28 Januari 2022, 07:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam sejarah kesusasteraan Melayu, bentuk puisi tradisional mendominasi padang puisi Melayu selama lima dekad. Dari tahun 1930-an hingga 1960-an, bentuk dan gaya puisinya sama, kata Dr. Mohamad Shaidan, dengan menggelarkan para penyair ketika itu sebagai penyair tradisionalis.

Bentuknya tidak berubah dan bersifat kolektif, selain mempunyai motif yang jitu, namun isi puisinya berubah-ubah mengikut era. Jika era 1930-an menyaksikan puisi menangkap konteks kemelaratan dan kemiskinan Melayu, puisi propaganda pula menyusul pada tahun 1940-an, yang seterusnya sejarah menyaksikan puisi nasionalisme pula menjadi suara penyair tradisionalis sehingga 1960-an.

“Wujud satu suara memberontak oleh para penyair yang digelar sebagai ‘penyair kabur’ pada tahun 1950-an, kerana mereka menulis puisi dengan cara yang lari daripada kaedah tradisionalis. Ketika itu, polemik yang rancak bertapak adalah berkenaan aneh dan janggalnya cara mereka berpuisi, tidak pula mereka berpolemik untuk mencari makna dan kefahaman cara mereka (penyair kabur) berkarya.”

Dr. Mohamad Shaidan menjelaskan perihal puisi dalam Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) Siri Kedua dengan tajuk “’Perempuan’ Baha Zain dalam Bacaan Semiotik Puisi”. KUPAS Siri Kedua dilaksanakan pada 26 Januari 2022 (Rabu), di Anjung Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Namun demikian, usaha yang lebih jelas untuk memecah bentuk puisi tradisionalis berlaku pada tahun 1970-an. Waktu itu, penyair terkemuka seperti Latiff Mohidin, Muhammad Haji Salleh, Suhaimi Haji Muhammad, dan T. Alias Taib memaparkan kelainan menghasilkan puisi. Mereka menyimpang daripada gaya yang bertahan lebih 30 tahun lamanya.

Era itu ialah era perubahan atau transisi secara pesat dalam dunia puisi. Penyair mula berkarya dengan mementingkan estetika, lari daripada bentuk tradisionalis, malah tidak lagi bersifat kolektif, iaitu suara dalam puisi mereka berlangsung daripada dalam diri.

Sasterawan Negara Dato’ Baharuddin Zainal atau Baha Zain merupakan salah seorang penyair yang memainkan peranan utama terhadap perubahan dinamik berpuisi dan bersajak Melayu.

“Baha Zain menyimpang daripada tradisi berpuisi tradisionalis selama 60 tahun, iaitu pada tahun 1971, tahun buku puisi Perempuan dan Bayang-Bayang diterbitkan,” ujar Dr. Mohamad Shaidan.

Tambah beliau lagi, hampir keseluruhan puisi “Perempuan” disampaikan secara metafora dan ambiguiti. Puisi ini juga disampaikan dengan ketidaklangsungan semiotik. Tiga sebab berlakunya ketidaklangsungan semantik dalam puisi ini ialah (i) penggantian erti, (ii) penyimpangan erti dan (iii) penciptaan erti.

Maka, pembaca puisi sebegini memerlukan dua tahap pembacaan yang memerlukan kepakaran sastera dan linguistik, iaitu tahap pembacaan heuristik dan tahap pembacaan retroaktif.

Apabila menerangkan pembacaan secara heuristik, Mohamad menjelaskan kaedah bacaan ini ialah pembacaan berdasarkan linguistik. Pembaca perlu memasukkan kecekapan linguistik mereka apabila membaca bait-bait puisi dan mengiktiraf apa-apa pun yang janggal atau aneh, sama ada pemilihan diksi, penyusunan perkataan, atau gaya penyampaian. Penting juga untuk pembaca menerima sahaja puisinya, tanpa melakukan pentafsiran ketika membaca.

“Pentingnya cara membaca ini adalah untuk mengenal pasti tanda-tanda dan hala tuju yang disampaikan oleh Baha Zain dalam puisi ‘Perempuan’, lalu mencari kesatuan maknanya,” jelas Mohamad lagi.

Dalam berpuisi, Baha Zain dilihat berani dan terampil menyusun tanda serta lambang. Sejak era transisi dalam dunia puisi inilah, kebijaksanaan dan kepakaran sastera serta bahasa seseorang karyawan dilihat semakin menonjol dan berperanan penting.

Sebalik kepelbagaian lambang dan tanda dalam sesebuah puisi, salah satu syarat puisi ialah kesatuan makna. Disebabkan oleh kelainan Baha Zain dalam berkarya ketika era itu, membuktikan bahawa sajak yang bagus tidak bertanda dan berlambang sehala. Oleh itu, makna dalam sajak Baha Zain, walaupun sebaris, mempunyai banyak perkara yang boleh dikupas, ditafsir, malah dipolemikkan.

Tonton kuliah penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.