Oleh Karmila Azmi
11 Februari 2022, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Dunia penulisan kreatif tidak terhad kepada mereka yang berkelulusan dalam bidang sastera sahaja, sebaliknya dunia ini terbuka kepada semua disebabkan sifatnya berkaitan dengan kreativiti.

Sastera mendidik manusia dengan lontaran pendapat dan pemikiran pengarangnya, justeru sastera tidak boleh diajar dalam konteks A, B atau C.

Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh berkata, cara pembelajaran sastera ketika ini yang memerlukan pelajar menandakan jawapan pada pilihan A, B atau C tidak tepat kerana sifatnya tidak seperti itu.

“Dalam sastera, kita belajar tentang hidup dan tidak ada pilihan sebegitu dalam hidup. Itu cara yang merosakkan kehidupan pelajar.

“Dalam sastera sekarang misalnya, siapakah yang cuba membunuh Hang Tuah, jawapan akan diberi A, B dan C tetapi sebaliknya dalam sastera kita melihat idea mengapakah Hang Tuah mahu dibunuh.

“Banyak hal dalam sastera sebenarnya perlu dibincangkan untuk menjadikan kita lebih menikmati karya berkenaan,” katanya dalam Program Bicara Sasterawan Negara dengan tema “Sastera Digali Keterampilan Dicari” di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF), Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 9 Februari 2022.

Selain Muhammad, program yang dimudah cara oleh Dr. Mohamad Puad Bebit turut menampilkan Alumni Seni Kreatif UMS, Jasman Bandar sebagai panel.

Tegas Muhammad, disebabkan sastera itu berteraskan idea dan kreativiti, ia turut menarik minat mereka yang datang daripada bidang pengajian lain. Di Malaysia katanya, terdapat ramai pengarang yang baik datang daripada latar kejuruteraan dan perubatan.

“Sastera tidak menyumbang wang untuk pembangunan negara tetapi pemikiran dan teguran, membina tamadun bangsa melalui tulisan.

“Ia menyedarkan dan mendidik masyarakat misalnya dalam perihal rasuah, tapi berapa ramai pula mereka yang terbabit membacanya?” katanya.

Tegas Muhammad, dalam sastera, ilmu tidak datang bergolek, sebaliknya seseorang penulis yang ingin berjaya perlu banyak berguru dan membaca. Berguru tidak bermaksud dibuat secara formal tetapi juga secara tidak formal dan banyaklah membaca.

“Jangan hanya membaca karya penulis tempatan, sebaliknya bacalah juga teks dari luar negara dan karya terjemahan. Selain Inggeris, boleh juga membaca karya dari Jepun dan China,” katanya.

Dalam sesi itu, Sasterawan Negeri Sabah Azmah Nordin turut menanyakan soalan kepada panel berhubung persoalan feminisme dalam teks Hikayat Hang Tuah apabila watak itu diambil oleh sultan sebagai anak belaan sedangkan anak perempuan kekal dididik oleh ibunya.

Tegas Muhammad, tidak begitu kena untuk melihat teks itu dalam kaca mata feminisme tetapi jika menurut kadar ukuran zaman naskhah itu dihasilkan, ia tentulah untuk tujuan yang baik dan meningkat kehidupan watak berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.