28 Januari 2022, 15:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wadiassofi Jaafar amat gembira dengan fenomena adaptasi karya sastera di televisyen mahupun filem akhir-akhir ini. Menariknya, kebanyakannya merupakan hasil karya penulis mapan dan veteran yang bermutu tinggi.

Usaha yang dipuji ini secara tidak sengaja, turut sama-sama meningkatkan perkembangan dunia kesusasteraan Melayu.

Akhir-akhir ini, terdapat fenomena pengadaptasian karya-karya sastera yang dihasilkan oleh penulis mapan ataupun penulis veteran yang sudah lama meninggalkan alam fana ini. Antaranya melibatkan genre cerpen (Azizi Haji Abdullah), puisi (Siti Zaleha M. Hashim) dan novel (Sasterawan Yahaya Abdullah Hussain, Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Yahaya Awang, Ujang, Fatimah Saidin), baik untuk siri drama televisyen, telefilem ataupun filem perdana. Fenomena ini merupakan langkah terbaik dalam usaha mengangkat kembali karya para pengarang ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Sudah tentu, apabila kita bercakap tentang bidang penulisan sastera, setiap karya yang dihasilkan itu mempunyai tema yang cukup mantap. Selalunya, isi kandungannya mempunyai pengajaran yang berguna, malah boleh dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan, sekiranya karya itu diolah dengan teliti dan baik.

Prakarsa yang dibuat oleh para penerbit filem tertentu dan penerbit kandungan televisyen sememangnya haruslah dipuji. Mereka telah memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap karya-karya malar segar yang dihasilkan oleh penulis mapan dan penulis veteran. Usaha yang dipuji ini secara tidak sengaja, turut sama-sama meningkatkan perkembangan dunia kesusasteraan Melayu, di samping menjadikan bidang sastera sebagai salah satu bidang yang amat penting dalam industri skrin pada masa kini.

Beberapa tahun lepas sahaja, “supertele” atau telefilem Srengenge yang pernah disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1 sebelum ini, merupakan adaptasi novel Srengenge, karya Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ Profesor Emeritus Haji Shahnon Ahmad. Sememangnya, telefilem ini (seperti sebelumnya, telefilem Hari-hari Terakhir Seorang Seniman di Astro) menampilkan karya yang dikira berat dan memerlukan penelitian yang tinggi tetapi mampu juga dibawa ke layar. Telefilem Srengenge diarahkan oleh saudara Mahuddin Ibrahim. Antara barisan pelakonnya termasuklah Eman Manan, Shahronizam, Datin Fadilah Mansor, Jasmin Hamid, dan Fathil Dani. Projek pelesenan kandungan mengadaptasi Srengenge terletak di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Harta Intelek dengan kerjasama RTM dan Syarikat Arca Creative Sdn. Bhd.

Usaha merealisasikan karya besar ini ke layar televisyen sememangnya turut memenuhi satu daripada objektif penubuhan DBP, iaitu memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan. Bagi penulis, Srengenge merupakan antara karya sastera yang terbaik yang pernah diadaptasikan ke dalam telefilem, malah masih menjadi sebutan ramai sehingga kini.

Baru-baru ini, kita mendapat berita di media sosial bahawa Mior Hashim Manap sedang mengarah filem Imam.

Fenomena adaptasi karya sastera sebenarnya sudah bermula sejak era awal RTM mula bersiaran lagi. Hanya kehangatan adaptasi karya baru-baru kini terasa “bahang”nya. Terasa popularitinya, malah mula diperkata di mana-mana. Penulis sendiri teringat dengan sebuah cerpen karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah yang berjudul “Tulang Pekasam Ikan Puyu” yang pernah diadaptasikan kepada drama televisyen, dan disiarkan di RTM 1, dengan barisan pelakonnya termasuk Azlinda Rafar, Shukery Hashim, Noraini Hashim, dan Taman Idris.

Cerpen “Tulang Pekasam Ikan Puyu” ditulis dan diolah dengan baik sekali oleh Azizi. Olahan adaptasinya juga berjaya mengekalkan “jiwa” cerpen ini yang sangat kaya dengan unsur mendidik masyarakat untuk menyayangi diri sendiri dan juga keluarga.

Baru-baru ini, kita mendapat berita di media sosial bahawa Mior Hashim Manap (pelakon, penyunting dan pengarah; beliau amat dikenali awal dahulu sebagai pelakon yang memegang watak Hilmy dalam teater adaptasi Salina) sedang mengarah filem Imam, adaptasi novel besar Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Abdullah Hussain. Novel ini bukanlah novel yang calang-calang, malah merupakan novel malar segar terpenting yang pernah dihasilkan oleh Abdullah Hussain. Novel bertemakan sistem pengurusan surau-kampung, dakwah agama dan konflik masyarakat kampung, disalut dengan pandangan agama yang ke hadapan dan idealistik, mungkin agak susah untuk diadaptasi kerana jalur naratifnya yang bersimpang-siur, dengan episod konflik dan drama yang banyak, dan kumpulan watak yang besar. Usaha para pengarah dan penerbit adaptasi filem ini sememangnya dipuji kerana percubaannya sahaja sudah cukup membuat para pembacanya tertanya-tanya akan hasilnya nanti. Setakat ini, novel besar ini pernah diadaptasi oleh dramatis Zakaria Ariffin kepada drama teater pada tahun 1998.

Dalam hal ini, masyarakat makin menyedari bahawa karya sastera yang dihasilkan beberapa tahun dahulu mampu menjadi bahan adaptasi yang baik dan boleh membawa nilai komersial sekiranya pelbagai pihak memandang serius dalam usaha menjadikan karya sastera sebagai medium adaptasi yang berguna serta mampu menarik minat masyarakat untuk mendekati bidang sastera. Dalam hal ini, mahu tidak mahu, sinergi yang baik (seperti yang ditampilkan dalam penerbitan RTM-DBP atau TV3-DBP beberapa tahun ini) daripada semua pihak, terutamanya penerbit buku, para penulis (atau warisnya), penulis lakon layar adaptasi dan pengarah, serta penerbit karya adaptasinya (stesyen televisyen mahupun filem) amat diperlukan dalam usaha mengangkat kembali betapa pentingnya bidang sastera diapresiasikan pada masa kini.

Hal yang lebih penting, sememangnya karya sastera yang dihasilkan oleh penulis mapan atau penulis veteran sudah terbukti mampu menjadi contoh terbaik kepada penulis muda untuk terus berkecimpung dalam dunia kesusasteraan Melayu, di samping sebagai panduan terbaik apabila menghasilkan karya sastera yang bermutu.

_________________________

Wadiassofi Jaafar lahir pada 24 Februari 1974. Antara karya terbitannya termasuk kumpulan cerpen kanak-kanak Umi, Maafkan Adik (UUM Press Kreatif, 2018) dan kumpulan puisi remaja Jalan Dugaan (DBP, 2021). Beliau tinggal di Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.