20 Januari 2022, 09:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Siriworn Kaewkarn

Bangkok – Novel De Fun oleh pengarang dari wilayah selatan Thailand, Siriworn Kaewkarn telah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award bagi Thailand. Pengumuman itu dibuat pada 10 Januari 2022, jam 3.00 petang (waktu Malaysia) oleh panel juri bagi Negara Thai.

SEA Write Awards yang disertai oleh 10 buah negara Asia Tenggara mula diperkenalkan pada tahun 1979 dengan cetusan idea daripada pihak pentadbiran Hotel Oriental Bangkok. Selepas SEA Write diperkenalkan, banyak organisasi lain turut terlibat memberikan sumbangan serta kerjasama, seperti Bangkok Bank Limited, Thai Airways dan kumpulan ETan Thai. Anugerah berprestij ini diadakan untuk memberikan sokongan, mempromosikan dan meletakkan martabat para penulis ASEAN pada tempat yang sepatutnya. Pada mulanya, hanya lima buah negara yang menyertai, iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand.

Dua puluh tahun kemudian, anugerah serantau ini telah lengkap diberikan kepada penulis di semua ahli negara ASEAN dengan penyertaan Brunei Darussalam, Laos, Myanmar, Vietnam, dan Kemboja. Anugerah SEA Write terbahagi kepada tiga genre penulisan kreatif, iaitu puisi, cerpen dan novel (buat beberapa negara, termasuk drama dan esei). Pemenang akan dipilih oleh panel juri yang dilantik pada setiap tahun. Satu tahun satu kategori akan dipilih dan akan bergilir-gilir mengikut pusingan. Di Thailand, pemilihan adalah berdasarkan karya yang diterbitkan pada tahun tersebut, tanpa melihat giliran genre. Semua kumpulan puisi, kumpulan cerpen dan novel layak dipilih, asalkan karya itu tulen dan diterbitkan pada tahun tersebut.

Siriworn Kaewkarn merupakan seorang penulis yang cukup prolifik di Thailand. Beliau dilahirkan pada tahun 1968 di Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand. Siriworn terlibat secara aktif dalam semua genre sastera tetapi lebih dikenali sebagai seorang penyair. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan lebih 11 buah kumpulan puisi, tiga buah kumpulan cerpen, lima buah novel, dan empat buah dokumentari. Sebelum dinobatkan sebagai pemenang SEA Write 2021, Siriworn telah beberapa kali memenangi hadiah sastera peringkat kebangsaan Negara Thai. Beberapa buah buku hasil karyanya juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Pada peringkat SEA Write sahaja, kumpulan puisi, kumpulan cerpen dan novel Siriworn sudah sembilan kali masuk ke pemilihan peringkat akhir anugerah.

Laporan pihak panel juri merumuskan bahawa De Fun ialah sebuah novel yang cukup menarik dari segi teknik, gaya bahasa, latar masa, latar tempat, dan plot, dengan menggunakan nama watak utama “De Fun” sebagai judulnya. De Fun juga ialah novel yang sarat dengan rentetan dan penyelidikan sejarah yang panjang, menjadikannya sebuah novel berbentuk saga penghijrahan yang tersulam kompleks dan dibarisi sekumpulan watak yang besar. Kisah diangkat daripada perjalanan sekumpulan masyarakat Siam dari negeri Kedah pada era mula-mula Inggeris bertapak di Tanah Melayu. Ada sekumpulan masyarakat pada dasarnya tidak begitu suka tinggal di bawah pemerintahan Inggeris lalu mereka cuba berhijrah ke utara untuk mencari sebuah penempatan baharu. Kebanyakan latar tempatnya berlaku di kawasan semenanjung, iaitu negeri seperti Kedah, Perlis, Perak, dan Kelantan. Sementara di Thailand, dimuatkan latar tempat di beberapa wilayah selatan, seperti Satun, Songkhla, Phatthalung, dan Nakhorn Si Thammarat. Satu kitaran sejarah perjalanan dan perhubungan manusia di antara negeri di Semenanjung Tanah Melayu dan wilayah di Thailand cuba dijelmakan kembali ke hadapan pembaca.

Dalam novel ini, De Fun ialah generasi ketiga dan datuk De Fun merupakan ketua kumpulan penghijrah pada masa itu. Datuk De Fun seorang gembala harimau dan harimau itulah yang menjadi penunjuk jalan ketika meredah hutan, paya dan sungai untuk mencari destinasi penempatan baharu. Penghijrahan mereka bukan sahaja melibatkan sekumpulan orang, tetapi termasuk segala ternakan yang dibawa bersama seperti, lembu, kerbau, ayam, dan itik. Perjalanan mereka ditempuhi dengan pelbagai kesukaran dan konflik, hanya untuk mengecap nafas kebebasan. Demi kelangsungan hidup, rintangan perlu dihadapi oleh anak cucu generasi yang terkemudian sedangkan sang perintis yang mula mengasaskan penghijrahan telah lama meninggal pergi.

Khalayak peminat sastera Thailand mengharungi detik penuh debaran menanti keputusan Anugerah SEA Write kali ini, bermula sejak panel juri mengumumkan pusingan akhir dengan 10 buah novel terbaik telah dipilih pada 20 November 2021 yang lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.