Oleh Zaidi Saad
28 Januari 2022, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Puisi dalam pengertian yang sebenarnya bukan sekadar medium hiburan, meskipun benar puisi ada peranan melunakkan dan melembutkan sahsiah keperibadian manusia. Lebih pada itu, puisi merupakan medium pendidikan yang sangat penting, sejak awal tamadun manusia.

“Puisi memerlukan garapan yang lebih serius, bukan lagi satu penyataan peribadi, penyataan emosi, tetapi marilah sama-sama kita memupuk para pemuisi muda agar dapat melahirkan puisi yang berjiwa,” kata Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika memberikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Baca Puisi PEMUISI di DBP.

Program Baca Puisi Bulanan PEMUISI di DBP anjuran bersama DBP dengan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) diadakan pada 27 Januari 2022 (Khamis) mulai jam 9.00 malam, bertempat di Stor Teater DBP dan disiarkan secara langsung di Facebook DBP dengan tema “Memasyarakatkan Puisi”.

Sesuai dengan tema “Memasyarakatkan Puisi”, program ini bakal melibatkan pelbagai golongan bukan sahaja masyarakat pemuisi dan sastera, tetapi juga orang awam daripada sektor bukan sastera, bagi menyemarakkan serta mengembangkan puisi.

“Demikianlah peranan puisi dalam masyarakat sejak dahulu lagi; sarat dengan mesej dan amanat. Justeru, objektif penganjuran program ini untuk memasyarakatkan puisi sekali gus melibatkan warga pelbagai sektor dilihat kena pada tempatnya,” ujar YBhg. Datuk Seri.

YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga menyokong semua program PEMUISI ke arah menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu. DBP dengan senang hati akan memberikan kerjasama andai diperlukan. Hal ini demikian kerana kolaborasi yang mantap pasti akan menghasilkan impak yang lebih bermutu dan berkesan.

Menurut YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, Presiden PEMUISI, Program PEMUISI di DBP merupakan cetusan idea YBhg. Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP semasa Exco PEMUISI mengadakan kunjungan hormat ke pejabat beliau pada tahun 2019. Namun begitu, oleh sebab pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, maka cadangan itu dibekukan sementara sehinggalah program ini dapat direalisasikan pada malam 27 Januari.

Program Baca Puisi Bulanan PEMUISI di DBP dimulai dengan Persembahan Pembukaan Dikir oleh Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi (PU Razi). Acara diteruskan dengan  deklamasi puisi, antaranya termasuklah oleh Mohamad Hakimi Mohd Rejab dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA.

Acara diteruskan dengan deklamasi puisi oleh YBhg. Kapten Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob, YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dan YBhg. Dato’ Seri Prof. Dr. Ir. Zaini Ujang.

Selain acara deklamasi puisi, diselitkan juga persembahan dekon daripada YBhg. Dr. Zainatul Shuhaida Abd Rahman dan nyanyian lagu oleh Syed Indra Syed Omar (Siso).

Tonton acara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.