Oleh Harlym Yeo
20 Januari 2022, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tujuh orang pemuisi tempatan terpilih untuk mewakili negara dalam Festival Sastera Antarabangsa Panorama 2022 atau Panorama International Literature Festival (PILF) 2022 yang berlangsung selama sebulan dari 1 hingga 30 Januari. Festival yang merupakan salah satu program utama Writers Capital International Foundation (WCIF) atau Yayasan Penulis Antarabangsa dari India, dianjurkan untuk menyebarkan nilai kemanusiaan melalui medium seni dan sastera.

Preeth Nambiar, penulis dan penyair yang beribu pejabat di Mysuru, India, yang juga Pengerusi PILF berkata, dengan tema “Shoonya, Celestial Void” (“Kebahagiaan Jiwa”), festival ini dianjurkan untuk menghidupkan semula bidang kesusasteraan metafizik yang telah dilupakan pada zaman moden.

“Metafizik ialah konsep falsafah yang digunakan dalam kesusasteraan untuk menggambarkan perkara di luar gambaran kewujudan fizikal. Gagasannya telah menarik perhatian pembaca sejak dahulu lagi.

“PILF 2022 akan sekali lagi memperkenalkan cabang sastera yang berbobot ini untuk para penulis generasi sekarang,” ujar Preeth.

Menurut Prof. Irene Doura-Kavadia, penulis, penyair, pendidik, pengurus, dan aktivis budaya dari Greece yang juga merupakan Setiausaha Agung WCIF, dalam tempoh sebulan acara festival ini diadakan, programnya telah menampilkan ratusan penulis dari 54 buah negara yang telah mendaftarkan nama mereka untuk membentangkan karya mereka, sekali gus mencatat rekod dunia sebagai festival sastera antarabangsa dalam talian terpanjang oleh Assist World Records Research Foundation

“Karya-karya peserta akan dipaparkan di pelbagai platform media sosial dan laman sesawang di seluruh dunia. Di samping itu, akan ada simposium, syarahan pakar, pertukaran budaya, termasuk program deklamasi puisi, yang secara kolektif akan menjadikan PILF sebagai festival global yang hebat untuk para penulis dan peminat sastera,” jelasnya.

Penyelaras dan kurator program yang bertanggungjawab mengumpul para peserta Malaysia, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman yang juga merupakan Pensyarah Fakulti Filem Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara berpendapat, program itu mempunyai potensi untuk memperkenalkan bahasa, seni dan budaya tanah air pada peringkat dunia. Beliau turut mendeklamasikan puisi karya sendiri berjudul “Senyum Itu Bahagia”.

Peguam Mahkamah Tinggi Malaysia, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, namun lebih dikenali dengan nama pena Wanrazuhar yang juga Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), juga turut serta dalam festival ini. Radzuan mempersembahkan puisi sendiri, “Insan Berjiwa Besar”.

Beliau berkata, menyertai festival antarabangsa itu merupakan pengalaman yang sangat bermakna kerana memberi peluang kepada pemuisi tanah air meluahkan suara kemanusiaan sejagat, yang selaras dengan misi persatuan yang dipimpinnya.

Salah seorang lagi yang turut terpilih ialah Harlym Yeo. Beliau merupakan penggiat puisi yang sinonim dengan program penghayatan puisi yang diadakan setiap bulan secara dalam talian. Harlym juga dilantik sebagai moderator dan pengacara majlis festival itu, selain berpeluang membuat persembahan deklamasi sajak.

Dengan penuh dramatik dan emosional, beliau memperdengarkan khalayak dengan karya nukilannya yang berjudul “Warisan Merdeka”. Beliau meluahkan kegembiraannya kerana kesempatan itu dianggap sebagai salah satu kaedah mengantarabangsakan puisi Melayu ke persada global, di samping dapat memperkukuhkan hubungan strategik dengan rakan peminat sastera sedunia.

Selain itu, pemuisi tempatan lain yang ikut serta termasuk Zalina Ahmad atau Zaleena E-naa yang mempersembahkan puisi ciptaan sendiri, “Pada Tanah Waadat Ini”, Marzelan Md. Jusoh atau Perindu Seni mendeklamasikan sajak sendiri berjudul “Benih Warisan”, Mohd. Shareezad Abdul Satad atau Ezad SS, membaca puisi karya Mohilis bertajuk “Hidup Itu Suatu Pilihan”, dan Mohamad Zaki Abdul Halim mempersembahkan sajak Sasterawan Neaga Usman Awang berjudul “Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya” dan sajak nukilan sendiri, “Yang Permai Itu Sebuah Saloma”.

Ketujuh-tujuh peserta Malaysia berasa sangat bertuah dan teruja kerana terpilih sebagai wakil pemuisi Malaysia. Mereka berharap agar usaha murni memartabatkan bahasa dan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa.

Festival yang julung-julung kalinya membabitkan penyertaan Malaysia itu disiarkan kepada khalayak dunia pada 19 Januari lalu, jam 9.00 malam menerusi YouTube Writers Capital Foundation.

Tonton acara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.