasana interaktif, terutama sewaktu segmen persembahan tugasan oleh setiap peserta yang hadir.

M. Mascitah Mansor, pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa berkata, tujuan beliau mengikuti bengkel itu adalah untuk menambah pengetahuan kendiri bagi ilmu baharu agar dapat dikongsi dengan pelajarnya dan mereka yang memerlukan.

“Perkongsian pembicara yang mantap, tuntas dan begitu informatif berdasarkan pengalamannya sendiri dapat dimanfaatkan dalam alam kerjaya dan kehidupan. Dalam penulisan kapsyen ini, kita bukan sahaja perlu menguasai aspek bahasa, pengetahuan am dan isu semasa tetapi integriti yang tinggi juga harus diberi perhatian.”

Seorang penulis travelog yang juga pengurus teknologi maklumat, Lynn Danica, turut bersama dalam bengkel itu dengan tujuan untuk menimba ilmu penulisan dan memperbaiki pos media sosial.

“Ilmu yang paling penting yang dapat saya pelajari melalui bengkel ini ialah kaedah memperkembangkan maklumat berkaitan gambar dari segi fakta, suasana dan emosi,” jelas beliau.

Sebagai pensyarah kanan di USIM, Dr. Suriani berharap semoga pelaksanaan bengkel sebegini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kemahiran menulis kapsyen dan kaedah aplikasi pada era moden ini. Beliau juga mencadangkan agar lebih banyak pendedahan dan pengkhususan dalam penulisan kapsyen kepada mahasiswa di universiti, khususnya para pelajar komunikasi supaya terdedah dan dapat mengamalkan penulisan yang baik dan berkesan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.