Oleh Rem Dambul
24 Januari 2022, 07:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kolumnis Rem Dambul menegaskan nilai dan gerakan sains yang boleh dicontohi dalam gerakan sastera demi kelangsungan hidupnya.

Tifoid sebagai misalnya, mengambil masa selama 29 tahun (1880–1909), bermula daripada kajian sains asas sehingga vaksin tersebut boleh diberi kepada manusia buat kali pertama. Demam kuning pula 19 tahun (1918–1937), polio selama 18 tahun (1935–1953), dan demam campak lebih kurang 20 tahun (1950–1970).

Dalam tempoh dua tahun ini, segenap pelosok buana bersengkarut dengan perang jangkitan. Dunia terumbang-ambing mencari rumus penyelesaian, tetapi sehingga sekarang formula yang benar-benar sakti untuk melawan krisis COVID-19 masih samar-samar. Benar, vaksin sudah ada, tetapi kaedah terbaik mengawal tingkah laku sosial masyarakat masih belum ditemui.

Tuhan tidak mendatangkan dugaan, melainkan dengan maksud mahu mengangkat martabat kemanusiaan. Konsep kifarat bukanlah semata-mata tentang penebusan dosa. Kifarat sebenarnya suatu refleksi dan proses pertumbuhan rohani, agar kita menjadi insan yang lebih cakna dan terbuka.

Demikian juga, segala kesenangan yang mempesona bukanlah sekadar limpahan kurnia. Mungkin di sebaliknya, tersirat peringatan-peringatan yang mendalam. Setiap kali markat manusia naik setingkat, kita harus beringat bahawa Tuhan sedang menguji hamba-Nya dengan nikmat.

Meski gelombang pandemik ini telah menjungkir balik norma kebiasaan dan melambung giling kehidupan, ada banyak iktibar baharu yang membawa nilai-nilai pengajaran penting. Benar seperti kata golongan cendekia: setiap musibah yang melanda, pasti ada hikmah tersembunyi.

Dalam era kemelut libang-libu ini, sains dan diplomasi ilmu berkembang subur. Bukan sahaja berlaku gerakan dinamik dalam bidang bioteknologi, bahkan keterangkaian digital turut memecut dengan kadar luar biasa. Kedua-dua fenomena ini mengubah tradisi lama bagaimana pengetahuan dicipta dan disintesiskan ke dalam bentuk gunaan.

Namun begitu, ketangkasan proses ini tidak diterima secara positif sepenuhnya. Sebagai misalan, penemuan vaksin COVID-19 dalam tempoh kurang daripada dua tahun selepas pandemik bermula, dianggap segelintir pihak sebagai tidak munasabah. Proses dan merit pengujian atas vaksin ini menimbulkan banyak persoalan dan kecurigaan. Betulkah vaksin tersebut sudah mencapai darjah kematangan yang sepatutnya?

Ramai yang nampaknya kurang hadam tentang ekosistem sains dan tidak memahami beberapa anjakan signifikan dalam tempoh pandemik. Ya, anjakan-anjakan yang memboleh daya secara lebih pantas pemindahan sains asas (ilmu tentang virus corona) kepada aplikasi teknologi (vaksin COVID-19). Faktor ini perlu dicerna dengan kefahaman yang mendalam.

Rebakan COVID-19 berjaya merentas hampir ke segenap benua dalam tempoh yang singkat. Hingga sifatnya sebagai masalah sejagat terserlah begitu nyata. Oleh sebab itu, wabak ini menjadi krisis sepunya satu global. Justeru, usaha menanganinya juga amat bersepadu — yang merangkaikan akrab data, hasil kajian dan proses regulasi perubatan seantero dunia.

Hal ini dibantu pula oleh dua lagi faktor pemacu yang berkembang lebih awal. Pertama, aspek sains fundamental dalam bidang bioteknologi yang sudah mencapai tahap unggul sejak tiga dekad kebelakangan. Kedua, era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang secara langsung mengukuhkan jaringan digital seluruh bumi raya. Kebanyakan negara sudah mempunyai dasar IR 4.0 yang tersendiri, sebelum pandemik lagi, bagi mengolah operasi digital dalam konteks jaringan kebangsaan dan antarabangsa.

Inilah ekosistem kontemporari yang memacu pembangunan vaksin COVID-19 supaya lebih efektif dari segi tempoh masa. Keadaan ini belum pun wujud semasa vaksin-vaksin yang terdahulu dibangunkan. Jadi, tidak hairanlah jika prosesnya jauh lebih lama. Tifoid sebagai misalnya, mengambil masa selama 29 tahun (1880–1909), bermula daripada kajian sains asas sehingga vaksin tersebut boleh diberi kepada manusia buat kali pertama. Demam kuning pula 19 tahun (1918–1937), polio selama 18 tahun (1935–1953), dan demam campak lebih kurang 20 tahun (1950–1970).

Seperti kata pepatah, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul; gunung sama didaki, lurah sama dituruni. Jika hati tidak berbalah dan hidup rukun bergotong-royong, beban yang berat akan menjadi ringan. Kerja yang panjang akan menjadi lebih singkat. Begitulah tamsilnya situasi dunia ketika era pandemik COVID-19. Ideologi politik diketepikan dan diplomasi sains yang merentas berbilang negara — diangkat ke markat teratas bagi memudah cara perkongsian kepakaran, data dan teknologi.

Komuniti sastera masih kacau-bilau mencari arah, dan meletakkan pasak rujukan baharu dalam norma yang sudah berubah.

Ternyata krisis pandemik ini menyuburkan sains dan inovasi hingga berkembang lebih pesat dan pantas, terutama sekali bidang bioteknologi imunisasi serta kesalinghubungan digital. Persoalannya, apakah pula impak krisis sedunia ini kepada persuratan dan sektor perbukuan, khususnya bidang kesusasteraan? Adakah COVID-19 bertindak mangkin yang merancakkan aktiviti, atau selaku jeleket yang mengakrabkan para penggiat sastera atau menjadi pemacu yang menumbuhkan gagasan-gagasan baharu?

Adakah sastera memecut seperti sains, atau sebenarnya sedang mengecut? Sepintas lalu, persuratan dan sastera tidak sekalis sains teknologi dalam mendepani cabaran COVID-19. Perubahan ekosistem jaringan sosial manusia, daripada bersifat fizikal kepada maya — tidak dinafikan, agak membantutkan syiar kesusasteraan dalam pelbagai aspek. Hal ini bukan sahaja merujuk produktiviti karya, bahkan juga memberikan kesan pada aktiviti-aktiviti persuratan kreatif skala nasional, termasuk acara-acara penganugerahan.

Memang benar, terdapat peningkatan kegiatan bagi aktiviti-aktiviti sastera berbentuk lisan dan pementasan. Misalnya, acara-acara pertandingan membaca puisi moden dan tradisional yang tiba-tiba membiak gadang di platform-platform dalam talian. Begitu juga majlis-majlis wacana dan diskusi, yang semakin meriah dan semarak.

Tetapi secara umum, percambahan itu berlaku secara runcit-runcitan yang terpencil. Bagi program-program lebih signifikan, misalnya segmen anugerah peringkat negeri dan nasional, penghasilan dan penerbitan karya, serta penganjuran pesta-pesta buku — nampaknya arena kesusasteraan lebih capek daripada ekosistem sains. Komuniti sastera masih kacau-bilau mencari arah, dan meletakkan pasak rujukan baharu dalam norma yang sudah berubah.

Terlalu banyak polisi berkenaan sains teknologi dan sosioekonomi yang digubal dalam dua tahun ini, khusus untuk menangani impak pandemik. Bahkan, dalam sesetengah bidang, terdapat juga inisiatif berbentuk foresight (jangkauan masa depan) bagi meneka dengan bijak kemungkinan-kemungkinan masa hadapan. Kemudian menggunakan informasi ini bagi merancang kaedah adaptasi untuk memastikan sektor dan industri masing-masing tidak rentan kepada perubahan-perubahan dunia pada masa akan datang.

Sejauh pengamatan peribadi (mungkin juga saya salah), usaha-usaha sedemikian masih belum membudaya dalam ekosistem persuratan kreatif. Sudah adakah gerakan tersusun dalam kalangan aktivis teraju (misalnya, para pemimpin persatuan) ke arah ini? Dasar negeri dan negara yang benar-benar inklusif, selalunya tidak digerakkan bermula dari atas. Sebaliknya ia harus dipacu oleh akar umbi dengan pendekatan yang sering dicanang sebagai bottom up.

Ada banyak kajian yang menjurus kepada kesimpulan bahawa pandemik akan menjadi satu cabaran rutin yang lebih kerap dalam era-era mendatang. Justeru, semua bidang dan sektor perlu bersedia untuk mendepaninya. Dunia sastera harus proaktif dalam usaha memikirkan bentuk-bentuk karya baharu yang sifatnya lebih anjal; serta mudah mesra dengan platform digital. Terlalu taasub pada sesuatu dogma dan bersikap sangat sentimental kepada genre-genre konvensional, yang ini perlu dirobohkan. Komuniti penulis indie mungkin boleh menjadi sinar harapan, dengan idea-idea segar yang mencabar status quo tetapi sesuatu yang mesra dengan persekitaran semasa. Mengapa tidak?

Dasar-dasar perlindungan kepada karyawan, persatuan dan industri perbukuan kreatif amat wajar dibincang dan diolah secepat mungkin. Sediakan payung sebelum hujan, kerana orang yang selalu basah setiap kali musim tengkujuh melanda — ialah orang yang bebal. Ya benar, manusia tidak mungkin kalis air. Tetapi ada banyak payung dan pakaian kalis hujan, yang boleh dicari dan dibeli. Sebelum monsun datang membadai lagi.

Soalnya mudah sahaja, mahu atau tidak. Dalam zaman bencana yang bersimpang-siur, masihkah kita terlalu mengagungkan hak memilih daripada nilai survival (kemandirian)?

_________________________

Rem Dambul atau nama sebenarnya Ramzah Dambul (Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!