16 Januari 2022, 09:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Majlis Pengisytiharan Hadiah Deklamasi Puisi Sedunia anjuran bersama forum gergasi dunia Motivational Strips (MS) dan Soundarya Educational Trust (SET) telah berlangsung secara maya melalui pelantar Google Meet pada 14 Januari 2022, waktu tempatan 7.00 malam. Majlis yang disiarkan secara langsung dari akaun Facebook Institusi Pendidikan Soundarya yang berpengkalan di Bengaluru (Bangalore), India, disaksikan oleh penulis dari 167 negara yang menjadi anggota keluarga Motivational Strips.

Suatu kebanggaan kepada penulis Malaysia apabila YBhg.Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka mendapat penghormatan untuk menyampaikan ucaptama dan seterusnya mengumumkan nama-nama pemenang bagi kategori antarabangsa bersama-sama penyair Padmaja Iyengar, Presiden Connecting Across Borders (CAB) dan Editor Penasihat untuk Jurnal Penulis Antarabangsa dari Amerika Syarikat, dan Dr.Vishnu Pandya, Pengerusi Gujerat Sahitya Academy.

Majlis Pengisytiharan Hadiah Deklamasi Puisi Sedunia 2022 ini mengumumkan lapan pendeklamasi cilik dan remaja terbaik daripada senarai 25 peserta yang terpilih ke peringkat separuh akhir daripada 100 penyertaan daripada 101 buah sekolah dari serata dunia yang melabuhkan tirai pendaftaran untuk sayembara ini pada 25 November 2021.

Sayembara deklamasi puisi sedunia ini agak berbeza daripada sayembara yang lazim dilaksanakan kerana memberikan keutamaan kepada warga cilik dan remaja yang berusia antara lapan tahun hingga 16 tahun. Tema sayembara “Suburkan Tunas Anda” (“Grow Your Buds”) merupakan yang julung-julung kali dianjurkan pada peringkat global dalam hayat sastera antarabangsa. Inisiatif tersebut dirintis oleh forum gergasi dunia Motivational Strips (MS) dan Soundarya Educational Trust dengan tujuan membina pewaris yang bakal menyuburkan kelangsungan hayat mandala sastera di negara mereka.

Sayembara ini menitikberatkan dua kemahiran seni yang saling melengkapi, yakni seni penciptaan puisi dan penyampaian ciptaan seni dalam bentuk deklamasi dalam penilaian markah. Kedua-dua seni, iaitu ciptaan puisi untuk media cetak atau media elektronik yang lebih dikenali sebagai puisi kertas berbeza daripada puisi yang dideklamasikan di pentas yang sinonim dengan nama puisi pentas. Seni mencipta puisi kertas dan seni mendeklamasikan puisi di pentas merupakan dua kreativiti yang menitikberatkan dua kemahiran seni yang berlainan. Memandangkan kedua-dua seni ini melengkapkan kreativiti seseorang penulis sebagai penyair dan pendeklamator, maka seni mencipta puisi kertas dan mendeklamasikannya di hadapan khalayak sebagai puisi pentas disuburkan dalam kalangan peserta cilik dan remaja dari peringkat muda lagi, bak kata pepatah Melayu “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Dalam sayembara ini, semua juri yang dipilih merupakan penyair yang pernah mencipta puisi dan mendeklamasikan puisi mereka di negara masing-masing. Juri dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu Ketua Juri dan Timbalan Juri. Ketua Juri terdiri daripada penyair Mary Lynn Luiz (Amerika Syarikat), penyair Penny Wobbly (England) dan penyair Raja Rajeswari Seetha Raman (Malaysia). Manakala Timbalan Juri diwakili oleh penyair Samuella Conteh (Sierra Leone) dan penyair Nivedita Roy (Bahrain) Kelima-lima juri dipilih dari lima negara berbeza agar penilaian bersifat global dan telus mengikut piawai antarabangsa. Menariknya apabila kelima-lima juri diberikan kelonggaran untuk menilai sayembara deklamasi puisi mengikut syarat dalam penilaian puisi pentas di negara mereka.

Sistem penilaian juga agak berbeza apabila aspek penilaian holistik diutamakan. Dalam konteks ini, Ketua Juri menetapkan 60% markah manakala Timbalan Juri menyumbang markah sebanyak 20%. Baki 20% markah adalah daripada Presiden Motivational Strips, penyair Shiju H. Pallithazheth (Oman) dan Pengarah forum MS, Sabrina Bryant (Amerika Syarikat) sebanyak 10% dan baki 10% lagi adalah daripada penyair Motivational Strips dari 167 negara. Video deklamasi puisi dimuat naik di Facebook forum Motivational Strips dengan tanda pagar (#) Grow Your Buds.

Oleh sebab publisiti untuk sayembara ini mendapat liputan luas dalam media antarabangsa, maka penyertaan daripada peserta antarabangsa agak tinggi. Hal ini menyebabkan pihak penganjur terpaksa mengadakan dua kategori, iaitu kategori antarabangsa dan kategori tempatan. Kategori tempatan khusus untuk negara India kerana Soundarya Educational Trust dari Bengaluru merupakan rakan kolaborasi Motivational Strips dalam penganjuran sayembara peringkat global.

Pendaftaran untuk sayembara ini dibuka pada tahun 2021 selama dua minggu, yakni dari 10 November 2021 hingga 25 November 2021. Seramai 25 peserta daripada lebih 100 penyertaan yang menerima markah tertinggi tersenarai sebagai pemenang pada peringkat separuh akhir dalam dua kategori, yakni kategori antarabangsa dan kategori tempatan (India). Daripada kategori antarabangsa, seramai 14 peserta layak ke peringkat akhir, manakala daripada kategori tempatan seramai 11 peserta terpilih ke peringkat akhir.

Kategori antarabangsa untuk peringkat separuh akhir dimenangi oleh pelajar dari Sekolah Al-Ghubra Oman, Educational School Kuwait dan Ponus Ridge Middle School, Amerika Syarikat. Manakala untuk kategori tempatan, pelajar dari Study Hall School, Soundarya Central School, Air Force School, Senior Secondary School, Mountain Mary School, St.Columbus School, Memorial School, VIBGYOR High School, The Manvendra Global School, dan Montfort School terpilih ke peringkat separuh akhir.

Daripada pemenang peringkat separuh akhir yang terdiri daripada 25 orang, seramai lapan peserta terpilih sebagai juara sayembara daripada kedua-dua kategori, yakni kategori antarabangsa dan kategori tempatan. Juara sayembara deklamasi puisi peringkat antarabangsa 2022 diungguli oleh dua peserta, iaitu Ananya MadhuBhashini (lapan tahun) dari Study Hall School India dan Sita Lakshmi Kishore dari Sekolah Al Gubra Oman dengan jumlah markah tertinggi sebanyak 98.5%. Manakala peserta lain yang turut tersenarai sebagai pemenang bagi kategori akhir terdiri daripada Sannidhi Kulkarni dari Soundarya Central School, India, Fida Ancy dari Indian Education School, Kuwait, Gouri Reghu dari Indian School Oman, Anika Govil dari Sekolah Al-Ghubra Oman, Arjunveer Singh dari Air Force School, India, dan Ryan John Samuel dari India Education School, Kuwait.

Markah peringkat separuh akhir diumumkan pada 4 Januari 2022 melalui akaun Facebook Motivational Strips, dan pada 14 Januari 2022 markah peringkat akhir diumumkan secara maya melalui pelantar Google Meet yang disaksikan secara langsung melalui akaun Facebook Soundarya Educational Trust dan Motivational Strips yang memiliki pengunjung lebih daripada 10 ribu orang.

Juara sayembara deklamasi puisi sedunia yang dimenangi oleh dua peserta akan berkongsi wang tunai sebanyak USD400, yang disumbangkan secara ikhlas oleh Pengasas dan Presiden forum Motivational Strips sendiri, En. Shiju H. Pallithazheth daripada royalti buku paling laris beliau, Katashi Tales. Semua peserta lain akan menerima senaskhah buku Katashi Tales, piala dan sijil.

Iktibar yang boleh diambil daripada penganjuran ini menampilkan, sastera wajib dimulakan pada peringkat prasekolah atau sekolah rendah dan seni deklamasi puisi wajib diajarkan pada peringkat sekolah rendah kerana hal ini mampu mempengaruhi perkembangan kognitif, perkembangan bahasa dan emosi kanak-kanak bagi menjadikan mereka kreatif, inovatif dan produktif. Hal ini terbukti daripada pengakuan ibu bapa para pemenang bahawa anak-anak mereka telah memiliki koleksi puisi persendirian sejak berusia lapan tahun. Justeru, minat yang disuburkan pada usia mentah akan merimbun makmur sepanjang hayat.

Tuntasnya, Majlis Pengisytiharan Deklamasi Puisi Sedunia telah menyingkap tirai 2022 dengan mesej yang bermakna bahawa negara dunia telah lama mengutamakan seni sastera dalam sistem pendidikan mereka pada peringkat prasekolah lagi kerana kreativiti yang dihidupkan dalam sanubari insani bukan sahaja dapat melahirkan insan yang holistik, kreatif, inovatif, dan produktif, malah dapat menyeimbangkan emosi dan rohani mereka secara efektif.

Tonton acara penuh di sini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!