Oleh Karmila Azmi
6 Februari 2022, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Prague – Pengarang Czech, Bianca Bellová menarik perhatian khalayak sastera antarabangsa apabila novel terbaharunya, The Lake (judul asalnya Jezero) memenangi Hadiah Sastera EU pada tahun 2017 dan seterusnya diterjemah ke dalam 20 bahasa.

Bellová dianggap antara pengarang berpengaruh dari Eropah Timur, justeru naskhah bahasa Inggeris yang diterjemahkan oleh Alex Zucker hangat diperkatakan sejak novel ini memasuki pasaran.

Naskhah genre distopia itu merakamkan kisah seorang budak lelaki yang mencari asal usul keturunannya dalam persekitaran gasar. Latar belakang karya ini ialah era pascapenjajahan Soviet. Bellová dalam satu temu ramah dengan Radio Praque International menyebut, idea mengenai The Lake sudah lama dalam mindanya.

“Ia hanya menanti masa untuk dituliskan,” katanya dalam temu bual itu.

Tambahnya, dunia dalam The Lake ialah dunia penuh ketegangan apabila watak budak lelaki itu perlu mencari tempat berlindung selain belajar untuk meneruskan hidup sendiri kerana membesar tanpa ibu dan bapa.

Bellová yang lahir di Praque sebelum ini sudah menghasilkan beberapa novel, antaranya termasuk Sentimental Novel (2009); Dead Man (2011); Nothing Happens All Day (2013); Mona (2019); dan These Fragments (2021).

Bellová berkata, beliau bukanlah penulis yang cenderung dikenali sebagai aktivis, sebaliknya beliau menjadikan penulisan sebagai caranya meluahkan pemikiran.

“Saya juga tidak cenderung pada satu tema sahaja. Biasanya, tema dan inspirasi datang tanpa saya menyedarinya. Saya mula menulis dan selalunya sesuatu terjadi tanpa sebarang perancangan,” katanya.

Justeru, hal ini menjelaskan mengapa watak kanak-kanak menjadi pilihan penggerak naratif The Lake kerana menurut Bellová, “Dia yang memilih saya untuk menulis tentangnya.”

Beli novel ini di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.