19 Januari 2022, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bentong – Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sentiasa cakna dengan bukan sahaja isu sastera budaya, tetapi juga sosial, ekonomi dan politik tanah air, lalu menzahirkan pendiriannya dengan cara berseni.

Kira-kira sebulan selepas tragedi banjir besar yang melanda banyak negeri di Semenanjung Malaysia, terutamanya Selangor dan Pahang, Paksi menunjukkan keprihatinannya dengan menganjurkan Baca Sajak Banjir Balak Kepala Air di Kampung Baru Sungai Perdak, Karak pada 16 Januari 2022 yang lalu.

Dengan kolaborasi Sherie Aljufri sebagai Penerbit Pelaksana, Jerry Tam Chin Pung (Penerbit Lokasi) dan bantuan Ahmad Nizam Hamid, kenalan Paksi dari Temerloh, acara berkenaan dijayakan bukan sahaja oleh penulis dan penyair terkenal, malah beberapa penggiat masyarakat, agensi kerajaan negeri, badan bukan kerajaan, dan orang perseorangan.

Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack; Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, Young Syefura Othman@Rara dan ADN Pandamaran merangkap Ahli Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, tidak dapat hadir. Walau bagaimanapun, penganjur, peserta dan hadirin tetap bersemangat meneruskan acara.

Berlatarkan alam sekitar merangkumi Sungai Perdak, rumah dan sisa kayu balak yang hanyut terdampar di tebing sungai tersebut, acara berjalan lancar tanpa gangguan besar. Difahamkan, longgokan kayu balak yang ada di situ sudah berkurangan berbanding dengan semasa tragedi. Begitu pun, suasananya tetap mengharukan.

Menurut Presiden Paksi, Datuk Dinsman, pada mulanya penganjur mahu menempatkan pemuzik latar, iaitu kumpulan Kreatif Akustika bersama-sama para deklamator beraksi di atas timbunan kayu balak yang dijadikan pentas tanpa pembesar suara.

Namun begitu, masalah teknikal membantutkan hasrat awal. Akhirnya, hanya para deklamator sahaja, kecuali sutradara veteran Yassin Salleh, tampil beraksi di atas kayu balak tersebut. Kreatif Akustika sekadar beraksi di anjung sebuah rumah yang menjadi mangsa banjir kepala air tersebut, mendendangkan lagu seperti Apokalips, Mentera Semerah Padi dan Berita Buat Kawan.

Dinsman sendiri sebelum hari acara bermula telah melaungkan berkali-kali di media sosial bahawa 16 Januari itu ialah hari kebangkitan bukan sahaja bagi para penyair Malaysia tetapi dunia yang menentang kemusnahan alam sekitar yang telah mengakibatkan pelbagai bencana buruk, khususnya tragedi banjir kepala air.

Anjung rumah mangsa banjir yang menempatkan persembahan kumpulan Kreatif Akustika.

Rata-rata deklamator yang tampil menyatakan kemarahan mereka menerusi sajak terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab, dan hanya mementingkan keuntungan besar dengan kegiatan pembalakan sewenang-wenangnya.

Selain menyampaikan ucapan alu-aluannya, Dinsman turut mendeklamasikan sebuah sajak karya sutradara veteran Yassin Salleh yang berjudul “Sementara Sang Jutawan Balak Terbang Bulan Madu ke Las Vegas. Sang Kuasawan Tolong Bawakan Beg Kondom dan Viagra Mereka. Sang Pedagang Fatwa dan Mantera Syurga Mengaminkan Doa Khalifahnya”.

Pendeklamasian acara berkenaan dimulakan oleh Timbalan Presiden Paksi yang kini menetap di Kelantan, Kassim Muhamad dengan sajaknya “Dengan Puisi Aku Bersegala”.

Yassin yang berhalangan mendeklamasikan sajak “Maka dalam Kemarhaenan Sekaliannya Rakyat Elok-eloklah Menabur Benih Huma di Kebun Kalian. Selepas Banjir Ini Kering Jalanlah Elok-elok ke Ladang PRU15” di hadapan timbunan kayu balak, ditemani oleh anak perempuannya Yasleh Rita Ayu, yang turut mendendangkan sebuah lagu puisi, Rindunya My Love.

Sherie atau nama sebenarnya Shariffah Khadijah yang juga bertindak sebagai pengacara majlis tidak ketinggalan mendeklamasikan sajaknya, “Mana Pohon Gadong?”

Zukri Aksah dari Kuantan mendeklamasikan sajaknya “Tuhan Mula Marah”. Anbakri Haron yang juga ahli Paksi sanggup datang dari Kota Bharu untuk mendeklamasikan sajak beliau, “Puisiku Kukibar dalam Hujan”.

Tidak sahaja deklamator dewasa, dua orang kanak-kanak turut bersemangat untuk beraksi. Selain Haziq Fikri dari Kampung Chemomoi yang berhampiran, turut tampil ialah Putera, cucu Dinsman sendiri.

Acara berkenaan yang juga tiada gangguan cuaca, dilengkapkan dengan kehadiran mantan wartawan TV3 dan penggiat masyarakat, Khaidir Ahmad. Khaidir yang kini dikenali sebagai Wartawan Tua ialah anak saudara Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako. Beliau yang melihat sendiri kejadian tragedi bah tahun 2021 di Pahang, turut mendeklamasikan sajaknya, “Puing-puing Air Mata Marhaen”.

Khaidir Ahmad
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.